Rabu, 9 Oktober 2013

Tatacara Seksyen 151

Tatacara Seksyen 151

Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal, Kes Rayuan (Negeri Sembilan) No. 05000-099-003-2009 dan kes Zetty Binti Zabir lwn. Mohammed Rafi Bin Mohamed Yaacob, Kes Rayuan Mal (Selangor) No.: 10000-036-011-2009 telah memberikan garis panduan atau tatacara yang diadaptasikan dari Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 atas kelompongan atau lakuna yang ada berdasarkan peruntukan seksyen 245 (2) ETMMS 2003.

Berdasarkan kepada kedua-dua kes yang dirujuk tersebut, tatacara pengkomitan di bawah peruntukan seksyen 151 ETMMS 2003 hendaklah melalui prosedur berikut :

1.      Permohonan perintah pengkomitan dibuat secara sebelah pihak atau istilah yang selalu digunapakai iaitu secara ex-parte dan disokong dengan Affidavit Sokongan Pemohon yang mengandungi butiran diri Pemohon, butiran diri orang hendak dikomitkan iaitu Responden dan alasan permohonan iaitu berkaitan terma perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut jika berkaitan.

2.  Mahkamah apabila menerima permohonan tersebut, hendaklah menyiasat dan meneliti samada permohonan ini wajar dibenarkan ataupun sebaliknya. Sekiranya wajar dibenarkan, Mahkamah hendaklah membuat suatu perintah tentang kebenaran tersebut dan seterusnya mengeluarkan suatu Notis Tunjuk Sebab (NTS) kepada Responden dan notis tersebut hendaklah diserahsampaikan kepadanya secara kediri bersama dengan Perintah Kebenaran Pengkomitan bagi kes-kes di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

3.    Bagi perlaksanaan perintah komital di Mahkamah Rendah Syariah, kebenaran pengkomitan hendaklah diperolehi terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah dengan membuat permohonan dan Affidavit Sokongan. Ia selari dengan kehendak Arahan Amalan No. 3 Tahun 2006. Setelah kebenaran pengkomitan diperolehi, permohonan untuk pengeluaran Notis Tunjuk Sebab beserta Affidavit Sokongan yang mengandungi butiran diri P, butiran diri orang hendak dikomitkan (R) dan alasan permohonan (terma perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut) hendaklah dipohon di Mahkamah Rendah Syariah. Tatacara seterusnya adalah sama sepertimana di Mahkamah Tinggi Syariah setelah suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah.

4.      Ini adalah bersandarkan alasan, tiada penjelasan yang jelas samada Arahan Amalan dan kes rayuan yang dirujuk berkaitan bagaimana prosiding pengkomitan di Mahkamah Rendah Syariah perlu dilaksanakan setelah kebenaran Mahkamah Tinggi Syariah diperolehi. Selain itu, Mahkamah berpandangan bahawa Mahkamah Rendah Syariah juga hendaklah mempunyai kuasa pengkomitan sebagaimana Mahkamah Tinggi Syariah kerana rujukan Aturan 52 Kaedah Mahkamah Tinggi yang dirujuk di dalam kes rayuan tersebut adalah prosedur yang digunapakai di mahkamah tinggi sivil sedangkan peruntukan yang sama juga ada diperuntukan di bawah Aturan 36 Kaedah Mahkamah Rendah bagi prosedur di mahkamah rendah sivil (Kedua-dua Kaedah ini telah dimansuhkan dan digantikan dengan Kaedah Mahkamah 2012 yang pemakaiannya meliputi Mahkamah Rendah Sivil dan Mahkamah Tinggi Sivil). Di Mahkamah ini, Enakmen Tatacara Mal ini hendaklah digunapakai samada di Mahkamah Tinggi Syariah mahupun Mahkamah Rendah Syariah tanpa ada pengecualian.

5.     Oleh yang demikian, Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa terhadap prosiding pengkomitan. Apatah lagi, Arahan Amalan tidak menyebut kes-kes sebegini hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah atau dibawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah sahaja. Yang dinyatakan oleh Arahan Amalan hanyalah kebenaran hendaklah diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

6.   Seterusnya, prosiding pendengaran tersebut hendaklah dibuat secara terbuka kecuali jika ternyata kepada Mahkamah bahawa adalah bagi kepentingan pentadbiran keadilan. Jika sekiranya Responden tidak hadir setelah penyampaian Notis terhadapnya sempurna sebagaimana di syaratkan maka satu waran tangkap boleh dikeluarkan terhadapnya bagi memastikan kehadirannya di hadapan mahkamah. Prosiding bagi kes pengkomitan ini hanya boleh dijalankan dengan kehadiran Responden sahaja dan hanya boleh dikomitkan setelah Responden diberi peluang membela dirinya sahaja.

7.      Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa prosiding pengkomitan hendaklah dijalankan secara lebih berhati-hati dan waspada sebagaimana pandangan Hakim Dato’ Jefrey Tan Kok Wha dalam kes Helen Yeap Poh Sin lwn. Universal Trustee (Malaysia) Bhd., (2001) 7 CLJ 414 yang menyatakan :

“Harus juga diingat bahawa kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan seseorang ke penjara kerana kegagalan mematuhi perintah Mahkamah perlu dijalankan dengan berhati-hati.”

8.   Dalam kes di Mahkamah Tinggi Syariah, Pahang iaitu kes Haji Azman Bin Abdul Talib lawan Suhaila Binti Ibrahim [2004] CLJ (Sya) 392, Hakim Abdul Rahman Yunus telah memakai prinsip mahkamah sivil sewaktu membebaskan Respondan dari perintah komital kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah dengan menyatakan:

“kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan seseorang ke penjara kerana kegagalan mematuhi perintah Mahkamah perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.”

9.     Pada tarikh yang ditetapkan, pembelaan Responden sepatutnya dibuat secara lisan dengan cara Hakim Bicara hendaklah menjalankan siasatan terhadap Responden secara “inquistorial”. Namun begitu, Hakim Bicara berdasarkan kuasa budi bicaranya boleh membenarkan Responden disoal oleh Pemohon dan/atau Peguamnya sendiri serta oleh Hakim Bicara. Namun sekiranya Hakim Bicara merasakan adalah munasabah baginya untuk pembelaan Responden dibuat secara Affidavit atas apa-apa sebab atau permohonan Responden, Hakim Bicara boleh membenarkannya tetapi dengan syarat dan kandungan Afidavit hendaklah berkisar kepada pembelaan terhadap Notis tunjuk Sebab tersebut serta Hakim Bicara boleh membenarkannya dan disoal-balas dan disoal-semula oleh pihak-pihak termasuklah Hakim Bicara itu sendiri.

10. Alasan yang munasabah adalah ianya tidak menyebabkan ketidakadilan kepada Pemohon dan Responden memandangkan Pemohon juga diberi ruang untuk menyoalbalas dan Peguam Syarie Responden menyoal semula pembelaan anakguamnya. Bahkan ianya lebih lengkap dan membantu Mahkamah di dalam memahami isu pokok di dalam kes pengkomitan ini bagi menjamin keadilan.pihak –pihak serta bersesuaian dengan prinsip berhati-hati yang dipegang oleh Mahkamah di dalam memutuskan isu pengkomitan. Selain itu, dengan pendekatan ini, prosiding kes ini boleh berjalan dengan lancar telus dan lebih cepat berbanding melalui prosiding inquistorial secara iqrar memandangkan tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan suatu kes memakan masa yang lama disebabkan lambakan kes tanpa mengabaikan prinsip keadilan.

11. Pada asasnya, Hakim Bicara sendiri hendaklah menyoal siasat Responden secara iqrar pembelaan Responden dan saksi-saksi Responden sekiranya ada dengan konsep inquistorial. Namun walaupun menggunakan konsep ini, Mahkamah masih mempunyai kuasa budibicara untuk memberi peluang pihak-pihak terutama yang diwakili peguam syarie menyoal Responden dan juga saksinya sekiranya berkaitan. yang dikemukakan oleh pihak-pihak. Tiada bezanya konsep yang digunakan oleh mahkamah ini berhubung pembelaan Responden dibuat melalui Affidavit cuma hanya dibezakan dengan Afidavit Pembelaan di failkan sebelum prosiding pendengaran dijalankan. Dari sudut pembelaan diberikan secara iqrar, sebelum sesuatu Affidavit diterima sebagai Pembelaan Responden, Responden dikehendaki beriqrar dan mengesahkan bahawa Affidavit yang difailkan tersebut digunakan sebagai pembelaan Responden di dalam prosiding tersebut sebelum prosiding soalbalas oleh Peguam Pemohon dibenarkan, soalsemula oleh Peguam Responden dan siasatan oleh Mahkamah sendiri.


Isnin, 7 Oktober 2013

Tatacara Seksyen 229

Penghinaan Dalam Mahkamah
1.   Jika perlakuan penghinaan itu dilakukan oleh pihak-pihak yang bertikai di hadapan Mahkamah, Hakim hendaklah memberhentikan prosiding induk yang sedang berjalan dan hendaklah menyelesaikan prosiding penghinaan Mahkamah terlebih dahulu. Begitu juga jika ia dilakukan oleh pihak selain dari pihak-pihak bertikai, maka prosiding yang sedang berjalan hendaklah dihentikan dan pihak tersebut dipanggil mengadap Hakim.

2.  Hakim hendaklah merekodkan prosiding tersebut dengan cara yang sepatutnya untuk menyimpan rekod prosiding semasa menjalankan prosiding penghinaan Mahkamah tersebut. Dalam konteks amalan semasa, kebiasaannya Hakim Bicara akan mewujudkan fail berasingan di dalam kes yang sama sebagai contoh, mewujudkan fail sampul kecil di dalam fail kes induk tersebut. Prosiding penghinaan di dalam Mahkamah tidak memerlukan penyampaian Notis Tunjuk Sebab kepada Pihak Yang Menghina Mahkamah (PYMM) kerana ia dilakukan di hadapan Mahkamah sendiri.

3. Hakim hendaklah memulakan prosiding dengan membacakan pertuduhan dan menerangkan kepada PYMM berkaitan jenis kesalahan yang dilakukan oleh PYMM terhadap Mahkamah sebagaimana prosiding kes jenayah. Sekiranya PYMM masih tidak memahami pertuduhan tersebut maka pertuduhan tersebut hendaklah dibacakan kepadanya sekali lagi. Sekiranya PYMM memahami pertuduhan tersebut maka pengakuan PYMM hendaklah diambil samada mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah.

4.  Sekiranya PYMM mengaku salah dan memohon maaf maka prosiding penghinaan tersebut hendaklah dianggap selesai di peringkat tersebut sahaja pada kebiasaannya. Namun sekiranya PYMM mengaku salah tetapi enggan meminta maaf kepada Mahkamah, Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman sebagaimana diperuntukkan oleh peruntukan Seksyen 229 tersebut atau melepaskan PYMM setelah PYMM diberi peluang menjelaskan tindakannya itu. Namun sekiranya PYMM membuat pengakuan tidak bersalah maka PYMM hendaklah diberi peluang untuk membela dirinya sendiri samada dengan cara mengemukakan alasan terhadap tindakan penghinaan tersebut atau memanggil saksi –saksinya bagi menyokong pembelaaannya.

5.  Prosiding ini boleh dijalankan pada masa-masa yang ditetapkan oleh Mahkamah dan tidak semestinya selesai pada hari yang sama dengqan cara inquistorial dan di dalam Mahkamah Terbuka. Ini bermakna, Hakim Bicara boleh menangguhkan prosiding ini dari masa ke semasa mengikut keperluan. Setelah selesai prosiding pembelaan PYMM tersebut, Hakim Bicara hendaklah memutuskan samada menerima atau menolak alasan yang dikemukakan dan hendaklah menilai samada tindakan PYMM telah menyebabkan penghinaan kepada Mahkamah atau tidak sebelum membuat sebarang keputusan.

6. Sekiranya Mahkamah mendapati bahawa alasan atau pembelaan PYMM boleh diterima atau tiada penghinaan Mahkamah berlaku maka Mahkamah hendaklah melepaskan PYMM dengan atau tanpa bersyarat. Namun Sekiranya PYMM gagal memberi pembelaan atau pembelaannya tidak diterima oleh Mahkamah maka  Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman kepada PYMM sama ada penjara (tidak lebih 6 bulan) atau denda (tidak lebih RM 2,000).

Penghinaan Luar Mahkamah
Proses sama KECUALI tindakan penghinaan di luar Mahkamah HANYA BOLEH DIAMBIL setelah suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh Mahkamah kepada PYMM. Ini adalah berdasarkan peruntukan subseksyen 229 (3) yang menyatakan –

(2) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan kediri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.


Selasa, 1 Oktober 2013

Tempoh Penyerahan Notis

TEMPOH penyerahan tersebut yang sesuai dikuatkuasakan adalah dua (2) hari sebelum tarikh pendengaran kes sebagaimana diperuntukan subseksyen 45 (2) ETMMS 2003 tersebut sebagaimana berikut-

(1)   Sesuatu saman yang memulakan suatu tindakan hendaklah disampaikan tidak kurang daripada tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

(2)   Tertakluk kepada Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, notis bagi semua prosiding lain hendaklah notis dua hari genap melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.