Isnin, 27 Ogos 2012

Kenyataan Hidup Di Sebalik Permainan Ini

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada anak muridnya. Ia duduk menghadap anak muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada kayu pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada kayu pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka sebutlah "Kapur!", jika saya angkat kayu pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"

Anak muridnya faham dan seterusnya menyebut dengan betul. Guru bersilih-ganti mengangkat tangan kanan dan kirinya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat kayu pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka kembali biasa dan tidak kekok lagi.

Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Guru tersenyum kepada anak muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, satelah musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara untuk menukarkan sesuatu, perkara yang haq telah menjadi bathil, dan sebaliknya. Pada mulanya agak sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan pe bagai cara menarik oleh mereka, lambat laun kita akan terbiasa dengan hal itu, seterusnya kita mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kita tidak pernah berhenti membolak-balik dan menukar nilai murni akidah/hukum Islam dari masa ke semasa.

Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kema siatan. Faham?" Tanya Guru kepada anak muridnya.

Baik untuk permainan kedua..." Gurunya meneruskannya...... "Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba dengan tongkat, dan selainnya.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet .."Murid-murid, begitulah ummat Islam dengan musuhnya.... Musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terangan...Kerana tentu anda akan menolaknya dengan mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menolak kita secara ansur-ansur, sehingga kita tidak sedar.

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja dinding dan peralatan akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. ...."

Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan merusakan kita. Mulai dari perangai kita, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun kita muslim, tapi kita telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... "

Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak kita, cikgu?" tanya murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang Islam, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang secara terang-terangan, kita akan bangkit serentak, baru mereka gerun". "Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..."


Sumber: Buletin Rakan Pembimbing Julai 2012

Jumaat, 24 Ogos 2012

Konsep Asas Membuat Dakwaan

Asas penting dalam dakwaan dan pembelaan adalah merujuk kepada Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim yang menyatakan-
“Kalaulah manusia diberikan sesuatu berdasarkan dakwaannya sahaja, nescaya ramai yang akan mendakwa darah dan harta lelaki lain sebagai haknya. Oleh itu al-mudda’a ‘alaih perlu bersumpah”, dan di dalam riwayat lain “Keterangan diminta daripada al-mudda’ie dan sumpah diminta daripada pihak yang menafikan (al-mudda’a ‘alaih)” .


Dakwaan merujuk kepada perkataan al-dakwa menurut hukum syarak adalah “pemakluman / laporan mengenai tetapan hak atas orang lain di depan Hakim”.


Definisi Dakwaan
Dakwaan bererti “memberitahu tentang kewajipan sesuatu hak ke atas orang lain di hadapan Hakim”. Dalam masa yang sama, terdapat beberapa syarat untuk menjadikan sesuatu dakwaan itu sah mengikut Hukum Syarak. Kesan dari dakwaan yang sah adalah pihak yang didakwa perlu mengiayakan atau menafikan dakwaan tersebut.

Rukun Dakwaan
Dakwaan memerlukan kepada beberapa rukun-rukun tertentu sebagaimana berikut-

1. Orang yang menuntut hak iaitu pendakwa (al-Mudda’i).

2. Orang yang dituntut hak daripadanya (al-Mudda’a Alaih)

3. Sesuatu yang dituntut oleh pendakwa (Mudda’I) daripada yang di dakwa (al-Mudda’a Alaih)

4. Perkataan yang lahir dari pendakwa di hadapan hakim untuk menyatakan bahawa beliau ada hak tuntutan ke atas tanggungan. Perkataan ini di namakan al-da’wa.

Perbezaan Mudda’I dan Mudda’a Alaih
Secara ringkas, perbezaan di antara keduanya adalah seperti berikut;

1. Mudda’i
orang yang kata-katanya menyalahi asal atau adat kebiasaan (‘urf).

Mudda’a Alaih
orang yang kata-katanya menepati asal atau ‘urf.”

2. Mudda’i
seseorang yang mendakwa sesuatu perkara yang tersembunyi dan apabila dia berdiam diri maka haknya akan hilang.

Mudda’a alaih
orang yang mendakwa sesuatu yang zahir lagi jelas dan apabila dia berdiam diri maka haknya tidak akan hilang.

3. Mudda’i
orang yang perlu membuktikan sesuatu.

Mudda’a Alaih
Orang yang menafikan sesuatu.

4. Mudda’i
jika mereka yang meninggalkan dakwaannya maka orang itu tidak boleh dipaksa untuk membuat dakwaan.

Mudda’a Alaih
orang yang dipaksa menjawab dakwaan itu.

5. Mudda’i
orang yang menuntut bagi mendapatkan sesuatu yang berada di tangan orang lain.

Mudda’a Alaih
mereka orang yang mengingkari dakwaan tersebut.

Syarat Dakwaan
Ada enam (6) syarat utama dan dua (2) syarat tambahan untuk menjadikan sahnya suatu dakwaan sehingga ia boleh didengar , iaitu:

1. Pihak al-muddaie hendak menjelaskan secara terperinci tentang perkara yang didakwakannya (al-mudda’a bih), penjelasan itu adalah berbeza dengan apa yang dikatakan oleh pihak al-mudda’a ‘alaih. Contohnya, dalam isu pernikahan seorang wanita, disyaratkan menyebut tentang syarat-syarat sah pernikahan itu sendiri termasuklah tentang kewujudan wali dan dua orang saksi yang adil, juga menyebut adanya kerelaan pengantin perempuan jika dia bukan lagi di bawah kekuasaan ijbar walinya. Maka tidak cukup dakwaan di sini secara mutlak iaitu hanya dakwa adanya penikahan tanpa penjelasan dari rukun dan syarat sah nikah itu sendiri. Walau bagaimanapun, Hakim digalakkan meminta al-mudda’ie menjelaskan dakwaannya.

2. Al-Mudda’a Bih (Perkara yang didakwakan) hendaklah boleh didakwakan kepada al-Mudda’a ‘alaih (pihak yang didakwa) seperti, dakwaan yang hanya menyebut pemberian sahaja tanpa menyebut penerimaannya adalah ditolak. Contohnya, al-mudda’ie berkata “orang ini telah menghadiahkan saya sesuatu”, dakwaan ini ditolak kerana hibah tidak menjadi hak melainkan setelah diterima. Sekiranya al-mudda’ie berkata “orang ini telah menghibahkan kepada saya dan saya telah menerima dengan izin al-Wahib (pemberi hibah)’, maka dakwaannya itu akan didengar dan diterima oleh hakim.

3. Al-Mudda’a ‘Alaih (Pihak yang dituntut) itu adalah pihak yang tertentu, seperti jika seseorang mendakwa, salah seorang dari mereka telah membunuh seseorang tertentu, maka tidak didengar dakwaannya itu, kerana dakwaan tersebut akan menyusahkan al-muda’a ‘alaih.

4. Dakwaan hendaklah konsisten iaitu tidak boleh wujud dua dakwaan yang bercanggah, seperti jika al-mudda’ie mendakwa seseorang tertuduh (al-mudda’a ‘alaih) telah membunuh secara individu / bersendirian, kemudian al-muda’ie telah mendakwa bahawa terdapat tertuduh kedua sebagai rakan sepembunuh dengan tertuduh pertama itu atau al-mudda’ie menuduh tertuduh kedua membunuh orang yang sama bersendirian, maka tidak didengar akan dakwaan yang kedua itu kerana tuduhan kedua adalah bercanggah dengan tuduhan pertama, kecuali tertuduh kedua membuat pengakuan, maka pengakuannya itu diterima dan dakwaan ke atasnya didengar.

5. Al-mudda’ie dan al-mudda’a ‘alaih adalah mukallaf, seperti bukannya orang yang mabuk.

6. Al-mudda’ie dan al-mudda’a ‘alaih terikat dengan hukum-hakam yang berlaku (berkuatkuasa).

Syarat tambahan -
1. Didengar dakwaan itu iaitu di hadapan Hakim (Qadhi).

2. Al-muda’a ‘alaih diminta untuk dijawab perbalahan.

Maka, setelah sesuatu dakwaan memenuhi kesemua syarat di atas, dakwaan itu adalah sah dan akan didengar oleh Hakim, dan seterusnya akan meminta al-mudda’ie mengemukakan bukti menyokong dakwaannya jika al-mudda’a ‘alaih menafikan dakwaan al-mudda’ie tersebut, sebelum Hakim memberikan keputusan terhadap tuntutan itu dengan merujuk kepada prosedur perbicaraan yang telah dipandukan di dalam hukum syarak. Seterusnya, menurut Dr Muhammad az-Zuhaili menyatakan, terdapat tiga bentuk tuntutan mal yang boleh dibicarakan di hadapan Hakim iaitu:

i. tuntuan berupa hutang, iaitu tuntutan yang ada dalam tanggungan seperti harga, pinjaman, upah, sesuatu yang diserahkan, pelaksanaan suatu pekerjaan, baik hutang tersebut berupa wang tunai atau disebabkan suatu akad atau perosakan atau wajib syar’ie seperti nafkah, atau berupa sesuatu yang sama yang mungkin dipastikan dengan sifat seperti ditimbang dan berdasarkan jumlah yang berdekatan.

ii. tuntutan atas benda atau barang, iaitu tuntutan yang orientasinya pada benda atau barang yang ada diluar dan menempati tempat tertentu baik yang boleh berpindah seperti kereta, buku, meja makan, perkakas rumahtangga, atau tidak boleh berpindah seperti rumah dan tanah. Oleh sebab itu, tuntutan atas benda terbahagi kepada tuntutan atas sesuatu yang boleh berpindah dan tuntutan atas harta milik yang tidak bergerak.

iii. tuntutan atas hak semata-mata iaitu tuntutan atas hak syar’i, tidak berupa benda seperti nasab, pernikahan, talaq, hadhanah dan syuf’ah.

Dipetik dari sebuah kertas kerja
6 Syawal 1433H
Shah Alam.