Sabtu, 13 Oktober 2012

Fasakh Ghaib dan Nafkah

Fasakh tak beri Nafkah

Siti Rohani Bt Mohd Yusof lwn Md. Sazali JH 9 (2) halaman 230,
Plaintif telah merayu keputusan Hakim MRS kerana tidak meluluskan tuntutannya. Perayu menuntut fasakh atas alasan Defendan telah tidak memberi nafkah untuk tempoh lebih tiga bulan. Yang Arif Hakim MRS berpendapat fakta kes itu bahawa suaminya telah tidak membayar nafkah kepada isterinya untuk masa lebih tiga bulan dan isteri tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah. Bagaimanapun Yang Arif Hakim berpendapat bahawa mengikut mazhab shafie adalah perlu dibuktikan bahawa suami tidak berupaya memberi nafkah. Oleh kerana itu, beliau menangguhkan kes itu sebulan untuk membolehkan suami membayar satu bulan nafkah kepada isterinya. Suamiitu telah membayar RM 200.00 sebagai nafkah dan Yang Arif Hakim kemudiannya menolak tuntutan isteri kerana berpendapat suami berupaya memberi nafkah.

Rayuan dibenarkan berdasarkan pandangan minoriti Mazhab Syafie dan Mazhab Maliki bersesuaian dengan peruntukan Seksyen 52 (1) (b) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Keputusan Hakim MRS diubah dan dibatalkan.
 
Tafsiran Nafkah

Roslan Binti Abd. Ghani Lawan Zulkifli JH 6 (2) 338
Hakim Bicara dalam kes ini, Yang Arif Tuan Hakim Abu Bakar Bin Ahmad yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Malaysia telah menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan Pengertian Nafkah tersebut. Menurutnya dalam kes tersebut:-

“Nafkah adalah segala yang dibelanjakan kata nafkah hanya dipergunakan untuk kebajikan, sebab-sebab wajib nafkah ada tiga perkara iaitu disebabkan nikah, qarabah dan milik. Hak isteri dari suaminya itu ada tujuh iaitu 1) makan 2) lauk-pauk 3) pakaian 4) kebersihan 5) tempat tinggal 6) perkakas rumah tempat tinggal 7) khadam jika biasa berkhadam. Kesimpulannya adalah wajib suami memberi nafkah kepada isteri atau di dalam tanggungannya sepertimana di dalam syarah Kitab Raudh al-Thalib Juzuk 3, Bahagian an-Nafkah muka surat 426.”
 
Joan Mary Sulaiman lwn Sulaiman Haji Musa JH 10 (1) Halam 99,
Plaintif memohon fasakh dari suaminya dengan alasan antaranya gagal memperuntukkan nafkah bulanan sebanyak RM 1,000.00 sebulan yang telah diberhentikan oleh Defendan dan juga tidak adil berpoligami. Plaintif telah memohon Defendan menyediakan rumah kelamin berasingan dengan isteri barunya setelah setahun berkahwin dan jika gagal, Plaintif tidak mahu pergi ke rumah isteri barunya sebagaimana biasa.
 
Tindakan suami memberhentikan nafkah sebanyak RM 1,000.00 sebulan adalah bertentangan dengan kehendak hukum syarak - ”Hendaklah kamu bergaul dengan isteri-isteri dengan secara baik dengan kehendak bilmakruf iaitu termasuk memberi nafkah kepada isterinya sesuai dengan keadaan suaminya.” Tindakan YKT memberhentikan nafkah sebanyak tersebut adalah satu hukuman ke atas isterinya dengan alasan isterinya menyalahgunakan peruntukan yang diberi . Tindakan ini adalah bertentangan dengan kehendak hukum syarak. Suami adalah pemegang amanah yang diwajibkan Allah ke atasnya dengan sebab akadnikah untuk mengurus, mengawal isteri mengikut batasan yang ditetapkan Allah. Jika isteri melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak suami atau melampaui batas Allah maka wajib suami dengan seberapa segera mengambil tindakan berikut-
1.      Memberi nasihat-nasihat yang baik. Jika ini tidak berkesan, langkah kedua.
2.      Dengan meninggalkan tempat tidur tetapi jangan meninggalkan rumah, masih di tempat kediaman. Langkah ketiga.
3.      Memukul yang tidak mencederakan dengan tujuan memberi pengajaran jika tidak memberi pengajaran boleh melakukan atau menghukum nusyuz dengan tidak memberi nafkah jika tidak berhasil juga boleh dengan secara hakam jika sekiranya kedua pasangan ingin berdamai dan jika telah salah seorang tidak mahu lagi meneruskan kelangsungan boleh diselesaikan dengan secara fasakh. Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 34.
Alasan Tak beri Nafkah kerana Nusyuz

Kes Fakhariah Lokman lawan Johari Zakaria yang mana Hakim Bicara kes ini menyebut bahawa kes nusyuz tidak boleh ditimbulkan semasa kes nafkah tanpa terlebih dahulu seseorang suami memohon perintah Mahkamah bahawa isterinya telah nusyuz. Di dalam kes tesebut, Yang Amat Arif Hakim Rayuan, Tan Sri Mohamed Azmi telah menyebut:-
 
“Walaupun boleh dikatakan perlu diputuskan bahawa seorang isteri tidak nusyuz dan berhak mendapat nafkah, kami berpendapat dalam kes ini suami tidak pernah memohon perintah Mahkamah bahawa isterinya telah nusyuz. Keterangan yang diberi dalam kes ini menunjukkan isteri itu tidak lagi tinggal bersama suami selepas 25 November 1986, suami tidak membuat apa-apa aduan kepada Mahkamah bahawa isterinya nusyuz dan tidak mengambil langkah untuk mendapat perintah nusyuz dari Mahkamah. Kami berpendapat jika suami itu betul-betul ingin isterinya balik tinggal dengannya dia seharusnya berusaha supaya perkara itu dapat diselesaikan di luar atau di hadapan Mahkamah. Di dalam al-Quran, kita dapat banyak nasihat dan pedoman mengenai perkara ini. Umpamanya di dalam Surah Al-Baqarah (2) : 231 yang disebut maksudnya:-
 
“ ……. Bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudharat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.”
 
Efek Nusyuz

Selain itu, ia turut dinyatakan secara jelas Di dalam kes Norazian Binti Mohd Yusof lwn Khairul Azmi Bin Mohd Rasid Yang Amat Arif Hakim menyatakan -
 
“Mengikut undang-undang sesiapa mendakwa, beban pembuktian adalah terletak di atasnya, lihat seksyen 72 Enakmen Keterangan Syariah 1991 tetapi pihak Defendan tidak membawa saksi seperti dikehendaki oleh Syarak”
 
“Di dalam kes ini, Defendan telah menyatakan bahawa isterinya Plaintif adalah nusyuz kerana menggugurkan anak, keluar rumah tanpa izin dan dakwaan ini semua adalah merupakan dakwan yang diperlukan saksi yang mencukupi berbanding kepada Plaintif, oleh itu saksi penting di dalam kes ini ialah bapa/ibu kepada Defendan harus dipanggil, malahan doctor juga harus dipanggil.
 
Oleh kerana kes telahpun sampai ke tahap KEPUTUSAN, Mahkamah tiada pilihan lain selain menyatakan bahawa dakwaan ke atas Plaintif adalah DITOLAK dan dia (Plaintif) berhak mendapat nafkah eddah malahan tiada dibuktikan di mana juga Mahkamah bahawa Plaintif adalah nusyuz.
 
Hairun Binti Mohd Sharif lawan Omar Mohd Noor JH 8 (2) 293,
Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi menjelaskan bahawa berdasarkan qaul Imam Shafii’, yang memutuskan bahawa perkahwinan hanya boleh difasakhkan setelah dibicarakan dan diputuskan oleh Kadi atau Hakim Mahkamah, dan hak untuk fasakh tersebut sekiranya kerana papanya, adalah seperti berikut;
 
1. Tiada kuasa memberi belanja makan dan minum.

2. Tiada mampu memberi pakaian yang layak dan patut.

3. Tidak dapat mengadakan rumah tempat kediaman yang patut.

4. Tidak kuasa membayar maharnya yang tunai sebelum bersetubuh.
 
Maka, apabila cukup syarat-syarat fasakh, iaitu isteri tidak melakukan nusyuz dan si suami tidak mempunyai harta yang hadir (ada bersamanya), hendaklah Kadi atau Hakim itu memberi tempoh tiga hari. Kemudian selepas tiga hari serta malamnya tiada juga kuasa suami mengadakan sekecil-kecil nafkah (iaitu separuh nafkah yang biasa) maka barulah Kadi atau Hakim tersebut menfasakhkan nikah tersebut. Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Daruquthni dan al-Baihaqi, Sabda Rasulullah s.a.w.:
 
Ertinya: Telah bersabda Rasullullah s.a.w berkenaan seorang laki-laki yang tiada dapat memberi nafkah kepada isterinya hendaklah dipisahkan antara keduanya.
 
Kesan Nusyuz pada Nafkah Isteri
 
Hasanah Binti Abdullah lawan Ali Bin Muda (1999) JH (1420)H,
 Yang Arif Hakim berpendapat:

“Mengikut Hukum Syara’ seorang isteri yang ditalaq dengan talaq raj’ie tidak berhak kepadanya nafkah ‘iddah jika dianya melakukan nusyuz. Di dalam kitab Kifayatul Akhyar, juzuk 2, muka surat 82 diperuntukkan yang bererti –
 
“Jika seseorang menceraikan isterinya yang sedang nusyuz kepadanya, maka isteri tersebut tidak berhak mendapat tempat tinggal selama dalam ‘iddah kerana isterinya itu tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal menurut dasar pernikahan. “
 
Fasakh Suami Ghaib

Rafiah lwn Hassan JH 6 (1) halaman 112,
Plaintif memohon mahkamah memfasakhkan pernikahannya dengan Defendan di atas alasan Suami telah ghaib dan tiada sebarang nafkah diberikan. Perbicaraan dijalankan sebelah pihak setelah Saman disampaikan secara penyerahan ganti secara tampalan Papan Notis Pejabat Kadi seluruh Kelantan. Selepas berkahwin pada 1981, Plaintif dan defendan telah menetap di rumah ibu Plaintif yang mana semasa itu Defendan bekerja sebagai peniaga kain turun berniaga pagi dan balik sebelah petang. Pada 10.03.1987, Defendan pergi kerja seperti biasa tetapi tidak pulang semula ke rumah itu sehingga kes dibicarakan.

Tiada sebarang makluman dari Defendan dan pertanyaan oleh Plaintif sendiri serta tiada sebarang khabar berita dan Plaintif tidak mengetahui kampung Defendan di Pasir Mas ataupun Kg. Sirih, Kota Bharu. Defendan juga tidak meninggalkan sebarang harta yang boleh dijadikan nafkah. Mahkamah telah mensabitkan permohonan Pemohon antaranya berdasarkan pandangan kitab Bughyah Mustarsyidin iaitu -

”Sekiranya suami ghaib dan tidak diketahui samada dia seorang yang mampu atau tidak dan telah putus khabarnya, dengan kerana itu isterinya tidak dapat nafkah dan tidak ada hartanya dalam kawasan dua (2) marhalah dari tempat itu maka bagi isterinya boleh fasakh nikah dengan syaratnya sepertimana diputuskan dalam Nihayah dan lain-lain.”

Tiada ulasan: