Sabtu, 15 September 2012

Khilaf Antara Suami Dan Isteri: Kata Siapa Harus Dibenarkan?


Dalam kes yang dirujuk, pihak suami dan isteri telah bertikai samada berlaku persetubuhan atau tidak sebelum perceraian berlaku. Hakim perlu memutuskan samada berlaku persetubuhan atau tidak kerana ini melibatkan kesan dan hak selepas penceraian. Hak tersebut meliputi mahar, iddah, rujuk dan lain-lain kesan yang lahir daripadanya. Kertas ini menyatakan rujukan berkaitan keputusan tersebut.

Rujukan pertama:
Kitab Al-Ashbah Wannazair, Imam Jalaluddin Assayuti Jilid 1 ms 127 Darul Kutub Ilmiah, Beirut 2001 (lampiran 1) dipetik:  

قَاعِدَة : الْأَصْلُ الْعَدَمُ فِيهَا فُرُوعٌ : مِنْهَا : الْقَوْلُ قَوْلُ نَافِي الْوَطْءِ غَالِبًا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ الْعَدَمُ
“Kaedah: ‘Asal sesuatu adalah tidak wujud’ baginya beberapa subtopik, antaranya: Dakwaan yang dipilih adalah tidak berlakunya persetubuhan, dakwaan ini lebih kuat kerana ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’”.

Dalam kitab rujukan ini, kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ adalah lebih dominan dan banyak digunakan dalam masalah khilafiah untuk mazhab Shafie. Kaedah diatas adalah rangkaian yang terbit dari kaedah utama ‘الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكّ’ atau ‘Keyakinan tidak digugat dengan perasaan syak’. Kaedah kedua dari 5 kaedah utama yang digariskan oleh Imam Jalaluddin Assayuti. Mendasari kaedah ini adalah sebuah Hadis dari Abi Hurairah berbunyi:     

الْقَاعِدَةُ الثَّانِيَةُ : الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ وَدَلِيلُهَا قَوْلُهُ صلى الله عليه وسلم { إذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ , أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا ؟ فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ الْمَسْجِد حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا } رَوَاهُ مُسْلِمٌ مِنْ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasul SAW bersabda“ Apabila terdapat sesuatu didalam perutmu maka diragui atasnya samada telah keluar atau tidak (kentut). Maka tidak perlulah untuk keluar dari Masjid (untuk memperbaharui wuduk) sehingga terdengar bunyi atau terbau satu bauan” [Muslim]

Rujukan Kedua:
Dalam kitab yang sama Jilid 2 ms 90 (lampiran 2):

الْقَاعِدَةُ التَّاسِعَةُ إذَا اخْتَلَفَ الزَّوْجَانِ فِي الْوَطْءِ , فَالْقَوْلُ قَوْلُ نَافِيهِ . عَمَلًا بِأَصْلِ الْعَدَمِ إلَّا فِي مَسَائِلَ : الْأُولَى : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ الْإِصَابَةَ , فَالْقَوْلُ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ سَوَاءٌ كَانَ قَبْلَ الْمُدَّةِ , أَوْ بَعْدَهَا , وَلَوْ كَانَ خَصِيًّا , وَمَقْطُوعَ بَعْضِ الذَّكَرِ , عَلَى الصَّحِيحِ
“Kaedah kesembilan: apabila bertikai suami isteri tentang persetubuhan, maka yang terkuat adalah dakwaan tidak berlakunya persetubuhan, ini aplikasi kepada kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ terkecuali pada masalah berikut: apabila mendakwa seorang yang berpenyakit ‘unnah’, maka dibenarkan dakwaan beliau disertai dengan sumpah samada sebelum berlalu satu tempoh atau selepasnya, walaupun ‘khissian’ atau terpotong sebahagian zakarnya, atas pendapat yang sahih”

Terdapat 6 masalah lain yang diberi pengecualian dalam kaedah ini, namun tidak ada satupun yang bersangkutan dengan seorang isteri yang mendakwa berlaku persetubuhan dan suami menafikan seperti kes yang dirujuk. Petikan ini diambil dari tajuk “الْكِتَابُ الرَّابِعُ فِي أَحْكَامٍ يَكْثُرُ دَوْرُهَا وَيَقْبَحُ بِالْفَقِيهِ جَهْلُهَا”.

Rujukan ketiga:
Kitab Al-Majmu’ Sharhu Al-Muhazzab lil As-Shairazi, Imam Abi Zakaria Yahya Sharfu An-Nawawi Jilid 18 ms 66 Maktabah Al-Irsyad, Jeddah (lampiran 3) dipetik:  

فصل: وان اختلفا فى ألوطء فادعته المرأة وانكر الزوج فالقول قوله لان الأصل عدم الوطء
“Ceraian: Sekiranya bertikai pada berlakunya persetubuhan, maka mendakwa perempuan berlaku persetubuhan, menafikan suaminya maka pernyataan yang diambil adalah nyataan suami, kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”

Petikan ini adalah dibawah bab pertikaian suami isteri didalam penentuan “As-Sadaq” pemberian perkahwinan atau maskahwin. Diterangkan juga selanjutnya didalam perenggan yang sama, apabila datang perempuan dengan seorang anak yang dinasabkan kepada suaminya maka penentuan mahar ada dua pendapat, salah satunya wajib suaminya membayar mahar, kerana diketemukan nasab dihukumkan kepada wujudnya persetubuhan. Manakala pendapat kedua tidak wajib mahar kerana anak yang  diketemukan itu hasil dari pelbagai kemungkinan dan mahar tidak wajib melainkan dengan persetubuhan maka asal adalah tiada persetubuhan.

Hujah ini adalah tepat dan kena dengan situasi kes yang dirujuk, kerana dakwaan oleh isteri berlaku persetubuhan dan diingkari oleh suami, dan daripada ketiga-tiga rujukan yang dibawa tiada satupun yang mensyaratkan sumpah untuk mensabitkan tiada berlaku persetubuhan.  Ini membuktikan kekuatan kaedah  ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ yang dibawa oleh As-Sayuti adalah umum diterima dalam mazhab Syafie.

Rujukan keempat:
Di dalam Kitab Hasyiatan Qailubi Waumairah Syarh Minhaj At-Talibin, Syihabudin Ahmad bin Ahmad bin Salamah Alqalyubi dan Syihabudin Ahmad Al Barlisi Umairah, Darul Fikr dinyatakan:

وَإِذَا طَلَّقَ دُونَ ثَلَاثٍ , وَقَالَ : وَطِئْت فَلِي رَجْعَةٌ , وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ ) أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ
“Apabila berlaku talak selain dari talak tiga, suami mendakwa aku telah mensetubuhi isteriku maka bagiku tempoh untuk rujuk, maka dinafikan oleh isterinya berlaku persetubuhan, maka diterima penyataan isteri dengan sumpahnya. Bahawa tidak berlaku persetubuhan ke atas isteri tersebut kerana asal tiada berlaku persetubuhan.”

Nas ini menyatakan apabila seorang suami mendakwa berlaku persetubuhan, manakala isteri menafikannya, situasi yang berbeza dengan kes yang dirujuk, hukumannya adalah tetap kepada tidak berlaku persetubuhan. Kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ tetap digunakan tanpa mengira siapa yang mendakwa samada isteri atau suami. Bezanya hanya pada pengambilan sumpah daripada pihak isteri beserta keterangannya. Dalam nas dari kitab yang lain juga memberi erti yang sama dipetik:

وَإِذَا طَلَّقَ ) الزَّوْجُ ( دُونَ ثَلَاثٍ وَقَالَ وَطِئْت ) زَوْجَتِي قَبْلَ الطَّلَاقِ ( فَلِي ) عَلَيْهَا ( رَجْعَةٌ وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ قَبْلَ الطَّلَاقِ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ )
أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ فَإِنْ قِيلَ : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ أَوْ الْمَوْلَى الْوَطْءَ , فَإِنَّ الْقَوْلَ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ مَعَ أَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ .
Oleh yang demikian, Hakim telah membuat keputusan dengan betul apabila mensabitkan tidak wujud iddah kepada pihak isteri apabila berlakunya penceraian akibat tidak berlaku penyerahan atau persetubuhan selepas perkahwinan.

Pendapat berlawanan
Namun terdapat pendapat yang bertentangan, jika dilihat pada bahagian Fatwa Ibn Ziyad didalam kitab Bughyatul Mustarsyidin fi Takhsis Fatawa Ba’da Al-Aimmah min Ulama’il Mutaakhirin (lampiran 4). Dalam bab Rujuk  menyatakan:

“Masalah: Isteri berikrar berlakunya persetubuhan dan suami menafikan, maka wajib ke atas isteri tersebut iddah, dan tidak gugur dakwaan itu dengan pengakuan beliau (isteri) menipu kerana dia rujuk pengakuan pertamanya sepertimana disebut dalam kitab Raudah. Walaubagaimanapun, sekiranya isteri telah berikrar bahawa suami tidak bersetubuh dengannya dan dibenarkan dakwaan isteri, kemudian sabit dengan keterangan yang baik dengan pengakuan isteri berlaku persetubuhan sebelum ikrar pertama (tidak berlaku persetubuhan) maka tetap diwajibkan iddah…” 

Petikan kitab Bughyah ini mewajibkan isteri mendapat iddah, seolah-olah dipakai keterangan isteri tentang berlakunya persetubuhan, perlu diingat bahawa petikan ini diambil dari bab rujuk dan tumpuan (syahid) diberikan kepada hak isteri untuk mendapat iddah.

Begitu juga satu pendapat yang sama dinukilkan dalam buku “Risalah Perkahwinan Bicara bab Nikah Cerai Rujuk dan Iddah” yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah disebut:

“Sabit bersetubuh:
1. Jika menjadi berbalahan diantara suami isteri dengan bersetubuh, isteri berkata suaminya telah bersetubuh dengannya dan suaminya berkata ia belum bersetubuh dengan isterinya maka kenalah isteri bersumpah dengan bersetubuh maka dihukum telah bersetubuh.

2. Jika menjadi perbalahan diantara suami isteri dengan tiada bersetubuh isteri berkata tiada bersetubuh dan suami berkata telah bersetubuh maka dibenarkan perkataan isteri dengan tiada bersetubuh dan tiada berkehendak kepada isteri bersumpah lagi.

3. Jika tiada menjadi perbalahan dibenarkan perkataan isteri dengan tiada sumpahnya lagi.”

Petikan diatas tidak dinyatakan pengambilannya, oleh yang demikian penyelidikan tidak dapat dibuat ke atas pendapat kontra yang dinyatakan dalam perkara 1.

Penyelarasan
Merujuk kepada Kitab Al-Bayaan Fi Mazhab Al-Imam As-Shafie, Abi Husain Yahya bin Abi Al-Khair Salim Al-Imraani, As-Shafie Al-Yamani. Jilid 9 ms 469-470 Darul Minhaj. (lampiran 5) diterjemahkan.

“Masalah : Mendakwa berlaku berdua-duaan (Al-Khalwat) dan persetubuhan (Al-Asabah);

Jika mendakwa isteri: Bahawa suami telah berdua-duaan dengannya dan menyetubuhinya, atau bersetubuh dengannya tanpa berdua-duaan, dan dinafikan oleh suami.. maka kata-kata diambil dari suami dengan sumpahnya, kerana pada asalnya tiada berlaku berdua-duaan dan persetubuhan.

Dan sekiranya suami membenarkan wujudnya berdua-duaan dan penyerahan diri isteri kepadanya untuk berlaku persetubuhan tetapi tidak berlaku persetubuhan. Dalam perkara ini jika kita mengatakan berdua-duaan adalah sama seperti bersetubuh pada meletakkan kadar mahar musamma maka wajiblah hak iddah.. Jika kita mengatakan berdua-duaan adalah bukan seperti bersetubuh. Adakah diambil kata-kata suami atau kata-kata isteri? Padanya dua pendapat.

1. Pendapat Qadeem: Diambil dakwaan isteri kerana jelas bersamanya.

2. Pendapat Jadid: Diambil dakwaan suami, dan ini adalah pendapat yang asah kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”

Al-Bayan mensyarahkan kitab Al Muhazzab secara lengkap dan perbandingan pendapat-pendapat lain dalam mazhab, pengarang telah memecahkan persetubuhan kepada dua definisi, iaitu berdua-duaan (Al-Khalwah) dan persetubuhan (Al-Asabah).  Sekiranya berlaku berdua-duaan (bersunyi-sunyian suami dan isteri dari pendangan orang lain dan memungkinkan berlaku persetubuhan) ataupun tidak maka dakwaan suami tidak berlaku persetubuhan adalah yang terkuat dan diambil kira. Ini mengambil kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’. Namun sekiranya berlaku berdua-duaan tetapi tidak berlaku persetubuhan maka ada dua pendapat,  diambil dakwaan isteri samada isteri mendakwa berlaku persetubuhan atau sebaliknya. Sekiranya isteri mendakwa berlaku persetubuhan maka wajiblah suami untuk memberi  nafkah iddah, menyempurnakan mas kahwin, mempunyai hak untuk merujuk, dan hak-hak lain.  Namun pendapat yang terkuat adalah tetap kembali kepada suami yang mendakwa tidak berlakunya persetubuhan. Inilah yang ‘Asah’.  

Rumusan…..
1. Dalam dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami maka dakwaan suami dibenarkan. Kerana asal sesuatu tidak ada.

2. Dalam dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami dalam tuntutan iddah maka dihukumkan isteri dengan iddah. Sepertimana dalam kitab Bughyatul Mustarshidin.

3. Sehingga tiada nas lain yang boleh menggugat kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’ dan diaplikasikan terhadap kes ini maka, keputusan Hakim Bicara adalah tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang dan hukum syarak.

Elemen Menyediakan Pliding Yang Baik Berdasarkan Hukum Syarak Dan Beban Pembuktian

7.    Tuntutan Harta Sepencarian
Pliding yang baik hendaklah mengandungi butir-butir yang mencukupi berdasarkan-

i.         Tarikh pemerolehan harta samada dalam tempoh perkahwinan atau sebaliknya.

“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

122. (5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka

ii.        Amaun @ harga asset semasa dibeli.
iii.      Bayaran Pendahuluan...(jika ada) siapa bayar.
iv.       Loan interest....jika ada
v.        Jumlah bayaran bulanan dan pembayar
vi.       Status rumah..dalam pembiayaan @ hak milik
vii.     Takat sumbangan langsung pihak-pihak dalam pemerolehan rumah
viii.    Takat sumbangan tidak langsung pihak-pihak.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.

122. (1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang—

(a). takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;

(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimana pun, pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.

Jumaat, 14 September 2012

Elemen Menyediakan Pliding Yang Baik Berdasarkan Hukum Syarak Dan Beban Pembuktian

8. Kes Perceraian Fasakh
53. (1) Seseorang perempuan atau lelaki, mengikut mana-mana yang berkenaan, berkahwin mengikut Hukum Syarak adalah berhak mendapat suatu perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh atas satu atau lebih daripada alasan-alasan yang berikut, iaitu—
(a) bahawa tempat di mana beradanya suami atau isteri telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;

Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-
i. Rumah yang diiktiraf sebagai Rumah Kelamin selepas pernikahan.
ii. Salah satu pihak keluar dari rumah kelamin.
iii. Genap tempoh setahun. Hendaklah dinyatakan tempoh tersebut.
iv. Tidak diketahui tempat tinggal terkini.
v. Usaha mencari yang wajar telah dilaksanakan.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.

(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;

Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-
i. Kewujudan perkahwinan

ii. Suami cuai @ gagal bayar nafkah.
iii. Genap tempoh tiga (3) bulan. Hendaklah dinyatakan tempoh tersebut.
Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa nafkah telah diperuntukkan.

(c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;

Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-
i. Kewujudan perkahwinan
ii. Salah satu pihak dihukum penjara oleh Mahkamah.
iii. Tempoh hendaklah tiga (3) tahun atau lebih. Hendaklah dinyatakan tempoh tersebut.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.

(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;

Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-
i. Kewujudan perkahwinan.
ii. Tempoh tiada hubungan kelamin genap tempoh setahun.
iii. Tanpa alasan munasabah.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa ada berlakunya persetubuhan dan/atau tiada persetubuhan dengan sebab atau alas an yang munasabah.

(e) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—
(i). lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;

Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-

i. Perlakuan aniaya secara fizikal atau mental
Jika fizikal - Fakta tentang kejadian hendaklah diperincikan dengan betul dan dijelaskan satu persatu berkaitan tarikh, masa, tempat, bagaimana kejadian, saksi.

Jika mental hendaklah dinyatakan jenis cara yang digunakan untuk penderaan secara terperinci dan disokong keterangan Pakar.

(vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak Hukum Syarak;

Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-

i. Suami telah berpoligami.
ii. Ketidakadilan suami di dalam poligami berdasarkan hukum syarak.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.

Elemen Menyediakan Pliding Yang Baik Berdasarkan Hukum Syarak Dan Beban Pembuktian

6. Kes Hadhanah
Jika sekiranya Pemohon adalah seorang ibu, butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-

1. Kelayakan menjadi hadhinah.
"82. (1) Tertakluk kepada seksyen 83, ibu adalah yang paling berhak dari segala orang bagi menjaga anak kecilnya dalam masa ibu itu masih dalam perkahwinan dan juga selepas perkahwinannya dibubarkan."

2. Samada telah hilang atau tidak.

"83. Seseorang yang mempunyai hak mendidik seseorang kanak-kanak, adalah berhak menjalankan hak terhadap hadhanah jika—
(a) dia adalah seorang Islam;
(b) dia adalah sempurna akal;
(c) dia berumur yang melayakkan dia memberi kepada kanak-kanak itu jagaan dan kasih sayang yang mungkin diperlukan oleh kanak-kanak itu;
(d) dia berkelakuan baik dari segi akhlak Islamiah; dan
(e) dia tinggal di tempat di mana kanak-kanak itu tidak mungkin menghadapi apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani."

Jika sekiranya Pemohon adalah seorang ayah dan ingin mendapatkan hak jagaan anak, butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-

1. Alasan atau sebab yang menyebabkan ibu telah hilang kelayakan.

84. Hak seseorang perempuan terhadap hadhanah adalah hilang—
(a) jika perempuan itu berkahwin dengan seseorang yang tidak mempunyai pertalian dengan kanak-kanak itu yang orang itu dilarang berkahwin dengan kanak-kanak itu, jika penjagaannya dalam hal sedemikian akan menjejaskan kebajikan kanak-kanak itu tetapi haknya untuk penjagaan akan kembali semula jika perkahwinan itu dibubarkan;
(b) jika perempuan itu berkelakuan buruk secara keterlaluan dan terbuka;
(c) jika perempuan itu menukar pemastautinannya dengan tujuan untuk mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu ke atas kanak-kanak itu, kecuali bahawa seseorang isteri yang bercerai boleh mengambil anaknya sendiri ke tempat lahir isteri itu;
(d) jika perempuan itu murtad;
(e) jika perempuan itu mencuaikan atau menganiaya kanak-kanak itu.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa hilangnya kelayakan ibu sebagai hadhinah.

Khamis, 13 September 2012

Elemen Menyediakan Pliding Yang Baik Berdasarkan Hukum Syarak Dan Beban Pembuktian

4. Kes Nafkah Isteri atau anak
Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-
i. Keperluan kepada nafkah dan bukan kehendak.
ii. Kemampuan suami atau bapa.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.

"62. Pada menentukan jumlah sesuatu nafkah yang hendak dibayar, Mahkamah hendaklah mengasaskan pentaksirannya terutama sekali atas kemampuan dan keperluan pihak-pihak itu, dengan mengira kadar nafkah itu berbanding dengan pendapatan orang yang terhadapnya perintah itu dibuat."

5. Kes Nafkah Iddah
Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-

i. Tempoh Iddah. Perlu nyatakan bila mula dan habis iddah..
ii. Keperluan dan Perbelanjaan semasa iddah dan bukan kehendak..
iii. Kemampuan bekas suami.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.



Elemen Menyediakan Pliding Yang Baik Berdasarkan Hukum Syarak Dan Beban Pembuktian

1. Kes-Kes berkaitan Pengesahan daripada Mahkamah

i. Nikah
ii. Rujuk
iii. Faraq
iv. Hibah
v. Wakaf
vi. Wasiat
vii. Pengesahan Cerai
@ Dalam suatu keadaan tertentu...kemungkinan kes harta Pesaka.
Pliding yang baik hendaklah mengandungi butir-butir yang mencukupi berdasarkan RUKUN-RUKUN ISU yang di dakwa.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.

2. Kes Pengesahan Cerai Ta’lik.
Pliding yang baik hendaklah mengandungi butir-butir yang mencukupi berdasarkan-

i. Kewujudan lafaz ta’lik yang didakwa
ii. Pelanggaran lafaz ta’lik
iii. Memenuhi rukun talak. (dalam keadaan tertentu)
Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.

"50. (1) Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan ta’liq yang dibuat selepas berkahwin, memohon kepada Mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.

(2) Mahkamah hendaklah memeriksa permohonan itu dan membuat suatu penyiasatan mengenai sahnya perceraian itu dan, jika berpuas hati bahawa perceraian itu adalah sah mengikut Hukum Syarak, hendaklah mengesahkan dan merekodkan perceraian itu dan menghantar satu salinan rekod itu yang diperakui kepada Pendaftar yang berkenaan dan kepada Ketua Pendaftar untuk didaftarkan."

3. Kes Mutaah.
Butir-Butir dakwaan di dalam pliding hendaklah mengandungi elemen berikut-

i. perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut.
"58. Selain daripada haknya untuk memohon nafkah, seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mut’ah atau pemberian saguhati kepada Mahkamah, dan Mahkamah boleh, selepas mendengar pihak-pihak itu dan apabila berpuas hati bahawa perempuan itu telah diceraikan tanpa sebab yang patut, memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak."

ii. sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut Hukum Syarak. Bagi menentukan amaun @ jumlah yang patut, prinsip-prinsip umum hukum syarak hendaklah diambilkira dan dimasukkan di dalam pliding dakwaan.
a). kesenangan suami
b). kesusahan suami
c). keturunan isteri
d) sifat isteri itu

فإن تنازعا قدرها القاضى بقدر حالهما من يساره وإعساره ونسبها وصفتها
Maksud: “Sekiranya berlaku perselisihan mengenai kadar mutaah yang patut dibayar oleh suami kepada isterinya, maka hakim hendaklah bertindak sebagai penentu kadar mutaah itu berdasarkan kriteria-kriteria berikut, kesenangan suami, kesusahan suami, keturunan isteri dan sifat isteri itu”.


Isnin, 27 Ogos 2012

Kenyataan Hidup Di Sebalik Permainan Ini

Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada anak muridnya. Ia duduk menghadap anak muridnya. Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada kayu pemadam. Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, ditangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada kayu pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka sebutlah "Kapur!", jika saya angkat kayu pemadam ini, maka katalah "Pemadam!"

Anak muridnya faham dan seterusnya menyebut dengan betul. Guru bersilih-ganti mengangkat tangan kanan dan kirinya, semakin lama semakin cepat. Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik sekarang perhatikan. Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat kayu pemadam, maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi, tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya. Namun lambat laun, mereka kembali biasa dan tidak kekok lagi.

Selang beberapa saat, permainan berhenti.

Guru tersenyum kepada anak muridnya. "Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq, yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, satelah musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara untuk menukarkan sesuatu, perkara yang haq telah menjadi bathil, dan sebaliknya. Pada mulanya agak sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan pe bagai cara menarik oleh mereka, lambat laun kita akan terbiasa dengan hal itu, seterusnya kita mulai dapat mengikutinya. Musuh-musuh kita tidak pernah berhenti membolak-balik dan menukar nilai murni akidah/hukum Islam dari masa ke semasa.

Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah, tanpa rasa malu, sex sebelum nikah menjadi suatu kebiasaan dan trend, hiburan yang asyik dan panjang sehingga melupakan yang wajib adalah biasa, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya tanpa rasa ia satu kesalahan dan kema siatan. Faham?" Tanya Guru kepada anak muridnya.

Baik untuk permainan kedua..." Gurunya meneruskannya...... "Cikgu ada Qur'an, cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?" Murid-muridnya berfikir. Ada yang mencuba dengan tongkat, dan selainnya.

Akhirnya Guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet .."Murid-murid, begitulah ummat Islam dengan musuhnya.... Musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terangan...Kerana tentu anda akan menolaknya dengan mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menolak kita secara ansur-ansur, sehingga kita tidak sedar.

"Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat. Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja dinding dan peralatan akan dikeluarkan dulu, kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan. ...."

Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan merusakan kita. Mulai dari perangai kita, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun kita muslim, tapi kita telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara mereka... Dan itulah yang mereka inginkan." "Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... "

Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak kita, cikgu?" tanya murid- murid. "Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang Islam, misalnya Perang Salib, Perang Tartar, dan lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang secara terang-terangan, kita akan bangkit serentak, baru mereka gerun". "Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..."


Sumber: Buletin Rakan Pembimbing Julai 2012