Isnin, 7 Oktober 2013

Tatacara Seksyen 229

Penghinaan Dalam Mahkamah
1.   Jika perlakuan penghinaan itu dilakukan oleh pihak-pihak yang bertikai di hadapan Mahkamah, Hakim hendaklah memberhentikan prosiding induk yang sedang berjalan dan hendaklah menyelesaikan prosiding penghinaan Mahkamah terlebih dahulu. Begitu juga jika ia dilakukan oleh pihak selain dari pihak-pihak bertikai, maka prosiding yang sedang berjalan hendaklah dihentikan dan pihak tersebut dipanggil mengadap Hakim.

2.  Hakim hendaklah merekodkan prosiding tersebut dengan cara yang sepatutnya untuk menyimpan rekod prosiding semasa menjalankan prosiding penghinaan Mahkamah tersebut. Dalam konteks amalan semasa, kebiasaannya Hakim Bicara akan mewujudkan fail berasingan di dalam kes yang sama sebagai contoh, mewujudkan fail sampul kecil di dalam fail kes induk tersebut. Prosiding penghinaan di dalam Mahkamah tidak memerlukan penyampaian Notis Tunjuk Sebab kepada Pihak Yang Menghina Mahkamah (PYMM) kerana ia dilakukan di hadapan Mahkamah sendiri.

3. Hakim hendaklah memulakan prosiding dengan membacakan pertuduhan dan menerangkan kepada PYMM berkaitan jenis kesalahan yang dilakukan oleh PYMM terhadap Mahkamah sebagaimana prosiding kes jenayah. Sekiranya PYMM masih tidak memahami pertuduhan tersebut maka pertuduhan tersebut hendaklah dibacakan kepadanya sekali lagi. Sekiranya PYMM memahami pertuduhan tersebut maka pengakuan PYMM hendaklah diambil samada mengaku bersalah atau mengaku tidak bersalah.

4.  Sekiranya PYMM mengaku salah dan memohon maaf maka prosiding penghinaan tersebut hendaklah dianggap selesai di peringkat tersebut sahaja pada kebiasaannya. Namun sekiranya PYMM mengaku salah tetapi enggan meminta maaf kepada Mahkamah, Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman sebagaimana diperuntukkan oleh peruntukan Seksyen 229 tersebut atau melepaskan PYMM setelah PYMM diberi peluang menjelaskan tindakannya itu. Namun sekiranya PYMM membuat pengakuan tidak bersalah maka PYMM hendaklah diberi peluang untuk membela dirinya sendiri samada dengan cara mengemukakan alasan terhadap tindakan penghinaan tersebut atau memanggil saksi –saksinya bagi menyokong pembelaaannya.

5.  Prosiding ini boleh dijalankan pada masa-masa yang ditetapkan oleh Mahkamah dan tidak semestinya selesai pada hari yang sama dengqan cara inquistorial dan di dalam Mahkamah Terbuka. Ini bermakna, Hakim Bicara boleh menangguhkan prosiding ini dari masa ke semasa mengikut keperluan. Setelah selesai prosiding pembelaan PYMM tersebut, Hakim Bicara hendaklah memutuskan samada menerima atau menolak alasan yang dikemukakan dan hendaklah menilai samada tindakan PYMM telah menyebabkan penghinaan kepada Mahkamah atau tidak sebelum membuat sebarang keputusan.

6. Sekiranya Mahkamah mendapati bahawa alasan atau pembelaan PYMM boleh diterima atau tiada penghinaan Mahkamah berlaku maka Mahkamah hendaklah melepaskan PYMM dengan atau tanpa bersyarat. Namun Sekiranya PYMM gagal memberi pembelaan atau pembelaannya tidak diterima oleh Mahkamah maka  Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman kepada PYMM sama ada penjara (tidak lebih 6 bulan) atau denda (tidak lebih RM 2,000).

Penghinaan Luar Mahkamah
Proses sama KECUALI tindakan penghinaan di luar Mahkamah HANYA BOLEH DIAMBIL setelah suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh Mahkamah kepada PYMM. Ini adalah berdasarkan peruntukan subseksyen 229 (3) yang menyatakan –

(2) Dalam hal penghinaan yang dilakukan di luar Mahkamah, notis supaya menunjukkan sebab mengapa tindakan atau prosiding tidak boleh diambil terhadapnya hendaklah disampaikan kediri orang yang dikatakan melakukan penghinaan itu.


Tiada ulasan: