Jumaat, 21 September 2012

Interim Ex-Parte Hadhanah Anak: Elemen Menurut Undang-Undang

Subseksyen 201 (2), ETMMS (NS) 2003-
(2) Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau pelindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campurtangan serta-merta Mahkamah adalah perlu”

Arahan Amalan No. 10 Tahun 2006
“permohonan Hak Jagaan Sementara Secara ex-parte tidak dibenarkan kecuali atas alasan-alasan khas…”

Subseksyen 201 (3), ETMMS (NS) 2003-
(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu satu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex - parte yang hendaklah disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;
(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan perintah interim itu;
(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu;
(d) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;
(e) tentang sama ada mana-mana permohonan secara ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan
(f) tentang relief yang sebenarnya dipohon.

Pandangan ….

1. Pada Asasnya sebarang permohonan berkaitan perintah sementara hadhanah anak hendaklah dipohon setelah kes induk difailkan kerana tindakan memfailkan kes induk penting untuk membuktikan tindakan yang telah dibuat.

2. Namun, undang-undang membenarkan permohonan tersebut dengan syarat berikut:-

2.1. hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan; atau
2.2. pelindungan pemohon atau kanak-kanak.

3. Permohonan tersebut hemdaklah mematuhi subperenggan 201 (3) (a) hingga (f) di atas.

4. Difailkan bersama dengan suatu Notis Perakuan Segera.

Apakah Yang Dimaksudkan Mendesak Atau “Urgency”
Ada beberapa kes yang telah diputuskan oleh Hakim menyentuh tentang tafsiran tersebut iaitu:-

1. Badrul Hisham bin Mohamed Ramli lwn. Hayati binti Mohamed Nazir, JH 25 (1) m/s. 68 menyatakan;

“Pada pendapat saya, alasan-alasan yang diberikan belum sampai ke tahap keterdesakan dan alasan-alasan khas. Di antara alasan-alasan khas dan keterdesakan yang boleh terima iaitu anak di bawa keluar negeri atau di bawa lari keluar negeri. Itupun mesti mempunyai alasan-alasan dan bukti yang kukuh contohnya ada tempahan tiket kapal terbang, maka tiket kapalterbang tersebut boleh dijadikan alasan

Begitu juga sekiranya terdapat bukti-bukti dan alasan kukuh bahawa anak tersebut hendak ditukar agama daripada agama Islam kepada agama lain. Maka kedua-dua contoh tersebut boleh dikategorikan sebagai keterdesakan dan alasan-alasan yang khas. Ini bermakna bukan semua kes boleh dibuat permohonan ex-parte

2. Haslinda binti Alias lwn. Johdi Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah, JH 13 (1), m/s 47 menyatakan;
“Mahkamah telah meluluskan permohonan Plaintif untuk mendapatkan perintah sementara mengenai hadhanah, menegah dan melarang defenden dari mengganggu, menceroboh, menggugat dan mengancam Plaintif dan menegah defenden daripada membawa anak-anak keluar dari Malaysia.

Asas kepada permohonan ini adalah terdapat risiko yang kuat bahawa defenden (Responden) kan melarikan anak ke luar Negara sebelum proses penceraian dan tuntutan penjagaan anak-anak diputuskan oleh Mahkamah.”

3. Radziah binti Ibrahim lwn. Peter R. Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah, JH 27 (2), m/s 276 menjelaskan;
“Di dalam kes di hadapan saya ini wujudnya kebimbangan oleh Pemohon bahawa anak bernama Julia Aida akan dibawa pulang ke Jerman oleh Responden pada bila-bila masa. Kebimbangan yang kuat menyebabkan anak itu terpaksa meninggalkan persekolahan selama beberapa hari kerana dikhuatiri akan dibawa lari oleh Responden. Kebimbangan ini adalah berasaskan kerana Responden pernah mengugut membawa keluar dari Malaysia ke negara asalnya di Jerman. Pada masa yang sama, Responden digambarkan sebagai seorang yang tidak mengamalkan ajaran Islam, seorang yang suka minum arak, makan babi, tidak berpuasa dan tidak sembahyang. Dikhuatiri anak tersebut akan terjejas akidahnya jika ia diambil dan seterusnya dibawa keluar dari Malaysia, dibesar, dididik dan dijaga oleh Responden dalam suasana dan persekitaran yang tidak sihat dari sudut Hukum Syarak….. Mahkamah tidak perlu menunggu lebih lama untuk membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan anak tersebut di dalam pelajarannya atau akidahnya. Walaupun elemen keterdesakan di dalam kes ini tidaklah sampai ke tahap meruncing dan ianya masih belum berlaku atau dibuktikan akan berlaku, tetapi saya berpendapat standard atau piawaian alasan-alasan khas telahpun dipenuhi. Dengan kata lain, piawaian alasan-alasan khas cukuplah memadai dengan “kebimbangan yang kuat bahawa mudharat akan berlaku.”

Tiada ulasan: