Selasa, 18 Disember 2012

Syarak Membenarkan Injunksi Demi Kemaslahatan

1. Harith Suleiman Faruqi di dalam Kitab Mu’jam al Qanuni-

"Injunksi disebut sebagai satu perintah  (kehakiman) yang melarang atau menegah (mengikat seseorang daripada melakukan sesuatu yang bersalahan dengan undang-undang)."

2. Muhammad Sidqi bin Ahmad bin Muhammad al Burnu pula di dalam al Wafiz Fi Idhah Qawaid al-Fiqh al Kulliyyah pula menyatakan-

"Injunksi di dalam perundangan Islam adalah berdasarkan kaedah fiqh iaitu menolak kerosakan didahulukan dari mengambil kemaslahatan (dar al mafasid muqaddam ’ala jalbi al-masalih).

Kaedah ini didasarkan daripada hadis Rasulullah SAW yang diriwiyatkan Abu Daud daripada Samurah bin Jundab yang mempunyai sepohon tamar yang mana dahannya condong ke kawasan rumah seorang lelaki Ansar. Samurah masuk ke kawasan rumah tersebut untuk mengambil buah tamarnya. Keadaan ini telah menganggu ketenteraman lelaki Ansar dan keluarganya dan dia telah meminta supaya Samurah menjual pokok tamarnya tetapi Samurah enggan. Lelaki Ansar itu berjumpa dengan Rasulullah SAW dan baginda telah meminta Samurah menjual tamarnya tetapi Samurah masih enggan. Rasulullah SAW kemudiannya bersabda “hadiahkanlah pokok tersebut kepadanya dan kamu akan mendapat ganjaran sekian atau diberi sekian” untuk mengelakkan Samurah mengalihkan pokok itu, Samurah masih enggan memindahkan pokok tersebut dan Rasulullah SAW berkata “kamu menyebabkan mudharat” dan bersabda kepada lelaki Ansar itu “pergilah dan potonglah pokok tamarnya”. Perintah yang diberikan oleh Rasulullah SAW itu adalah merupakan injunksi dalam bentuk suruhan untuk menghalang kerosakan dalam bentuk gangguan (nuissance) kepada tuan tanah yang juga mempunyai hak ke atas tanahnya dari diganggu."
3. Sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Setiap Muslim diharamkan untuk mencerobohi darah, harta dan maruah saudaranya sesama Muslim.”

4. Kaedah fiqhiyyah iaitu “kemudharatan hendaklah dihilangkan” dan “kemudaratan perlu dihilangkan sejauh mana yang boleh”.

5. Kes Khairuazura Binti Abd Rahman lwn Che Rosli Bin Che Nik yang memutuskan bahawa Perintah Injunksi Sementara yang difailkan oleh Pemohon dibenarkan dan diluluskan oleh Mahkamah dan Responden dan/ atau mana-mana warisnya atau agen-agennya atau mana-mana orang suruhannya hendaklah menahan diri daripada menganggui atau mencerobohi dengan apa cara sekalipun ke atas Pemohon, rumah dan premis Pemohon.

Tiada ulasan: