Isnin, 1 Oktober 2012

Rayuan Jenayah Syariah: Apa Yang Perlu Difahami

Notis Rayuan

1. Perlu nyatakan dengan jelas samada rayuan dibuat terhadap sebahagian keputusan atau keseluruhan keputusan.

2. Jika sebahagian, nyatakan sebahagian keputusan yang di rayu.

3. Jika kes yang dirayu adalah kes pengakuan bersalah sahaja....pastikan Notis Rayuan hendaklah menyatakan sebahagian keputusan sahaja yang dirayu iaitu takat atau keesahan hukuman.

Seksyen 136 ETJS 2003 yang menyatakan:
“Apabila seseorang tertuduh telah mengaku salah dan disabitkan oleh Hakim atas akuan itu, maka tiada rayuan boleh dibuat kecuali tentang takat atau keesahan hukuman itu.”

Jika gagal, boleh di anggap dakwaan Perayu tidak jelas, mengelirukan dan Notis Rayuan boleh dibatalkan.

Rujukan Kes..
1. Muhammad Ridhwan Bin Tokiri Seorang Lagi lwn. Ketua Pendakwa Syarie, JH 34 (2) telah menyatakan dengan jelas berkaitan isu ini seperti berikut-

Berkaitan dengan peruntukan di atas juga, kami ingin menegur pernyataan hasrat perayu di dalam Notis Rayuannya. Perayu 1 dan 2 menyatakan di dalam notisnya hasrat untuk merayu keseluruhan keputusan Hakim Bicara. Merujuk kepada keputusan Hakim Bicara bertarikh 20/5/2009, terma pertama (1) adalah berkaitan sabitan kesalahan yang didakwakan ke atas perayu-perayu. Terma kedua (2) pula hukuman yang dikenakan ke atas perayu-perayu. Apabila perayu menyatakan hasratnya untuk merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Bicara, maka ia memberi maksud bahawa perayu-perayu juga berhasrat untuk merayu terhadap sabitan kesalahan di dalam terma pertama (1) keputusan Mahkamah Bicara. Walaubagaimanapun, petisyen rayuan perayu tidak menggambarkan hasrat yang dinyatakan dalam notis rayuan dan hanya merayu ke atas kadar hukuman sahaja.

Perayu sebenarnya di halang oleh undang-undang untuk merayu ke atas sabitan kesalahan kerana perayu-perayu telah membuat pengakuan salah, sebagaimana peruntukan seksyen 136 APJSW. Sepatutnya, perayu-perayu hanya berhasrat untuk merayu terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Bicara. Prinsip ini dinyatakan di dalam seksyen 139 (3) ATMSW sebagaimana berikut:

‘Seseorang perayu boleh merayu terhadap keseluruhan atau mana-mana bahagian daripada sesuatu keputusan.’

Kami mahu, perayu lebih berhati-hati dalam membuat pernyataan dalam notis rayuan kerana ia merupakan pernyataan permohonan kepada Hakim yang termasuk dalam salah satu rukun majlis Qada’ di dalam syariah Islam iaitu al-Da’wa. Syara’ membahagikan al-Da’wa kepada 3 iaitu Da’wa yang sah, Da’wa yang rosak atau Da’wa yang batil. Lebih malang lagi apabila perayu 1 dan 2 dalam kes ini diwakili oleh peguam yang bijaksana dan tidak seharusnya kesilapan sebegini boleh berlaku.

2. Jumadi B. Patomdang lwn Pendakwa Syarie, No: 14000-142-0024-2010 dengan menyatakan bahawa-

i) Rayuan pihak Perayu ini adalah terhadap keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah yang dibuat pada 01/09/2010 di dalam kes kesalahan persetubuhan haram yang dipertuduhkan ke atas Perayu mengikut Seksyen seksyen 23 (1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilyah-wilayah Persekutuan) 1997, Akta 559 yang mana Perayu sendiri telah mengaku bersalah Rayuan terhadap keseluruhan keputusan ini terdapat dalam Notis Rayuan pihak Perayu. Ini menjadikan pihak Perayu bukan sahaja merayu terhadap takat hukuman, tetapi juga merayu terhadap sabitan kesalahan oleh YAA Hakim Bicara kerana keputusan YAA Hakim meliputi sabitan dan hukuman. Tetapi dalam kes ini, faktanya adalah sabitan dan hukuman YA Hakim Bicara adalah berdasarkan pengakuan bersalah yang mana menurut undang-undang, Perayu hanya dibenarkan untuk merayu terhadap takat hukuman sahaja dan tidak boleh merayu terhadap sabitan kesalahan. Ia jelas sebagaimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 136 Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997, Akta 560:

‘Apabila seseorang tertuduh telah mengaku salah dan disabitkan oleh Hakim atas akuan itu, maka tiada rayuan boleh dibuat kecuali tentang takat atau kesahan hukuman itu.’

Fungsi Atau Tugas MRyS
MRyS hanya akan campurtangan di dalam kes rayuan tersebut apabila berlaku kesilapan undang-undang, kesilapan fakta atau jika hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bicara berlebihan ataupun tidak memadai sahaja.

Seksyen 138 ETJS 2003:-
“(1) Tertakluk kepada seksyen 136 dan 137, mana-mana orang yang tidak berpuas hati dengan mana-mana penghakiman, hukuman atau perintah yang diumumkan oleh mana-mana Mahkamah Rendah Syariah dalam sesuatu kes atau perkara jenayah yang kepadanya dia ialah suatu pihak, boleh membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi Syariah terhadap penghakiman, hukuman atau perintah itu berkenaan dengan apa-apa kesilapan undang-undang atau fakta atau atas alasan bahawa mana-mana hukuman dikatakan keras berlebih lebihan atau dikatakan tidak memadai, dengan mengemukakan, dalam masa empat belas hari dari masa penghakiman, hukuman atau perintah itu dijatuhkan atau dibuat, kepada Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Syariah itu atau suatu notis Rayuan dalam lima salinan yang dialamatkan kepada Mahkamah Tinggi Syariah.”

Rujukan Kes
Mohd. Ibrahim bin Mohd. Sharif lwn Pendakwa Syarie Pulau Pinang [1998] (13 (2) JH 185-

Mengenai rayuan terhadap hukuman, prinsip yang dipakai di Mahkamah Sivil ialah bahawa Mahkamah Rayuan tidak akan mengubah hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah yang lebih rendah melainkan jika Mahkamah itu tersilap pada prinsipnya atau hukuman itu terlalu berlebihan - Teo Siew Peng v. Public Prosecutor.

Dalam kes Public Prosecutor v. Mohamed Nor & Ors Mahkamah Agung antara lain berkata, adalah suatu prinsip kukuh (establish) bahawa Mahkamah Rayuan keberatan untuk campur tangan atau mengganggu sesuatu hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah yang Iebih rendah melainkan ianya jelas silap dalam ertikata ianya taksah atau tak bersesuaian dengan fakta yang terbukti atau keadaan kes itu. Saya berpendapat prinsip ini juga boleh dipakai di Mahkamah Syariah.

Selain di atas, Mahkamah Rayuan HANYA akan campurtangan sekiranya dibuktikan bahawa hukuman tersebut tidak patut, terlalu keras atau terlalu lembut. Ini adalah berdasarkan pandangan YAA Hakim Rayuan di dalam kes di atas seperti berikut;

“Dalam kes ini, kesalahan itu membawa hukuman maksima denda tidak melebihi RM 3,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya. Hukuman yang dijatuhkan ialah penjara selama tiga bulan dan denda sebanyak RM 2,000.00 sekiranya gagal membayar denda dia dikenakan penjara selama enam bulan.

Hukuman ini sah mengikut undang-undang. Soal selanjutnya ialah sama ada Hakim Bicara itu silap disegi prinsip atau hukuman itu terlalu berlebihan. Tertuduh berumur 47 tahun semasa melakukan kesalahan itu. Dia beristeri dan mempunyai enam orang anak. Dia mengaku salah. Ini kesalahannya yang pertama. Hakim Bicara telah memberi sebab-sebab mengapa beliau menjatuhkan hukuman itu. Sebab-sebab itu memang patut diambil kira. Memang Hakim Bicara itu tidak mencatat bahawa beliau mengambil kira fakta Perayu mengaku salah. Memang diakui bahawa itu adalah satu fakta meringankan hukuman yang diambil kira oleh Mahkamah Sivil dalam menetapkan hukuman - (Lihat Sau Soo Kim v. Public Prosecutor). Mahkamah Syariah juga memakai prinsip ini. (Lihat Mokhtar bin Pangat v. Pendakwa Agama Islam, Wilayah Persekutuan (1990)".

Walau bagaimanapun, memandangkan kepada keseluruhan fakta kes ini, hukuman maksima yang ditetapkan oleh undang-undang dan hukuman yang dijatuhkan, sebab-sebab yang diberi oleh Hakim Bicara, hukuman yang dijatuhkan itu tidaklah terlalu berlebihan (tinggi) dan ia tidak mematutkan Mahkamah ini campur tangan, mengganggu atau mengubahnya.

Beban Bukti Dalam Rayuan
Perayu adalah pihak yang memegang beban pembuktian terhadap dakwaannya yang menyatakan Mahkamah Bicara telah khilaf berdasarkan kaedah fiqh yang berbunyi-

" البينة على المدعى واليمين على من انكر "

Maksud: Keterangan atas yang mendakwa dan sumpah atas yang engkar

Mahkamah juga merujuk Seksyen 72 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang menyebut;

“Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’ii) dan orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-Muda’a ‘alaih)”.

Seksyen ini boleh dibaca bersama Seksyen 73 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang mengatakan;

“(1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.

(2) Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu”.

Sekiranya Perayu mengetahui Hakim Bicara telah melakukan kekhilafan di dalam pengendalian kesnya, Perayu hendaklah membuktikannya sebagaimana kehendak Seksyen 78 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang menyatakan-

78. Apabila mana-mana fakta diketahui secara khusus oleh mana-mana orang, maka beban membuktikan fakta itu terletak padanya.

Pandangan...
Oleh itu, setiap Petisyen Rayuan yang hendak digunakan sebagai asas hujahan semasa prosiding Rayuan hendaklah mengandungi elemen-elemen berikut-

i. kesilapan undang-undang oleh Mahkamah Bicara berdasarkan Rekod Rayuan;
ii. kesilapan fakta oleh Hakim Bicara berdasarkan Rekod Rayuan;

Untuk kedua-dua isu di atas, adalah dinasihatkan agar Perayu menyatakan dengan jelas di mana kesilapan atau kekhilafan Hakim Bicara dengan merujuk dan menyatakan rujukan yang jelas di dalam AP atau Nota Bicara yang ada dalam Rekod Rayuan tersebut.

iii. hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bicara berlebihan berdasarkan Rekod Rayuan;
iv. hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Bicara terlalu lembut berdasarkan Rekod Rayuan
v. Tidak Perlu memasukkan Fakta Baru yang tidak wujud semasa prosiding di Mahkamah Bicara.
vi. Elakkan menggunakan Petisyen Rayuan yang remeh dan tidak boleh dibuktikan berdasarkan Rekod Rayuan.

Tiada ulasan: