Khamis, 20 Disember 2012

Prinsip Permohonan SPP

Berkaitan isu ini, ada satu prinsip yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah di Kuala Lumpur yang mana Mahkamah ini perlu menjadikannya sebagai panduan memutuskan kes ini kerana isu ketiadaan perintah tunggakan yang ada di hadapan Mahkamah ini adalah sama dengan isu yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan Syariah tersebut.

1. Di dalam kes Abdul Sany Faizal Bin Abdul Rahman lwn. Zuraini Binti Zulkifli, Kes Rayuan (Kuala Lumpur) No : 14000-037-10-6325, Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah menegaskan bahawa ;

"Bagi perintah yang jumlahnya bukan muktamad seperti perintah anak yang boleh berlaku perubahan pada perintah tersebut atas permohonan mana-mana pihak, dan ia berlaku secara bayaran bulanan, maka jika berlaku tunggakan ke atas bayaran bulanan tersebut, Saman Penghutang Penghakiman (SPP) tidak boleh difailkan tanpa adanya perintah muktamad mengenai jumlah tunggakan tersebut.

Ini bermakna, pihak Responden di dalam kes ini perlu memfailkan kes tunggakan nafkah anak terlebih dahulu di bawah peruntukan seksyen 77 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. Semasa perbicaraan kes tunggakan nafkah anak tersebut, pihak-pihak berpeluang untuk membuktikan kepada Mahkamah berkenaan tempoh tunggakan dan samada bayaran telah dibuat atau sebaliknya. Selepas perintah tunggakan dibuat, barulah SPP boleh difailkan."

2. Jika PmP telah memperolehi satu perintah nafkah anak berdasarkan Seksyen 73 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan-

73. (1) Kecuali jika sesuatu perjanjian atau sesuatu perintah Mahkamah memperuntukkan selainnya, maka adalah menjadi kewajipan seseorang lelaki menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain, sama ada dengan mengadakan bagi mereka tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya.

(2) Kecuali seperti tersebut di atas, adalah menjadi kewajipan seseorang yang bertanggungan di bawah Hukum Syarak, supaya menanggung nafkah atau memberi sumbangan kepada nafkah kanak-kanak jika bapa kanak-kanak itu telah mati atau tempat di mana bapanya berada tidak diketahui atau jika dan setakat mana bapanya tidak berupaya menanggung nafkah mereka.

3. Berdasarkan prinsip yang diputuskan oleh Panel Rayuan di dalam kes di atas, sepatutnya sebelum PmP memfailkan SPP ini, PmP hendaklah memfailkan terlebih dahulu satu tuntutan tunggakan nafkah anak di bawah Seksyen 78 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan-

78. Seksyen 71 hendaklah dipakai, dengan pindaan yang sesuai dan mengikut Hukum Syarak, bagi perintah-perintah mengenai pembayaran nafkah untuk faedah seseorang anak.

Tiada ulasan: