Isnin, 5 September 2011

Keterangan

DEFINISI
Keterangan atau al Bayyinah dalam bahasa Arab memberi erti dalil atau hujah, mu’annath al bayyin, jama’nya al Bayyinat ertinya jelas, terang dan nyata.
Menurut Istilah ada 3 pandangan fuqaha’-

i- al Bayyinah bermaksud Syahadah (kesaksian) dan syuhud (saksi-saksi) kerana dengan mereka ternyatalah hak yang didakwa, atau kerana yang ghalibnya pada al Bayyinah itu adalah syahadah, sebab berlakunya keterangan dengan kata-kata saksi dan terangkatlah kesamaran dengan kesaksian mereka..[Hanafiyyah,Malikiyyah,Syafi’iyyah dan Hanabilah ]

ii- al Bayyinah bermaksud nama bagi sesuatu yang menerang dan menyatakan yang hak. Setiap dalil, hujah atau wasilah yang boleh membuktikan hak-hak dan dizahirkannya hadapan Hakim, ia adalah Bayyinah. Ianya selari dengan makna Bayyinah dari segi bahasa dan sama dengan makna Ithbat...    [Ibn Farhun, Ibn al Qayyim]

iii- al Bayyinah merangkumi saksi-saksi dan maklumat hakim kerana yang sebenarnya hak itu ternyata dengan kedua-dua ini sahaja.          [ Ibn Hazm ]

[Ithbat bermaksud menegak hujah atau mengemukakan bukti. Dalam istilah kehakiman diertikan sebagai “ mengemukakan bukti kepada Mahkamah melalui cara-cara yang ditentukan oleh Syara’, ke atas sesuatu hak atau peristiwa atau kes, yang akan berlaku ke atasnya kesan-kesan hukum Syara’ ]

UNDANG-UNDANG
keterangan” termasuklah—

(a)  bayyinah dan syahadah;

(b) segala pernyataan yang dibenarkan atau dikehendaki oleh Mahkamah dibuat di hadapannya oleh saksi berhubung dengan perkara-perkara fakta yang disiasat: pernyataan sedemikian disebut keterangan lisan;

(c) segala dokumen yang dikemukakan bagi pemeriksaan Mahkamah: dokumen sedemikian disebut keterangan dokumentar.

“Bayyinah” ertinya keterangan yang membuktikan sesuatu hak atau kepentingan dan termasuklah qarinah;

“syahadah” ertinya apa-apa keterangan yang diberikan di Mahkamah dengan menggunakan lafaz 'asyhadu untuk membuktikan suatu hak atau kepentingan;

HUKUM MEMBERI KETERANGAN
1. Wajib apabila di minta.

- Surah an Nisaa’; ayat 135

- Surah al Baqarah : ayat 283


2. Fardhu Kifayah dalam kes-kes bukan hudud. Khilaf ulama’ dalam kes-kes hudud.
  
DALIL

Surah al Hujuraat, ayat 6

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, Jika kepada kamu  seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu   ( mengenainya ) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.

Surah al Hadid, ayat 25

Maksudnya : Demi sesungguhnya, Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti yang jelas nyata, dan Kami telah menurunkan bersama-sama mereka kitab suci dan keterangan yang menjadi neraca keadilan supaya manusia dapat menjalankan keadilan…

PRINSIP ASAS / KAEDAH
  
  1. Asal Sesuatu Itu Tidak ada.
  2. Pada asalnya sifat mendatang tidak wujud.
  3. Pada asalnya seseorang itu bebas daripada sebarang tanggunggan.
  4. Keterangan atas Yang Mendakwa dan sumpah atas Yang Ingkar
Umi Salamah berkata , bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda , “ Kamu telah bertikai dihadapanku, mungkin ada di antara kamu yang lebih petah berhujah (memberikan keterangan) daripada yang lain, lalu aku menghukum berdasarkan apa-apa yang aku dengar daripadanya: Sesiapa yang telah aku hukumkan (berikan) baginya hak saudaranya sesuatu (yang tidak berhak lantaran hujahnya yang petah), jangan ia mengambilnya, kerana aku telah memotong baginya sekeping api neraka.

KEPENTINGAN PEMBUKTIAN
Hukuman secara tidak langsung supaya pihak yang di dakwa menunaikan kewajipannya.

Membuktikan kekuatan dakwaan. Jika lemah akan akibatkan hilang hak.

Memberi jalan ataupun panduan kepada Hakim dalam membezakan pihak yang bertikai dan tuntutan bayyinah ke atas dakwaan yang dikemukakan oleh salah seorang pihak bertikai.

Memastikan bahawa keterangan yang dikemukakan berada di peringkat, yakin, zan, syak ataupun waham.

BEBAN PEMBUKTIAN

Taklif atau membebankan salah seorang daripada pihak yang bertikai mengemukakan hujah dan bukti atau keterangan di atas dakwaannya.

Keterangan yang mesti dikemukakan terhadap sesuatu kes atau setakat mana “tahap pembuktian“ yang diperlukan untuk mensabitkan sesuatu kes dalam Islam.

Pada prinsipnya terletak pada pihak yang mengemukakan kes.

Menentukan sekadar manakah sesuatu keterangan itu diperlukan untuk membolehkan disabit sesuatu tuntutan atau kesalahan.

UNDANG-UNDANG

72. Beban untuk mengemukakan keterangan dalam sesuatu kes mal terletak pada orang yang mengatakan atau menegaskan sesuatu fakta (al-mudda’ii) dan orang yang mengangkat sumpah untuk menafikan atau mempertikaikan sesuatu fakta (al-Muda’a ‘alaih)

77. Apabila seseorang dituduh atas apa-apa kesalahan, maka beban membuktikan kewujudan hal keadaan yang menjadikan kes itu termasuk dalam mana-mana kecualian am yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995 [Sel. En. 9/1995] terletak padanya, dan Mahkamah hendaklah menganggapkan hal keadaan tersebut sebagai tidak ada.

73. (1) Sesiapa yang berhasrat supaya mana-mana Mahkamah memberikan penghakiman tentang apa-apa hak atau tanggungan di sisi undang-undang yang bergantung kepada kewujudan fakta yang ditegaskan olehnya, mestilah membuktikan bahawa fakta itu wujud.
(2) Apabila seseorang terikat untuk membuktikan kewujudan apa-apa fakta, maka dikatakan bahawa beban membuktikan terletak pada orang itu.

74. Beban membuktikan dalam sesuatu guaman atau prosiding terletak pada orang yang akan gagal tiada apa-apa keterangan langsung diberikan oleh mana-mana pihak.

75. Beban membuktikan tentang apa-apa fakta tertentu terletak pada orang yang berkehendakkan Mahkamah mempercayai tentang kewujudan fakta itu

76. Beban membuktikan apa-apa fakta yang perlu dibuktikan untuk membolehkan mana-mana orang memberikan keterangan mengenai apa-apa fakta yang lain, terletak pada orang yang berhasrat memberikan keterangan itu.

78. Apabila mana-mana fakta diketahui secara khusus oleh mana-mana orang, maka beban membuktikan fakta itu terletak padanya.

79. Apabila soalnya ialah sama ada seseorang itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa orang itu masih hidup dalam masa tiga puluh tahun, maka beban membuktikan yang dia telah mati terletak pada orang yang menegaskannya.

80. Apabila soalnya ialah sama ada seseorang itu masih hidup atau telah mati, dan dibuktikan bahawa tiada apa-apa khabar telah didengar mengenainya selama empat tahun oleh orang yang sepatutnya mendengar khabar mengenainya jika dia masih hidup, maka beban membuktikan yang dia masih hidup beralih kepada orang yang menegaskannya.

81. Apabila soalnya ialah sama ada mana-mana orang ialah pemunya apa-apa jua benda yang dibuktikan sebagai ada dalam miliknya, beban membuktikan bahawa dia bukanlah pemunya benda itu terletak pada orang yang menegaskan bahawa dia bukan pemunyanya.

TAHAP PEMBUKTIAN

Yakin : 100%
Pasti ia adalah benar berlaku. Dalam sesetengah kes, ia merujuk kepada tahap irresistable conclusion.

Zan al-ghalib : 90% - 99%
Besar Kemungkinan atau berat sangka atau tanpa keraguan yang munasabah ia adalah benar.

Zan : 51% - 89 %
Sangkaan atau dalam keadaan tidak pasti tetapi mirip kepada benar.

Syak : 50 % di kedua-dua belah pihak
Sangkaan atau keadaan tidak pasti di antara sabit persamaan kemungkinan di antara benar dengan salah atau tidak dapat untuk dipilih di antara dua kerana persamaan tahap kemungkinannya

Waham : bawah 50 %
Sangkaan atau keadaan tidak pasti  yang lebih mirip  kepada salah.


SIAPA YANG BOLEH BERI KETERANGAN ????????


saksi” tidak termasuk plaintif, defendan dan orang tertuduh;

Setiap perkataan yang diutarakan oleh orang yang mendakwa adalah suatu dakwaan sahaja secara prinsipnya dan ianya bukan sebahagian kesaksian sebagaimana yang termaklum walaupun ulama’ ada membincangkan berkaitan penerimaan dakwaan berdasarkan kepada perkataan pendakwa sahaja tanpa sebarang kesaksian.

Mohd Salleh Hj Ahmad, Sistem Kehakiman Islam, Jilid 2, Pustaka Haji Abdul Majid, 1997, halaman 105.

Maknanya...Plaintif, Defendan atau Tertuduh TIDAK BOLEH memberi keterangan lisan sebagai saksi..jika keterangan lisan diambil sekalipun ianya adalah bersifat dakwaan Plaintif semata-mata yang disampaikan secara lisan.

Ibn Mukhtar
6.9.2011






Tiada ulasan: