Rabu, 9 Oktober 2013

Tatacara Seksyen 151

Tatacara Seksyen 151

Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal, Kes Rayuan (Negeri Sembilan) No. 05000-099-003-2009 dan kes Zetty Binti Zabir lwn. Mohammed Rafi Bin Mohamed Yaacob, Kes Rayuan Mal (Selangor) No.: 10000-036-011-2009 telah memberikan garis panduan atau tatacara yang diadaptasikan dari Aturan 52 Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 atas kelompongan atau lakuna yang ada berdasarkan peruntukan seksyen 245 (2) ETMMS 2003.

Berdasarkan kepada kedua-dua kes yang dirujuk tersebut, tatacara pengkomitan di bawah peruntukan seksyen 151 ETMMS 2003 hendaklah melalui prosedur berikut :

1.      Permohonan perintah pengkomitan dibuat secara sebelah pihak atau istilah yang selalu digunapakai iaitu secara ex-parte dan disokong dengan Affidavit Sokongan Pemohon yang mengandungi butiran diri Pemohon, butiran diri orang hendak dikomitkan iaitu Responden dan alasan permohonan iaitu berkaitan terma perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut jika berkaitan.

2.  Mahkamah apabila menerima permohonan tersebut, hendaklah menyiasat dan meneliti samada permohonan ini wajar dibenarkan ataupun sebaliknya. Sekiranya wajar dibenarkan, Mahkamah hendaklah membuat suatu perintah tentang kebenaran tersebut dan seterusnya mengeluarkan suatu Notis Tunjuk Sebab (NTS) kepada Responden dan notis tersebut hendaklah diserahsampaikan kepadanya secara kediri bersama dengan Perintah Kebenaran Pengkomitan bagi kes-kes di bawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah.

3.    Bagi perlaksanaan perintah komital di Mahkamah Rendah Syariah, kebenaran pengkomitan hendaklah diperolehi terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah dengan membuat permohonan dan Affidavit Sokongan. Ia selari dengan kehendak Arahan Amalan No. 3 Tahun 2006. Setelah kebenaran pengkomitan diperolehi, permohonan untuk pengeluaran Notis Tunjuk Sebab beserta Affidavit Sokongan yang mengandungi butiran diri P, butiran diri orang hendak dikomitkan (R) dan alasan permohonan (terma perintah yang dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut) hendaklah dipohon di Mahkamah Rendah Syariah. Tatacara seterusnya adalah sama sepertimana di Mahkamah Tinggi Syariah setelah suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah.

4.      Ini adalah bersandarkan alasan, tiada penjelasan yang jelas samada Arahan Amalan dan kes rayuan yang dirujuk berkaitan bagaimana prosiding pengkomitan di Mahkamah Rendah Syariah perlu dilaksanakan setelah kebenaran Mahkamah Tinggi Syariah diperolehi. Selain itu, Mahkamah berpandangan bahawa Mahkamah Rendah Syariah juga hendaklah mempunyai kuasa pengkomitan sebagaimana Mahkamah Tinggi Syariah kerana rujukan Aturan 52 Kaedah Mahkamah Tinggi yang dirujuk di dalam kes rayuan tersebut adalah prosedur yang digunapakai di mahkamah tinggi sivil sedangkan peruntukan yang sama juga ada diperuntukan di bawah Aturan 36 Kaedah Mahkamah Rendah bagi prosedur di mahkamah rendah sivil (Kedua-dua Kaedah ini telah dimansuhkan dan digantikan dengan Kaedah Mahkamah 2012 yang pemakaiannya meliputi Mahkamah Rendah Sivil dan Mahkamah Tinggi Sivil). Di Mahkamah ini, Enakmen Tatacara Mal ini hendaklah digunapakai samada di Mahkamah Tinggi Syariah mahupun Mahkamah Rendah Syariah tanpa ada pengecualian.

5.     Oleh yang demikian, Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa terhadap prosiding pengkomitan. Apatah lagi, Arahan Amalan tidak menyebut kes-kes sebegini hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah atau dibawah bidangkuasa Mahkamah Tinggi Syariah sahaja. Yang dinyatakan oleh Arahan Amalan hanyalah kebenaran hendaklah diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Syariah.

6.   Seterusnya, prosiding pendengaran tersebut hendaklah dibuat secara terbuka kecuali jika ternyata kepada Mahkamah bahawa adalah bagi kepentingan pentadbiran keadilan. Jika sekiranya Responden tidak hadir setelah penyampaian Notis terhadapnya sempurna sebagaimana di syaratkan maka satu waran tangkap boleh dikeluarkan terhadapnya bagi memastikan kehadirannya di hadapan mahkamah. Prosiding bagi kes pengkomitan ini hanya boleh dijalankan dengan kehadiran Responden sahaja dan hanya boleh dikomitkan setelah Responden diberi peluang membela dirinya sahaja.

7.      Ini bersesuaian dengan prinsip bahawa prosiding pengkomitan hendaklah dijalankan secara lebih berhati-hati dan waspada sebagaimana pandangan Hakim Dato’ Jefrey Tan Kok Wha dalam kes Helen Yeap Poh Sin lwn. Universal Trustee (Malaysia) Bhd., (2001) 7 CLJ 414 yang menyatakan :

“Harus juga diingat bahawa kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan seseorang ke penjara kerana kegagalan mematuhi perintah Mahkamah perlu dijalankan dengan berhati-hati.”

8.   Dalam kes di Mahkamah Tinggi Syariah, Pahang iaitu kes Haji Azman Bin Abdul Talib lawan Suhaila Binti Ibrahim [2004] CLJ (Sya) 392, Hakim Abdul Rahman Yunus telah memakai prinsip mahkamah sivil sewaktu membebaskan Respondan dari perintah komital kerana kegagalan mematuhi perintah mahkamah dengan menyatakan:

“kuasa Mahkamah untuk mengkomitkan seseorang ke penjara kerana kegagalan mematuhi perintah Mahkamah perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati.”

9.     Pada tarikh yang ditetapkan, pembelaan Responden sepatutnya dibuat secara lisan dengan cara Hakim Bicara hendaklah menjalankan siasatan terhadap Responden secara “inquistorial”. Namun begitu, Hakim Bicara berdasarkan kuasa budi bicaranya boleh membenarkan Responden disoal oleh Pemohon dan/atau Peguamnya sendiri serta oleh Hakim Bicara. Namun sekiranya Hakim Bicara merasakan adalah munasabah baginya untuk pembelaan Responden dibuat secara Affidavit atas apa-apa sebab atau permohonan Responden, Hakim Bicara boleh membenarkannya tetapi dengan syarat dan kandungan Afidavit hendaklah berkisar kepada pembelaan terhadap Notis tunjuk Sebab tersebut serta Hakim Bicara boleh membenarkannya dan disoal-balas dan disoal-semula oleh pihak-pihak termasuklah Hakim Bicara itu sendiri.

10. Alasan yang munasabah adalah ianya tidak menyebabkan ketidakadilan kepada Pemohon dan Responden memandangkan Pemohon juga diberi ruang untuk menyoalbalas dan Peguam Syarie Responden menyoal semula pembelaan anakguamnya. Bahkan ianya lebih lengkap dan membantu Mahkamah di dalam memahami isu pokok di dalam kes pengkomitan ini bagi menjamin keadilan.pihak –pihak serta bersesuaian dengan prinsip berhati-hati yang dipegang oleh Mahkamah di dalam memutuskan isu pengkomitan. Selain itu, dengan pendekatan ini, prosiding kes ini boleh berjalan dengan lancar telus dan lebih cepat berbanding melalui prosiding inquistorial secara iqrar memandangkan tempoh masa yang diambil untuk menyelesaikan suatu kes memakan masa yang lama disebabkan lambakan kes tanpa mengabaikan prinsip keadilan.

11. Pada asasnya, Hakim Bicara sendiri hendaklah menyoal siasat Responden secara iqrar pembelaan Responden dan saksi-saksi Responden sekiranya ada dengan konsep inquistorial. Namun walaupun menggunakan konsep ini, Mahkamah masih mempunyai kuasa budibicara untuk memberi peluang pihak-pihak terutama yang diwakili peguam syarie menyoal Responden dan juga saksinya sekiranya berkaitan. yang dikemukakan oleh pihak-pihak. Tiada bezanya konsep yang digunakan oleh mahkamah ini berhubung pembelaan Responden dibuat melalui Affidavit cuma hanya dibezakan dengan Afidavit Pembelaan di failkan sebelum prosiding pendengaran dijalankan. Dari sudut pembelaan diberikan secara iqrar, sebelum sesuatu Affidavit diterima sebagai Pembelaan Responden, Responden dikehendaki beriqrar dan mengesahkan bahawa Affidavit yang difailkan tersebut digunakan sebagai pembelaan Responden di dalam prosiding tersebut sebelum prosiding soalbalas oleh Peguam Pemohon dibenarkan, soalsemula oleh Peguam Responden dan siasatan oleh Mahkamah sendiri.


Isnin, 7 Oktober 2013

Tatacara Seksyen 229

Penghinaan Dalam Mahkamah
1.   Jika perlakuan penghinaan itu dilakukan oleh pihak-pihak yang bertikai di hadapan Mahkamah, Hakim hendaklah memberhentikan prosiding induk yang sedang berjalan dan hendaklah menyelesaikan prosiding penghinaan Mahkamah terlebih dahulu. Begitu juga jika ia dilakukan oleh pihak selain dari pihak-pihak bertikai, maka prosiding yang sedang berjalan hendaklah dihentikan dan pihak tersebut dipanggil mengadap Hakim.

2.  Hakim hendaklah merekodkan prosiding tersebut dengan cara yang sepatutnya untuk menyimpan rekod prosiding semasa menjalankan prosiding penghinaan Mahkamah tersebut. Dalam konteks amalan semasa, kebiasaannya Hakim Bicara akan mewujudkan fail berasingan di dalam kes yang sama sebagai contoh, mewujudkan fail sampul kecil di dalam fail kes induk tersebut. Prosiding penghinaan di dalam Mahkamah tidak memerlukan penyampaian Notis Tunjuk Sebab kepada Pihak Yang Menghina Mahkamah (PYMM) kerana ia dilakukan di hadapan Mahkamah sendiri.

3. Hakim hendaklah memulakan prosiding dengan membacakan pertuduhan dan menerangkan kepada PYMM berkaitan jenis kesalahan yang dilakukan oleh PYMM terhadap Mahkamah sebagaimana prosiding kes jenayah. Sekiranya PYMM masih tidak memahami pertuduhan tersebut maka pertuduhan tersebut hendaklah dibacakan kepadanya sekali lagi. Sekiranya PYMM memahami pertuduhan tersebut maka pengakuan PYMM hendaklah diambil samada mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah.

4.  Sekiranya PYMM mengaku salah dan memohon maaf maka prosiding penghinaan tersebut hendaklah dianggap selesai di peringkat tersebut sahaja pada kebiasaannya. Namun sekiranya PYMM mengaku salah tetapi enggan meminta maaf kepada Mahkamah, Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman sebagaimana diperuntukkan oleh peruntukan Seksyen 229 tersebut atau melepaskan PYMM setelah PYMM diberi peluang menjelaskan tindakannya itu. Namun sekiranya PYMM membuat pengakuan tidak bersalah maka PYMM hendaklah diberi peluang untuk membela dirinya sendiri samada dengan cara mengemukakan alasan terhadap tindakan penghinaan tersebut atau memanggil saksi –saksinya bagi menyokong pembelaaannya.

5.  Prosiding ini boleh dijalankan pada masa-masa yang ditetapkan oleh Mahkamah dan tidak semestinya selesai pada hari yang sama dengqan cara inquistorial dan di dalam Mahkamah Terbuka. Ini bermakna, Hakim Bicara boleh menangguhkan prosiding ini dari masa ke semasa mengikut keperluan. Setelah selesai prosiding pembelaan PYMM tersebut, Hakim Bicara hendaklah memutuskan samada menerima atau menolak alasan yang dikemukakan dan hendaklah menilai samada tindakan PYMM telah menyebabkan penghinaan kepada Mahkamah atau tidak sebelum membuat sebarang keputusan.

6. Sekiranya Mahkamah mendapati bahawa alasan atau pembelaan PYMM boleh diterima atau tiada penghinaan Mahkamah berlaku maka Mahkamah hendaklah melepaskan PYMM dengan atau tanpa bersyarat. Namun Sekiranya PYMM gagal memberi pembelaan atau pembelaannya tidak diterima oleh Mahkamah maka  Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman kepada PYMM sama ada penjara (tidak lebih 6 bulan) atau denda (tidak lebih RM 2,000).

Penghinaan Luar Mahkamah
Proses sama KECUALI tindakan penghinaan di luar Mahkamah HANYA BOLEH DIAMBIL setelah suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh Mahkamah kepada PYMM. Ini adalah berdasarkan peruntukan subseksyen 229 (3) yang menyatakan –

(2) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan kediri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.


Selasa, 1 Oktober 2013

Tempoh Penyerahan Notis

TEMPOH penyerahan tersebut yang sesuai dikuatkuasakan adalah dua (2) hari sebelum tarikh pendengaran kes sebagaimana diperuntukan subseksyen 45 (2) ETMMS 2003 tersebut sebagaimana berikut-

(1)   Sesuatu saman yang memulakan suatu tindakan hendaklah disampaikan tidak kurang daripada tujuh hari genap sebelum hari kehadiran melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

(2)   Tertakluk kepada Enakmen ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain, notis bagi semua prosiding lain hendaklah notis dua hari genap melainkan jika Mahkamah memerintahkan selainnya.

Khamis, 19 September 2013

Seksyen 229 BOLEH DIPOHON ???

HANYA Mahkamah sahaja yang boleh memulakan prosiding di luar Mahkamah yang diperuntukkan di dalam Seksyen 229 tersebut berasaskan alasan berikut-

1.      Peruntukan Seksyen 229 tersebut hanya menyatakan bahawa Mahkamah sahaja yang boleh memulakan prosiding penghinaan Mahkamah tersebut sebagaimana yang diperuntukkan-

Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina Mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

2.      Pandangan ini juga telah dijelaskan di dalam kes di dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal, Kes Rayuan (Negeri Sembilan) No. 05000-099-003-2009 yang mana keputusannya dirujuk oleh kes di atas, Panel Rayuan menyatakan-

37.  Kami berpendapat pendekatan cross reference oleh Y.A Hakim Bicara tidak tepat dalam menangani masalah ini kerana konteks seksyen 229 dan 151 (1) (b) (aa) Enekmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) ini berbeza. Di bawah peruntukkan seksyen 229 (1) disebut dengan jelas bahawa prosiding itu dimulakan oleh Hakim, bukan di mulakan oleh-oleh pihak-pihak yang bertikai. Oleh itu, keseluruhan peruntukkan seksyen 229 ini berdiri dengan sendirinya, iaitu dalam kes di mana Hakim mendapati ada mana-mana pihak melakukan penghinaan kepadanya, sama ada di dalam Mahkamah atau di luar mahkamah.

38.  Kami dengan hormatnya merujuk kepada peruntukkan seksyen 229 (1) ini yang menetapkan seperti berikut:-

Mahkamah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

3.      Sekiranya undang-undang membenarkan penghinaan Mahkamah dipohon oleh pihak-pihak maka adalah lebih sesuai frasa yang digunakan adalah “Mahkamah boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak” atau setidak-tidaknya menggunakan peruntukan sebagaimana diperuntukkan di dalam Aturan 52 Kaedah Mahkamah 2012 ( peruntukan yang sama terkandung di dalam akta lama iaitu Aturan 52 KMT 1980 dan Aturan 34 KMR 1980) yang menyatakan-

Aturan 52, Kaedah 2 – Mahkamah boleh atas permohonan mana-mana pihak kepada mana-mana kausa atau perkara atau atas usulnya sendiri, membuat suatu perintah pengkomitan dalam Borang 7.

4.    Perbezaan di antara peruntukan Seksyen 229 ini berbanding peruntukan yang lain di dalam ETMMS kerana bagi peruntukan ini, tiada sebarang borang disediakan atau dilampirkan berbanding peruntukan lain yang dilampirkan bentuk borang tertentu terutamanya bagi prosiding penguatkuasaan dan perlaksanaan perintah termasuk seperti Saman Penghutang Penghakiman mahupun Notis Penghakiman yang mana natijahnya adalah hukuman pemenjaraan. Namun tidak bagi peruntukkan Seksyen 229 ini, tiada sebarang bentuk borang dilampirkan dan ini menunjukkan bahawa peruntukan ini adalah dikhususkan kepada Mahkamah sahaja. Begitu juga kija dilihat berdasarkan amalan sivil yang mana dilampirkan borang bagi menjelaskan prosedur yang perlu diikuti di dalam sesuatu prosiding.

Rabu, 18 September 2013

Seksyen 229 ETMMS 2003 vs Seksyen 151 ETMMS 2003

1. Prinsip “cross reference” yang digunakan oleh Hakim terdahulu di dalam penghakiman kes Roslaili Binti Abdul Ghani lwn. Ahmad Azman Bin Yaacob, JH XIX (2) kepada seksyen 229 ETMMS telah diakas oleh kedua –dua kes di atas yang mana Hakim Mahkamah Rayuan Syariah juga menegaskan di dalam kes kes Zetty Binti  Zabir lwn. Mohammed Rafi Bin Mohamed Yaacob, Kes Rayuan Mal (Selangor) No: 10000-036-011-2009 bahawa:

“Walaupun tidak menjadi isu di peringkat rayuan ini, saya melihat telah wujud suatu amalan yang pada pendapat saya telah menyimpang dari maksud sebenar prosiding pengkomitan di bawah peruntukkan seksyen 151 (1) (b) (aa) Enekmen Tatacara Mal ini  dengan pendekatan dibaca bersama “cross reference” kepada peruntukkan seksyen 229 Enekmen yang sama. Sedangkan peruntukkan kedua-dua seksyen tersebut adalah peruntukan yang berbeza yang berdiri dengan sendirinya sehingga, dalam kes ini, tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah kes pengkomitan atau penghinaan Mahkamah…..”

2.      Manakala di dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal, Kes Rayuan (Negeri Sembilan) No. 05000-099-003-2009 yang mana keputusannya dirujuk oleh kes di atas, Panel Rayuan menyatakan-

37.  Kami berpendapat pendekatan cross reference oleh Y.A Hakim Bicara tidak tepat dalam menangani masalah ini kerana konteks seksyen 229 dan 151 (1) (b) (aa) Enekmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) ini berbeza. Di bawah peruntukkan seksyen 229 (1) disebut dengan jelas bahawa prosiding itu dimulakan oleh Hakim, bukan di mulakan oleh-oleh pihak-pihak yang bertikai. Oleh itu, keseluruhan peruntukkan seksyen 229 ini berdiri dengan sendirinya, iaitu dalam kes di mana Hakim mendapati ada mana-mana pihak melakukan penghinaan kepadanya, sama ada di dalam Mahkamah atau di luar mahkamah.

38.  Kami dengan hormatnya merujuk kepada peruntukkan seksyen 229 (1) ini yang menetapkan seperti berikut:-

Mahkamah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

39.  Sedangkan di bawah seksyen 151 (1) (b) (aa), ia boleh difahami bahawa prosiding ini dimulakan oleh pemiutang penghakiman berdasarkan frasa “dengan kebenaran mahkamah, perintah pengkomitan”. Kebenaran ini diperlukan apabila prosiding pengkomitan ini hendak dimulakan oleh pemiutang penghakiman. Berbeza dengan hakim, tidak perlu dia membenarkan dirinya sendiri untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah.

40.  Pendapat kami bahawa prosiding penghinaan Mahkamah ini dimulakan oleh Hakim sendiri  diperkukuhkan lagi dengan peruntukkan seksyen 229 (2) Enekmen Tatacara Mal di mana disebutkan rekod prosiding penghinaan itu hendaklah dibuat oleh Hakim. Ia sama sekali berbeza dengan kes pengkomitan di bawah peruntukkan seksyen 151 (1) (b) (aa) yang mana rekod tersebut telah ada apabila pemiutang penghakiman memfailkan kesnya.

41.  Kami juga memperkukuhkan pendapat kami bahawa konteks seksyen 151 (1) (b) (aa) dan seksyen 229 ini berbeza berdasarkan bahawa istilah pengkomitan yang terdapat di bawah seksyen 151 (1) (b) (aa) ini  memberi maksud komit ke penjara. Oleh itu peruntukkan seksyen 151 (1) (b) (aa) ini hanya berkenaan dengan pemenjaraan sahaja kerana ia melibatkan kesalahan yang lebih serius iaitu keingkaran mematuhi perintah mahkamah yang bukan sahaja menyebabkan kewibawaan mahkamah terjejas bahkan memudaratkan pemiutang penghakiman. Berbeza dengan prosiding penghinaan Mahkamah di bawah seksyen 229, di mana Hakim diberi kuasa memilih hukuman antara hukuman penjara atau denda. Ini adalah kerana kemudaratan yang terbit dari keingkaran mematuhi sesuatu perintah hanya melibatkan satu pihak sahaja, iaitu Mahkamah. Jadi ia tidak seserius kesalahan seksyen 151 (1) (b) (aa).

Seksyen 229 dan Seksyen 151 hendaklah boleh berdiri sendiri tanpa membuat sebarang kaitan di antara keduanya.

Isnin, 9 September 2013

Harta Sepencarian vs Harta Syarikat 2

Di dalam kes Norhayati binti Yusoff lwn. Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, JH 27 (1) hlm. 49-50 yang mana Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan menyatakan bahawa harta yang berbentuk syer atau harta yang berbentuk saham boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan dalam penghakimannya menyatakan :

“Saham-saham Public Bank yang dimiliki oleh Respondan juga termasuk Harta sepencarian. Ini kerana saham-saham ini diperolehi oleh Respondan di dalam tempoh perkahwinannya dengan Perayu.”

Di dalam kes Wan Khairani Binti Wan Mahmood lwn. Ismail Bin Mohamad, Kes Mal No. 63/91 yang mana di putuskan harta syarikat tidak boleh diisytiharkan sebagai harta sepencarian sebagaimana berikut;

“Secara keseluruhan, Mahkamah mendapati, Defendan dan syarikat-syarikat yang ditubuhkan terutamanya syarikat Seri Alam Sdn. Bhd. adalah dua ‘entiti’ yang berbeza. Mahkamah menggunapakai prinsip asas undang-undang syarikat dan menolak untuk menggunakan budibicara Mahkamah. Asas utama kepada keputusan ini ialah Plaintif gagal meyakinkan Mahkamah bahawa wujud apa-apa fakta yang membolehkan Mahkamah menggunakan budibicaranya atau mana-mana pengecualian kepada prinsip asas doktrin pengasingan ‘entiti’ yang dibenarkan oleh undang-undang. Oleh yang demikian pemilik syarikat dan syarikat adalah berasingan. Maka harta syarikat adalah harta syarikat semata-mata. “

Keputusan Y.A Hakim Bicara tersebut telah ditolak oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur (Kes Mal [Rayuan] No.: 14000-017-0027-2009) semasa rayuan kes tersebut. Panel Rayuan membuat keputusan bahawa harta syarikat merupakan harta sepencarian apabila terbukti syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh Responden. Penjelasan Panel Mahkamah Rayuan Syariah seperti berikut :

“Malah pihak Responden sendiri semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi mengakui dalam pemeriksaan balas mengenai pegangan syer di dalam Syarikat Sri Alam sebagaimana yang terdapat di dalam Rekod Rayuan, Jilid 2, mukasurat 527, iaitu seperti berikut:-

“Jumlah syer saya adalah 503, 998”.
“Betul 100% pemegang saham adalah saya tetapi Marina Yusof masih menuntut 30% “.

“Bahagian Marina Yusof selesai tahun 1999, Sri Alam bayar 8 juta kepada Marina Yusof termasuk pemindahan milik tanah daripada nama Marina Yusof kepada Sri Alam”.

Dengan ini saya berpuashati bahawa apabila Syarikat Sri Alam dimiliki sepenuhnya oleh Respondan, maka Syarikat Sri Alam dan Respondan adalah entiti yang sama walaupun mengikut tafsiran Akta Syarikat Respondan dan syarikat Sri Alam adalah entiti yang berbeza. Mengikut Hukum Syarak fakta yang penting ialah siapa pemilik sebenar harta itu. telah jelas bahawa Syarikat Sri Alam dimiliki sepenuhnya oleh Respondan. Maka apabila Respondan telah memperolehi harta dalam tempoh perkahwinan yang masih berkuatkuasa berupa tanah Sepang yang bertukar menjadi wang pampasan, harta tersebut merupakan harta sepencarian sepertimana yang dimaksudkan di bawah seksyen 2 Akta Keluarga Islam (Wilayah – Wilayah Persekutuan ) 1984…..”

Di dalam kes Kasmath Bevi Abdul Rahman lwn. Impact Independent Financial Advisory Sdn Bhd, iaitu kes Mahkamah Perusahaan Malaysia No ; 7(21)/4-100/06, yang mana Hakim Bicara menyatakan ;

Mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Responden bahawa undang-undang adalah jelas Syarikat dan pengarah merupakan entity yang berasingan seperti diputuskan dalam kes Solomon v. Solomon [1897] A.C. 22. Beliau telah merujuk kepada kes Tryotech (M) Sdn. Bhd. Jinit Bin Rakijan [1999] 1 ILR di mana Mahkamah telah memutuskan seperti berikut :-

(i)                 Pengarah Syarikat dan syarikat adalah dua entiti atau personaliti undang-undang yang berbeza.

(ii)               Tanggungan sesebuah syarikat berhad atau sendirian berhad adalah terhad kepada modal berbayarnya dan pemegang-pemegang saham syarikat pula hanya bertanggungjawab setakat sahamnya dalam syarikat itu.

(iii)             Mahkamah ini tidak dapat mengenepikan prinsip undang-undang syarikat bahawa syarikat yang diperbadankan di         bawah Akta Syarikat 1965 adalah beban undang-undang yang berbeza dan lain daripada Pemegang Saham dan Pengarahnya.

(iv)              Pengarah sesebuah syarikat boleh dipertanggungjawabkan berkenaan tanggungan sivil syarikat yang dia menjadi Pengarah hanya di bawah undang-undang tertentu seperti Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Di dalam kes Ooi Meng Sua lwn. PP, 8 CLJ, hlm. 776 yang mana hakim bicara di dalam penghakimannya menyatakan;

Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa syarikat adalah merupakan satu entiti undang-undang yang tersendiri dan Pengarah-Pengarah Syarikat mentadbirkan syarikat mengikut undang-undang tubuh atau memorandum serta artikel syarikat dan resolusi yang diluluskan dari masa ke semasa oleh Lembaga Pengarah Syarikat Atau Pemegang-Pemegang Saham dalam mesyuarat agong syarikat. Harta syarikat adalah milik syarikat dan Pengarah Syarikat tidak boleh menyifatkannya sebagai harta peribadi (Solomon v. Solomon & co. [1897] AC 2).

Prinsip Penerimaan Dokumen

Surat
Kes Zainab Mahmood Lwn Abd Latif b. Jusoh, Jurnal Hukum, Jilid 8, Bhg 2 di mana Mahkamah Rayuan dalam soal kebolehterimaaan keterangan dokumen memutuskan seperti berikut:

"Surat ini dicop dengan "salinan disahkan betul" oleh Pengarah Jabatan Agama Islam W. Persekutuan. Dari segi undang-undang, pengesahan itu hanya bertujuan untuk membolehkan salinan surat yang asal dijadikan barang bukti sewaktu perbicaraan di mahkamah. "Salinan Disahkan Betul" hanya membuktikan bahawa surat asal ada di dalam milikan dan jagaan Pengarah Jabatan Agama Islam W. Persekutuan. Tetapi ia tidak sekali kali boleh dianggap atau digunakan sebagai bukti pengesahan dari pihak pengarah, bahawa kandungan surat itu adalah benar. Kebenaran kandungan surat itu mestilah dibuktikan dengan cara biasa, iaitu dengan memanggil saksi, sekiranya ada.

Di dalam kes ini kebenaran kandungan surat ini tidak boleh disahkan oleh penulis surat itu sendiri tetapi hanya boleh disahkan oleh pihak ketiga iaitu Puan Safiah yang dikatakan oleh Responden sebagai saki untuk menentukan kebenaran episaod yang berlaku 20hb Julai 1988. Oleh yang demikian, YA Hakim tersilap dari sudut undang-undang keterangan dengan menerima surat tersebut sebagai pengakuan bertulis dan menyokong kebenaran cerita Responden mengenai lafaz cerai pada 10 Julai 1988."

Laporan Polis
Dokumen sama ada dokumen awam atau dokumen persendirian bukan menjadi isu kerana borang "Polis 55-Pin 2/83" dibuat oleh Percetakan Nasional Berhad. Yang penting dalam soal ini adalah kandungan dokumen berkenaan. Siapakah pembuat kandungan dokumen tersebut. Adakah pihak polis atau pihak Plaintif sendiri. Apa yang sebenarnya berlaku laporan itu ditulis berdasarkan aduan pihak Plaintif sendiri dan pegawai polis hanya mencatat sahaja dan sesudah itu membacanya semula kepada pihak yang mengadu dan jika disahkan oleh pengadu apa yang dicatat oleh pegawai polis tersebut, maka pengadu akan menurunkan tandatangan. Prosedur ini adalah sebagai mana yang ditetapkan oleh Seksyen 107 Kanun Acara Jenayah 1997.

Apabila maklumat diberi secara lisan kepada seorang ketua balai polis berkenaan kejadian satu-satu kesalahan, ketua balai polis itu atau pegawai polis lain di bawah arahannya hendaklah menulis maklumat itu dan setelah menulis hendaklah bacakan balik kepada si pemberitahu. Tiap-tiap maklumat itu hendaklah dicatat di dalam buku laporan yang disimpan oleh pegawai itu dan juga hendaklah ditulis haribulan dan waktu maklumat diberi, sama ada diberi secara bertulis atau lisan. Setelah menulis maklumat itu perlu ditandatangani oleh si pemberitahu.

Jadi sebenarnya pihak yang mengadu adalah pembuat kandungan dokumen. Kalau dikatakan pihak polis yang membuat kandungan dokumen tersebut, ia tidak tepat. Cuma sebelum diputuskan untuk menerima Laporan Polis tersebut, perlu disiasat apakah yang dimaksudkan dengan cop yang berwarna merah pada ketiga-tiga Laporan Polis berkenaan yang mengandungi perkataan-perkataan seperti berikut [[SALINAN YANG DISAHKAN. Tidak Boleh Digunakan Di Mahkamah Seperti Kehendak Seksyen 108 K.A.L) yang biasanya wujud di setiap laporan Polis.. Ia amat berlawanan dengan peruntukan Seksyen 108A Kanun Acara Jenayah 1997, salinan repot yang diakui sah boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah. Peruntukkannya adalah seperti berikut:-

"Dalam mana-mana prosiding di bawah Kanun ini, satu salinan maklumat yang ditulis di bawah peruntukkan seksyen 107 atau seksyen 108, dan yang dikatakan telah disahkan menjadi satu salinan yang sebenarnya oleh Ketua Polis Daerah di mana balai polis tempat diterima maklumat itu berada, akan diterima sebagai keterangan dalam Mahkamah mengenai isi-isi kandungan maklumat yang mula-mula diterima itu dan tentang masa, tempat dan cara bagaimana maklumat itu telah direkod."

Oleh itu, pembuat dokumen laporan polis itu sebenarnya pihak Plaintif sendiri dan Ketua Balai Polis berkenaan tidak perlu di sapina untuk pengecaman. Kandungannya semata-mata aduan atau dakwaan yang belum terbukti benarnya dan ia berhajat kepada pembuktian oleh pihak Plaintif.

Perintah Perlindungan Interim (IPO)

Selain dibuktikan meterai Mahkamah itu palsu, dokumen yang mengandungi meterai Mahkamah yang sah hendaklah diberikan pengiktirafan kehakiman berdasarkan Subseksyen 44 (1) (e) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang jelas menyatakan bahawa –

44. (1) Mahkamah hendaklah memberikan pengiktirafan kehakiman mengenai fakta yang berikut:

(e) meterai semua Mahkamah di Malaysia, semua meterai yang mana-mana orang diberikuasa untuk menggunakannya oleh mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Malaysia dan meterai notari awam;
Perintah yang dikeluarkan boleh dianggap sebagai qarinah sebagaimana diperuntukkan di dalam Seksyen 30 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang jelas menyatakan-

30. Penghakiman, perintah atau dekri, selain daripada yang disebut dalam seksyen 29, ialah qarinah jika ia berhubungan dengan perkara daripada jenis awam yang relevan kepada siasatan itu; tetapi penghakiman, perintah atau dekri itu bukanlah bukti konklusif mengenai apa yang dinyatakan olehnya.

Prinsip kaedah fiqh yang boleh digunapakai yang berbunyi-

الاصل في كل حادث تقديره باقرب زمن
“Asal setiap yang berlaku diambilkira masa yang paling hampir”

ما ثبت بزمان يحكم ببقاءه ما لم يقم الدليل على خلافه
“Apa yang ditetapkan beradasarkan masa atau semasa dihukum dengan kekalnya begitu, selagi tiada dalil menyalahinya”

[Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh, Ustaz Abdul Latif Muda, Ustazah Rosmawati Ali @ Mat Zin, Cetakan Pertama 2000, Pustaka Salam, halaman 117]

Jumaat, 6 September 2013

Harta Sepencarian vs Harta Syarikat

Umi Khalsom Mohamed & Anor V. Haliza Hassan, [2009] 9 CLJ 729, Mahkamah Tinggi Malaya Kuala Lumpur, Plaintif adalah Pentadbir bersama bagi harta pusaka Md Rosli Bin Manap yang mana ianya telah diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25.10.2005. Pada 3 Mei 2008, mahkamah syariah telah memerintahkan saham sebanyak 15, 000 unit yang didaftarkan di atas nama Defendan 1 adalah harta sepencarian si mati dan Mahkamah Syariah telah memerintah 2/3 (10,000 unit) di berikan kepada Plaintifdan 1/3 (5,000.00) diserahkan kepada Defendan 1. Plaintif melalui Peguamnya telah mengeluarkan satu surat mengarahkan Defendan 2 untuk mengesahkan bahawa 10,000 unit saham yang di daftarkan di atas nama Defendan 2 didaftarkan di atas nama Plaintif 1 dan mengeluarkan sijil saham bagi unit tersebut sewajarnya. Defendan 2 gagal mematuhinya dan Plaintif memfailkan permohonan untuk melaksanakan tujuan tersebut. Permohonan Plaintif di luluskan dan Hakim Bicara menyatakan sebagaimana berikut-

[4] Based on the above findings I am of the opinion that the plaintiffs have the rights to ask for rectification pursuant to s. 162(1)(a) of the Companies Act. As explained above, the plaintiffs’ rights to the shares was lawfully given by a court with competent jurisdiction under s. 46(2)(b)(iv) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993.

[5] Therefore I conclude that that encl. 1 should be allowed with cost. Order given, as prayed, accordingly.

Sri Alam Sdn Bhd V. Wan Khairani Wan Mahmood & Ors [2013] 6 CLJ 201, Mahkamah Tinggi Malaya, Kuala Lumpur, Plaintiff adalah syarikat “private limited” yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 21 Januari 1975 di dalam bidang pembangunan tanah, pembinaan bangunan dan pelaburan. Defendan 1 dan 2 adalah suami isteri yang telah bercerai pada 02.05.1990. Defendan 3 dan 4 pula adalah syarikat guaman Pada tarikh perceraian tersebut, 2.5.1990, Defendan 2 dan seorang lagi, telah didaftarkan sebagai pemegang saham berdaftar kepada Plaintif. Pada 14.09.1975, Plaintif telah membeli dua lot tanah di bawah Geran No. 8202, Lot 3777 Mukim Kajang, Daerah Ulu Langat, Selangor and Geran No. 9508, Lot 5539, Mukim of Kajang, Daerah Ulu Langat yang kemudiannya di tukar kepada Mukim Dengkil, Daerah Sepang (“tanah tersebut”) daripada Low Gan Hui @ Low Nan Pui.

Defendant 1 telah memfailkan Saman di Mahkamah Tinggi Syariah, Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, melalui Saman No. 0063/91T, dengan mendakwa mempunyai hak harta sepencarian terhadap defendan beberapa asset termasuk kedua-dua tanah tersebut. Mahkamah Tinggi Syariah di dalam Penghakiman pada 14 September 2009 memutuskan sebagaimana berikut:-

(a)    defendan 2 and syarikat-syarikat yang diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 oleh Defendan 2 adalah entity yang berasingan.
(b)   Tanah tersebut telah diisytiharkan sebagai bukan harta sepencarian antara Defendan 1 dan 2 tetapi adalah harta atau asset Plaintif.

Defendan 1 telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terhadap keputusan tersebut dan pada  15 September 2011, Mahkamah Rayuan Syariah telah membenarkan Rayuan tersebut dan memerintah sebagaimana berikut:-

(a)      Rayuan Defendan 1 bahawa tanah tersebut diisytiharkan sebagai harta sepencarian dibenarkan
(b)      Bahagian gantirugi wang untuk tanah tersenut yang berjumlah RM281,528,178 dibahagikan antara Defendan 2 dan Defendan 1 sebagai harta sepencarian berdasarkan ratio 1/3 untuk defendan 1 dan 2/3 defendan 2 selepas ditolak hutang yang ditanggung oleh defendan 2 untuk bayaran balik harga belian tanah tersebut dan setelah ditolak tanggungan “Syarikat Sri Alam Sdn Bhd” iaitu plaintif.

Mahkamah Rayuan semasa menolak permohonan Plaintif telah memutuskan sebagaimana berikut-

(1) “Harta sepencarian” has been defined in s. 2 of the Islamic Family Law (Federal Territories) Act 1984 (‘Act 303’) to mean property which are jointly acquired by a husband and wife during the subsistence of marriage in accordance with the conditions stipulated by “Hukum Syara”. By virtue of s. 58 of Act 303, the Syariah High Court, when making an order of divorce, is empowered to order the division between the parties of “harta sepencarian”, subject to the considerations stipulated therein. (paras 18 & 20)

(1a) Article 121(1) of the Federal Constitution provides for the establishment of the civil courts and art. 121(1A) expressly provides that the civil courts shall have no jurisdiction over the Syariah courts. Section 46(2)(b)(iv) of the Administration of Islamic Law (Federal Territories) Act 1993 provides that a Syariah High Court of the Federal Territories shall, in its civil jurisdiction, hear and determine all actions and proceedings in which all the parties are Muslims and which relate to the division of, or claims to “harta sepencarian”. (paras 15 & 17)

(2) The Syariah Court of Appeal was acting within its own jurisdiction in determining what properties belonged to the second defendant, which were “harta sepencarian”, and which ought to be divided between the first and second defendants. Thus, the said court did not encroach on the jurisdiction of the civil court in relation to company law and trust law matters. (para 35)

(3) The civil court had no jurisdiction to adjudicate on the first defendant’s claim for “harta sepencarian” or to declare the decision of the Syariah Court of Appeal as null and void even if the properties involved were in the form of the second defendant’s shares in the plaintiff or were in the form of shares owned by the second defendant but held under a trust deed in the plaintiff. (para 36)

(4) The Syariah Court of Appeal had already decided on the matter and a final judgment had been given. There was no possibility that the said court should make an order to stay its proceedings and then refer the company law and trust law matters to the civil court. Further, it was not within the jurisdiction of this civil court to review the decision of the Syariah Court of Appeal. Hence, the parties to the Syariah Court matter were bound by the decision of the Syariah Court of Appeal. (Latifah Mat Zin v. Rosmawati Sharibun & Anor; dist) (paras 38 & 39)

(5) The filing of this action could not, per se, tantamount to an abuse of process of the court. However, if it was proved that the second defendant was using the plaintiff company to file this action in order to have a second bite of the cherry on the issue of “harta sepencarian”, then that could amount to an abuse of process. (para 43).

Ismail Mohamad V. Wan Khairani Wan Mahmood & Another Appeal[2009] 4 CLJ 653, Mahkamah Persekutuan, Putrajaya,  Kes ini melibatkan suatu pertikaian di antara satu pasangan suami isteri beragama Muslim yang telah bercerai berkenaan dengan pengagihan aset-aset mereka akibat penceraian mereka. Suami dan isteri merupakan pemegang-pemegang syer dalam sebuah syarikat yang, semasa perkahwinan mereka, membeli beberapa bidang tanah; isteri merupakan pemegang syer minoriti, dengan memegang 7.97% syer-syer dalam syarikat. Kerajaan telah memperolehi dua lot tanah tersebut dan hasil pampasan kepada perolehan itu telah, atas permintaan suami (pengarah syarikat itu), dibayar kepadanya sendiri. Wang itu dipegang sebagai amanah dalam akaun persendiriannya untuk syarikat. Isteri kemudiannya memperolehi suatu injunksi di Mahkamah Syariah terhadap suami untuk melindungi tuntutannya untuk harta sepencarian. Pada masa yang sama beliau, dalam suatu tindakan terbitan bagi pihak syarikat, menuntut sesuatu injunksi untuk melindungi kepentingan syarikat.

Dalam rayuan-rayuan semasa, isteri telah merayu terhadap Mahkamah Rayuan hanya membenarkan suatu injunksi separa berhubungan dengan bahagian pampasan wangnya dan suami terhadap injunksi dibenarkan sama sekali. Soalan-soalan berikut perlu dipertimbangkan:

(i) Di mana Mahkamah Syariah menentukan status tanah-tanah tertentu bagi suatu tuntutan harta sepencarian (‘Tindakan Syariah’) oleh plaintif, sama ada mahkamah sivil boleh, atas dasar melaksanakan bidang kuasa bertindih, memperolehi bidang kuasa untuk menentukan status tanah-tanah yang sama dalam suatu tindakan yang dikemukakan oleh plaintif yang sama (‘Tindakan Sivil’);

(ii) apabila diberi notis untuk menghentikan Tindakan Syariah memandangkan Tindakan Sivil itu, plaintif meskipun begitu melanjutkan secara aktif Tindakan Syariah dengan meminda tuntutan dan memohon dari perintah-perintah injunksi di bawahnya, sama ada ia sepatutnya dianggap bahawa plaintif telah memilih untuk melanjutkan Tindakan Syariah sebagai ganti kepada Tindakan Sivil;

(iii) sama ada ia suatu penyalahgunaan proses bagi plaintif untuk mengekalkan dua tindakan pada masa yang sama atas tanah-tanah yang sama dalam dua mahkamah lain di mana tuntutan dan kausa tindakan mengenai tanah-tanah itu tidak konsisten sama sekali;

(iv) sama ada pembawaan prosiding dalam kedua-dua mahkamah sivil dan juga Mahkamah Syariah bermaksud kependuaan prosiding dan oleh itu ialah suatu penyalahgunaan proses mahkamah; dan

(v) dalam satu tindakan terbitan untuk mendapat kembali aset-aset syarikat yang dikatakan telah dilesapkan oleh pemegang syer majoriti, sama ada mahkamah boleh membahagi aset-aset itu mengikut ratio ekuiti pemegang-pemegang syer dan untuk mengekalkan melalui injunksi interim hanya bahagian aset itu yang mewakili ratio ekuiti pemegang syer yang membawa tindakan terbitan itu.

Panel Rayuan di dalam Penghakimannya semasa menerima rayuan isteri dan menolak rayuan suami menyatakan sebagaimana berikut:-

(1) Apa-apa bidang kuasa yang terletakhak dengan sah dalam Mahkamah Syariah termasuk dengan eksklusif dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil tidak boleh melampaui bidang kuasanya untuk menentukan perkara-perkara yang terangkum dengan ketat dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Tetapi dalam kes ini bukan begitu. Isteri cuba melaksanakan haknya sebagai pemegang syer minoriti dan bukan sebagai seorang isteri. Motifnya mungkin untuk melindungi haknya sebagai seorang isteri tetapi itu tidak relevan; permohonannya mesti dipandang seperti suatu yang dibuat oleh seorang pemegang syer. Terdapat suatu falasi dalam penghakiman Mahkamah Rayuan bahawa ada suatu bidang kuasa bertindih atau “bidang kuasa menolong”. Tidak boleh ada suatu bidang kuasa bertindih di antara mahkamah sivil dan Mahkamah Syariah, dan juga tidak boleh ada prosiding kembar seperti yang dihujahkan oleh suami. Atas fakta kes ini, tindakan dalam Mahkamah Syariah dan tindakan terbitan dalam Mahkamah Tinggi merupakan dua tindakan berbeza yang lain walaupun keputusannya mungkin bertindih.

Oleh itu, soalan-soalan (i), (ii), (iii) dan (iv) dijawab secara negatif kerana tidak terdapat bidang kuasa bertindih mengakibatkan tiada persoalanan tentang pihak terpaksa memilih yang sama dan, oleh itu, tidak ada penyalahgunaan proses mahkamah.


(2) Sesuatu tindakan terbitan ialah tindakan yang diambil oleh seseorang pemegang syer untuk melindungi kepentingannya dalam sebuah syarikat. Oleh kerana tindakan tidak boleh diambil sebagai pemegang syer, beliau perlu menamakan syarikat sebagai satu pihak. Isteri oleh itu melindungi kepentingannya dalam syarikat sebagai seorang pemegang syer dan bukan sebagai seorang isteri. Jikalau beliau berjaya di Mahkamah Syariah untuk mendapat lebih dari nilai yang bersekadar dengan nombor syer berdaftar beliau dalam syarikat, wang yang dipegang oleh suaminya sebagai pemegang amanah syarikat itu boleh dibayar kepadanya. Dalam suatu tuntutan harta sepencarian oleh isteri yang bercerai, pada kesudahannya, beliau mungkin berhak untuk mendapat lebih dari bahagian berdaftarnya dalam syarikat. Oleh itu, jika mahkamah ini menghadkan injunksi kepada hanya 7.97% jumlah wang yang dipegang atas nama suami, mahkamah ini sebenarnya akan menentukan bahawa isteri hanya berhak untuk mendapat bahagian itu wang itu. Mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa sebegitu. Berkenaan dengan hak-haknya di Mahkamah Syariah, ia adalah untuk forum yang relevan untuk menentukan. Fakta sebenarnya ialah bahawa suami memegang tanah-tanah tersebut sebagai amanah untuk benefisiari dan tindakan terbitan itu merupakan sesuatu tindakan bagi faedah syarikat. Oleh itu, berhubungan dengan soalan (v), injunksi itu dibenarkan untuk menghalang suami dari melesapkan semua wang yang dipegang olehnya sebagai amanah untuk syarikat.

Maaf ...Huraian dan penjelasan akan diberikan jika ada waktu terluang....sementara itu.. fikir-fikir kan lah....