Sabtu, 22 September 2012

Prinsip Interim

Di bawah ini adalah prinsip yang digunapakai di Mahkamah Sivil berkaitan perintah interim...Prinsip amat baik dan bersesuaian dengan amalan di Mahkamah Syariah...Mari sama-sama kita renungkan......


Kini tidak perlu lagi diadakan ujian kes prima facie. (lihat Associated Tractors Sdn Bhd lwn Chan Boon Heng dan Low Cheng Fok, Kanun Sept 1990 hal 44). Budi bicara mahkamah dalam memberikan atau tidak memberikan injunksi sebelum perbicaraan bagi sesuatu tindakan itu adalah dikawal oleh satu prinsip iaitu mahkamah hendaklah berpuashati bahawa sesuatu tuntutan itu tidak remeh dan menyusahkan. Ini bermakna selagi mahkamah berpuashati bahawa terdapat persoalan serius untuk dibicarakan, maka selagi itulah juga wujudnya asas untuk meneruskan pertimbangan sama ada dengan berdasarkan imbangan kesesuaian, injunksi itu patut diberikan atau tidak. Prinsip ini telah ditegaskan dalam kes Hubbard vs Vosper (1977) 2 QB 84 CA dan dalam kes yang masyhur American Cynamid Co vs Ethicon Ltd (1975) 2 All ER 505.
Rujukan Kes:

Dalam kes Keet Gerald Francis Noel John lwn Mohd Noor @ Harun bin Abdullah & Ors [1995] 1 CLJ 293, Mahkamah Rayuan telah memberi garis panduan kepada hakim-hakim dalam mendengar injunksi interlokutori seperti berikut:

Pertama, dia kena tanya pada dirinya sendiri sama ada keseluruhan fakta yang dikemukakan di hadapannya menzahirkan suatu isu bona fide yang serius. Dia mesti, semasa mempertimbangkan soalan ini, mengingati bahawa pliding dan keterangan adalah tidak mencukupi di peringkat itu. Yang penting, dia mestilah menahan diri daripada membuat apa-apa penetapan ke atas merit tuntutan atau apa-apa pembelaan kepadanya. Adalah mencukupi jika dia mengaitkan diri dengan ketepatan isu yang ditimbulkan atas penemuan dan memutuskan sama ada isu itu serius untuk memeritkan suatu perbicaraan. Jika dia mendapati, selepas pertimbangan yang kesemua material yang relevan di hadapannya termasuk hujah peguam, bahawa tiada persoalan serius dizahirkan, maka itu menandakan penolakan relief itu dan tamatnya perkara itu. Sebaliknya jika dia mendapati ada persoalan serius untuk dibicarakan, dia sepatutnya beralih kepada garis panduan yang selanjutnya;
 
Kedua, setelah mendapati bahawa suatu isu telah dizahirkan yang memerlukan siasatan lanjut, dia mestilah menimbangkan di mana letaknya keadilan kes itu. Dalam membuat penilaiannya dia mesti mengambil kira semua perkara yang relevan, termasuk hakikat sebenar kes di hadapannya. Dia mesti menimbangkan keburukan yang akan diakibatkan daripada penolakan itu. Dia berhak untuk mengambil kira, antara lain, kedudukan kewangan litigan di hadapannya. Jika, setelah menimbangkan semua perkara, dia membuat kesimpulan bahawa plaintif akan lebih menanggung ketidakadilan jika relief tidak diberikan, jadi dia berhak untuk memberikan injunksi terutamanya jika dia berpuas hati bahawa plaintif berada dalam kedudukan kewangan untuk memenuhi akujanji dalam ganti rugi. Begitu juga, jika dia menyimpulkan bahawa defendan akan menanggung ketidakadilan yang lebih besar dengan pemberian suatu injunksi, dia berhak untuk menolak relief. Sudah tentu, akan timbul keadaan ketidakadilan yang ketara kepada plaintif dan Hakim berhak untuk mengetepikan akujanji biasa dalam ganti rugi (lihat: Cheng Hang Guan v Perumahan Farlim (Penang) Sdn. Bhd[1988] 3 MLJ 90). Selain daripada kes-kes sedemikian, Hakim berhak untuk mengambilkira keupayaan plaintif untuk memenuhi aku janji dalam ganti rugi sekiranya guaman ini gagal, dan dalam kes-kes berkenaan, mungkin memerlukan plaintif untuk mendapatkan ganti rugi, contohnya, dengan menyediakan suatu jaminan bank;
 
Ketiga, Hakim mestilah telah memikirkan bahawa remedi yang dia diminta untuk mentadbirkan adalah mengikut budi bicara, dengan hasrat untuk menghasilkan keputusan yang adil bagi tempoh di antara tarikh permohonan dan perbicaraan sebenar dan dengan hasrat untuk mengekalkan status quo, suatu pernyataan yang dinyatakan oleh Lord Diplock dalam Garden Cottage Foods v Milk Marketing Board [1984] AC 130 dan dipakai dalam Cheng Hang Guan (supra). Remedi adalah suatu budi bicara kehakiman yang boleh diperbetulkan semasa rayuan. Oleh yang demikian, Hakim berhak untuk mengambil kira semua pertimbangan mengikut budi bicara, umpamanya kelewatan dalam membuat permohonan atau dalam mana-mana remedi alternatif yang mencukupi yang boleh memenuhi ekuiti plaintif, seperti suatu award bagi pampasan berupa wang sekiranya dia berjaya dalam tuntutannya semasa perbicaraan. Apa-apa persoalan tentang kepentingan awam boleh, dan dalam kes-kes yang sesuai, hendaklah diambil kira. Hakim hendaklah dengan ringkas dalam penghakimannya menyampaikan beberapa faktor yang dipertimbangkannya dalam mencapai keputusannya.

Jumaat, 21 September 2012

Pengiraan Tempoh Permulaan Dan Pengakhiran Suatu Perbuatan

Timbul satu persoalan bagaimana untuk membuat kiraan terhadap perlaksanaan sesuatu perintah Mahkamah seperti penyerahan saman, penyampaian Perintah dan seumpamanya. Ini kerana undang-undang sedia ada seperti ETMMS 2003 tidak menjelaskan secara terperinci. Sebagai contoh-

Pengenepian Perintah Ex-Parte yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah hendaklah dibuat dalam tempoh empat belas (14) merujuk kepada peruntukan Seksyen 194 ETMMS (NS) 2003 yang berbunyi-

"194. (1) Mahkamah boleh, atas permohonan mana-mana pihak dalam mana-mana kausa atau perkara, mengetepikan sesuatu perintah yang dibuat secara ex parte di bawah Bab ini.

(2) Sesuatu permohonan di bawah subseksyen (1) hendaklah dibuat dalam masa empat belas hari dari tarikh perintah itu dan hendaklah didengar secara inter-parte."

Kaedah Pengiraan Permulaan Sesuatu Tindakan
Hendaklah merujuk kepada Akta Tafsiran kerana jika berlaku lacuna terhadap mana-mana tafsiran undang-undang maka Akta Tafsiran tersebut hendaklah terpakai. Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 tersebut memberikan takrifan ‘written law’ sebagai:

“3. ‘written law’ means –
(a) …
(b) …
(c) Ordinances and Enactments (including any federal or State law styling itself an Ordinance and Enactment) and subsidiary legislation made thereunder; …”

[Terjemahan:
“3. ‘undang-undang bertulis’ bermakna –
(a) …
(b) …
(c) Ordinan-ordinan dan Enakmen-enakmen (termasuk mana-mana undang-undang persekutuan atau Negeri yang menamakan dirinya sebagai Ordinan and Enakmen) dan undang-undang kecil yang dibuat dibawahnya; …”

Justeru itu, untuk menentukan kiraan hari Pertama yang diambilkira di dalam melakukan sesuatu perbuatan hendaklah merujuk Seksyen 54 (1) Akta Tafsiran, 1948 dan 1967 menyatakan:

“54. (1) In computing time for the purposes of any written law -

(a) a period of days from the happening of an event or the doing of any act or thing shall be deemed to be exclusive of the day on which the event happens o the act or thing is done;”

[Terjemahan:
“54. (1) Dalam mengira masa untuk tujuan mana-mana undang-undang bertulis –

(a) tempoh bilangan hari dari berlakunya suatu kejadian atau berlakunya suatu perbuatan atau perkara hendaklah dianggap sebagai tidak termasuk hari di mana kejadian tersebut berlaku atau perbuatan atau perkara tersebut terjadi.”]

Kaedah Penentuan Hari Terakhir Bagi Perlaksanaan Suatu Perbuatan
Ianya telah dihuraikan dan dijelaskan secara lengkap di dalam kes Muzzalman Shah B. Ismail Muzani lwn Nornisamsila bt. Osman, Kes Mal No. 14000-099-029-2009 (Kes belum dilaporkan) yang diputuskan pada 24/03/2010. Panel Rayuan Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah Persekutuan telah menjelaskan sebagaimana berikut:-

“Bagi memperjelaskan isu ini, kami merujuk kepada Akta Tafsiran 1948 Dan 1967, yang menerangkan berkenaan perkiraan tempoh masa seperti dinyatakan di dalam seksyen 105. Seksyen tersebut menyatakan:-

105. In computing time for the purposes of any written law, unless the contrary intention appears—

(a) a period of days from the happening of an event or the doing of any act or thing shall be deemed to be exclusive of the day in which the event happens or the act or thing is done;

(b) if the last day of the period is a weekly holiday or a public holiday (which days are in this section referred to as excluded days) the period shall include the next following day not being an excluded day;

Oleh itu, adalah jelas bahawa sesuatu perbuatan atau kehendak undang-undang hendaklah dilakukan dalam masa yang telah ditetapkan, cuma ada kelonggaran diberikan sekiranya hari yang terakhir adalah jatuh pada hari cuti hujung minggu atau kelepasan am, maka hari bekerja yang berikutnya adalah dikira sebagai hari yang terakhir untuk melaksanakan perbuatan atau kehendak undang-undang tersebut. Seksyen 141(1) Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 pula menghendaki alasan rayuan difailkan dalam masa 14 hari selepas Pemohon menerima pemberitahuan berdasarkan subseksyen 139 (6), Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 melalui borang MS 30.”

Interim Ex-Parte Hadhanah Anak: Elemen Menurut Undang-Undang

Subseksyen 201 (2), ETMMS (NS) 2003-
(2) Permohonan di bawah seksyen ini tidak boleh dibuat sebelum tindakan dimulakan kecuali dalam hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan atau pelindungan pemohon atau kanak-kanak itu didapati bahawa campurtangan serta-merta Mahkamah adalah perlu”

Arahan Amalan No. 10 Tahun 2006
“permohonan Hak Jagaan Sementara Secara ex-parte tidak dibenarkan kecuali atas alasan-alasan khas…”

Subseksyen 201 (3), ETMMS (NS) 2003-
(3) Jika pemohon ialah plaintif dan kes itu satu kes yang mendesak, permohonan itu boleh dibuat secara ex - parte yang hendaklah disokong dengan afidavit dan afidavit itu hendaklah mengandungi suatu pernyataan yang jelas dan ringkas lagi padat—

(a) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan terhadap defendan dalam prosiding itu;
(b) tentang fakta-fakta yang membawa kepada tuntutan untuk mendapatkan perintah interim itu;
(c) tentang fakta-fakta yang menjadi sandaran bagi mewajarkan permohonan secara ex parte itu;
(d) tentang apa-apa fakta yang diketahui oleh pemohon yang mungkin menyebabkan Mahkamah tidak memberikan perintah interim itu;
(e) tentang sama ada mana-mana permohonan secara ex parte terdahulu yang seumpamanya telah dibuat kepada mana-mana Hakim dan, jika demikian, perintah yang dibuat dalam permohonan terdahulu itu; dan
(f) tentang relief yang sebenarnya dipohon.

Pandangan ….

1. Pada Asasnya sebarang permohonan berkaitan perintah sementara hadhanah anak hendaklah dipohon setelah kes induk difailkan kerana tindakan memfailkan kes induk penting untuk membuktikan tindakan yang telah dibuat.

2. Namun, undang-undang membenarkan permohonan tersebut dengan syarat berikut:-

2.1. hal yang mendesak dan demi kepentingan keadilan; atau
2.2. pelindungan pemohon atau kanak-kanak.

3. Permohonan tersebut hemdaklah mematuhi subperenggan 201 (3) (a) hingga (f) di atas.

4. Difailkan bersama dengan suatu Notis Perakuan Segera.

Apakah Yang Dimaksudkan Mendesak Atau “Urgency”
Ada beberapa kes yang telah diputuskan oleh Hakim menyentuh tentang tafsiran tersebut iaitu:-

1. Badrul Hisham bin Mohamed Ramli lwn. Hayati binti Mohamed Nazir, JH 25 (1) m/s. 68 menyatakan;

“Pada pendapat saya, alasan-alasan yang diberikan belum sampai ke tahap keterdesakan dan alasan-alasan khas. Di antara alasan-alasan khas dan keterdesakan yang boleh terima iaitu anak di bawa keluar negeri atau di bawa lari keluar negeri. Itupun mesti mempunyai alasan-alasan dan bukti yang kukuh contohnya ada tempahan tiket kapal terbang, maka tiket kapalterbang tersebut boleh dijadikan alasan

Begitu juga sekiranya terdapat bukti-bukti dan alasan kukuh bahawa anak tersebut hendak ditukar agama daripada agama Islam kepada agama lain. Maka kedua-dua contoh tersebut boleh dikategorikan sebagai keterdesakan dan alasan-alasan yang khas. Ini bermakna bukan semua kes boleh dibuat permohonan ex-parte

2. Haslinda binti Alias lwn. Johdi Mathew Byrne @ Yahya bin Abdullah, JH 13 (1), m/s 47 menyatakan;
“Mahkamah telah meluluskan permohonan Plaintif untuk mendapatkan perintah sementara mengenai hadhanah, menegah dan melarang defenden dari mengganggu, menceroboh, menggugat dan mengancam Plaintif dan menegah defenden daripada membawa anak-anak keluar dari Malaysia.

Asas kepada permohonan ini adalah terdapat risiko yang kuat bahawa defenden (Responden) kan melarikan anak ke luar Negara sebelum proses penceraian dan tuntutan penjagaan anak-anak diputuskan oleh Mahkamah.”

3. Radziah binti Ibrahim lwn. Peter R. Gottschalk @ Yusuff bin Abdullah, JH 27 (2), m/s 276 menjelaskan;
“Di dalam kes di hadapan saya ini wujudnya kebimbangan oleh Pemohon bahawa anak bernama Julia Aida akan dibawa pulang ke Jerman oleh Responden pada bila-bila masa. Kebimbangan yang kuat menyebabkan anak itu terpaksa meninggalkan persekolahan selama beberapa hari kerana dikhuatiri akan dibawa lari oleh Responden. Kebimbangan ini adalah berasaskan kerana Responden pernah mengugut membawa keluar dari Malaysia ke negara asalnya di Jerman. Pada masa yang sama, Responden digambarkan sebagai seorang yang tidak mengamalkan ajaran Islam, seorang yang suka minum arak, makan babi, tidak berpuasa dan tidak sembahyang. Dikhuatiri anak tersebut akan terjejas akidahnya jika ia diambil dan seterusnya dibawa keluar dari Malaysia, dibesar, dididik dan dijaga oleh Responden dalam suasana dan persekitaran yang tidak sihat dari sudut Hukum Syarak….. Mahkamah tidak perlu menunggu lebih lama untuk membuat sebarang keputusan yang boleh menjejaskan anak tersebut di dalam pelajarannya atau akidahnya. Walaupun elemen keterdesakan di dalam kes ini tidaklah sampai ke tahap meruncing dan ianya masih belum berlaku atau dibuktikan akan berlaku, tetapi saya berpendapat standard atau piawaian alasan-alasan khas telahpun dipenuhi. Dengan kata lain, piawaian alasan-alasan khas cukuplah memadai dengan “kebimbangan yang kuat bahawa mudharat akan berlaku.”

Selasa, 18 September 2012

Jenis Dakwaan

Dr. Abdul Karim Zaidan, Nizam Al-Qada’ Fi Syari’ah Al-Islamiyyah, hlm. 111-112 menyatakan ;
"Sesuatu dakwaan itu dikira sah apabila ia memenuhi syarat-syarat sah dakwaan dan kadangkala dakwaan itu dikira fasid walaupun wujud syarat sah dakwaan pada asalnya. Ini adalah kerana terdapat kecacatan pada beberapa dakwaan tersebut. Kadangkala dakwaan itu mungkin batal sama sekali. Apabila ditinjau sah atau tidaknya sesuatu dakwaan tersebut, maka ia terbahagi kepada empat (4) bentuk :

Pertama : Dakwaan Yang Sah (Sohihah)  Dakwaan yang memenuhi syarat-syarat sah, antaranya ;

a. Hendaklah setiap orang yang mendakwa dan yang didakwa adalah terdiri dari orang yang berakal, maka tidak sah dakwaan orang gila dan didakwa ke atasnya, demikian juga kanak-kanak yang tidak berakal.

b. Hendaklah sesuatu hak yang didakwa itu diketahui dan ia termasuk di dalam bidang kehakiman serta boleh dijatuhkan hukuman ke atasnya.

c. Hendaklah sesuatu hak yang didakwa itu di antara benda atau harta yang boleh sabit, bukan sesuatu yang mustahil pada akal dan adat.

d. Hendaklah dakwaan itu melazimkan atau mewajibkan ke atas orang yang didakwa andaikata sabit dakwaan itu. Jika sebaliknya, maka dakwaan itu tidak akan didengar oleh Hakim kerana dakwaan itu dikira tidak sah.

e. Hendaklah lafaz dakwaan itu dalam bentuk yang sah dan boleh diterima oleh pihak Hakim.

Kedua : Dakwaan Yang Rosak (Fasidah)
Dakwaan yang pada asalnya sah tetapi tidak dikira sebagai syar’ie disebabkan terdapat kecacatan pada sebahagian daripda sifat-sifat luarannya. Contohnya benda yang didakwa itu sesuatu yang ”majhul”(tidak jelas). Dalam keadaan ini, Hakim tidak menolak dakwaan itu, bahkan Hakim akan meminta supaya pihak Pendakwa memperbetulkan dakwaannya dan setelah diperbetulkan dakwaan tersebut dari sesuatu yang boleh menyebabkan dakwaan ”fasid’, maka Hakim dapat menerima dakwaan tersebut, sepertimana jikalau pihak Pendakwa telah dapat menentukan benda yang didakwa dan tidak ada apa-apa yang menyebabkan kesamaran tetapi jika dia tidak membetulkan dakwaannya yang ”fasid” itu, maka Hakim tetap akan menolak dakwaanya itu. Walaubagaimanapun, penolakan itu tidak semestinya menggugurkan hak pihak Pendakwa bagi mengemukakan dakwaannya buat kali keduanya kerana dia masih mempunyai hak untuk mengemukakan dakwaannya setelah diperbetulkan kesalahannya supaya menjadi sah dan dapat diterima oleh Hakim.

النوع الثاني - الدعوى الفاسدة وهي الدعوى الصحيحة أصلا إلا أنها غير مشروعة باعتبار بعض أوصافها الخارجية كما لو كان المدعى به مجهولا. وفي هذه الحالة لا يردها القاضي ولا يباشر سماعها وإنما يطلب من المدعي تصحيحها فإذا صححها وأزال فسادها قبلها القاضي كما لو عين المدعي المدعى به وأزال جهالته ، فإذا لم يصلح المدعي  دعواه الفاسدة ردها القاضي .

Ketiga : Dakwaan Yang Batal (Batilah)
Dakwaan yang tidak sah pada asalnya dan tidak akan membuahkan sebarang hukuman ke atasnya kerana tidak mungkin lagi dapat diperbaiki.

النوع الثالث – الدعوى الباطلة : وهي الدعوى الغير الصحيحة أصلا ولا يترتب عليها حكم لأن إصلاحا غير ممكن ، كما لو ادعى زيد أن فلانا من سكنة محلته موسر وأنا فقير معسر وأطلب الحكم لي عليه بصدقة.

Keempat : Dakwaan Hisbah
Dakwaan yang dikemukakan kepada Hakim yang bukan bertujuan untuk menuntut hak-hak yang tertentu untuk dirinya, tetapi sebaliknya dengan dakwaan itu dia menuntut dilaksanakan hak-hak Allah s.w.t.

Kenapa Pernyataan Tuntutan Perlu Terperinci ???

Kitab Hasyiah I’anat al-Talibin, Juz 4, hlm. 508;

قوله : (( وشرط للدعوى الخ )) اعلم أنه يشترط لصحة كل دعوى سواء بدم أم بغيره ، كغصب وسرقة وإتلاف مال ستة شروط : الأول أن تكون مفصلة بأن يفصل المدعى ما يدعيه . وتفصيله يختلف بإختلاف المدعى به
Maksudnya: “Matan: (dan disyaratkan bagi menjadikan sesuatu dakwaan itu sah sehingga boleh boleh didengar oleh Qadhi dan diperlukan jawapan dari mudda’a alaih)) ketahui lah bahawa sesungguhnya disyaratkan 6 syarat bagi menjadikan setiap dakwaan sah sama ada dakwaan yang berkait dengan darah (bunuh balas) atau selainnya seperti merompak, mencuri dan merosakkan harta. Pertamanya; hendaklah dakwaan itu mufassilah (terperinci) di mana al-muddai’e memperincikan apa yang didakwanya. Pendetailannya berbeza dengan dengan berbezanya perkara yang dituntut (dida’wa)”.

Perincian perlu kepada setiap dakwaan....
Di dalam Matan Fathul Muin dalam kitab DAN di mukasurat yang sama kitab di atas dinyatakan sebabnya seperti berikut:-

(( وشرط للدعوى )) أي لصحته حتى تسمع وتحوج إلى الجواب
Maksudnya: “(disyaratkan bagi sesuatu dakwaan) bagi menjadikannya sah sehingga boleh didengar oleh hakim dan diperlukan jawapan dari mudda’a alaih”.

Dalam kitab tersebut juga diberikan contoh bagaimana dakwaan yang dibuat secara mufassilah:-

(( و )) في الدعوى (( بنكاح )) على إمرأة ذكر صحته وشروطه من نحو (( ولي وشاهدين عدول )) ورضاها إن شرط بأن كانت غير مجبرة ، فلا يكفى فيه الإطلاق

Maksudnya: “dan dalam dakwaan pernikahan (seseorang lelaki ke atas seseorang perempuan ) disyaratkan sehingga boleh didengar dan dijawab oleh perempuan itu hendaklah dinyatakan sahnya pernikahan itu dan dinyatakan syarat-syarat pernikahan di antaranya wali, 2 orang saksi yang adil dan jika disyaratkan reda ( izin) bagi perempuan yang bukan mujbir ( seperti janda ), juga hendaklah dinyatakan (syarat-syarat telah dipenuhi). Tidak memadai pada dakwaan nikah tanpa menyebut syarat-syaratnya telah dipenuhi”.

Pandangan saya...
Dalam permohonan pengesahan dan pendaftaran nikah.....di dalam Affidavit Pemohon hendaklah mengandungi butir-butir dan fakta berkaitan dengan rukun nikah dan disesuaikan dengan samada Pemohon Lelaki dan Pemohon Perempuan.

I’aanah al-Talibin, karangan Abu Bakar ibnu Muhammad Syata’al-Damyaty, juzuk keempat, cetakan pertama, 1418H/1997M, terbitan Dar al-Fikr, Beirut, Labenon, muka 290, ada menyebut;
وفي الدعوى بعقار ذكر جهة ومحلة وحدود أربعة فلا يكفي ذكر ثلاثة منها إذا لم يعلم إلا بأربعة
“Dalam dakwaan mengenai tanah dan barang yang menetap di atasnya, diisyaratkan disebut arahnya, tempat beradanya dan sempadannya pada empat hala, di dalam dakwaan. Adalah tidak mencukupi dengan hanya menyebut tiga hala sempadannya saja, jika ianya tidak diketahui melainkan dengan menyebut empat hala sempadannya.”

Bagi kes yang melibatkan harta, adalah ternyata kedudukan harta yang dipertikaikan hendaklah diperincikan dengan betul dan tepat sebagaimana nas di atas.


Wallahu A'lam

Adakah Pernyataan Tuntutan Suatu Dakwaan

Dr. Abdul Karim Zaidan, Nizam al-Qadha Fi Syariat al-Islami di m/s 139...

ثم يسأل القاضي المدعي عن دعواه ويأمر كاتبه بكتابتها في رقعة بنفس ألفاظ المدعي بلا زيادة ولا نقصان ، وهذا اذا لم يكن الكاتب قد كتب دعوى المدعي قبل دخول مجلس القضاء ، اذ لو كان قد كتبها من قبل لما كانت حاجة في اعادة كتابتها ، وكذا اذا كان المدعي قد قدم دعواه مكتوبة وسلمها الى الكاتب ، فلا حاجة الى اعادة كتابتها في مجلس القضاء

Maksudnya: “kemudian, Qadhi bertanya muddai’e berkenaan dakwaannya dan mengarahkan penulisnya menulis dakwaan muddai’e di dalam suatu kertas dengan lafaz muddai’e sendiri tanpa menambah atau mengurangkan sesuatu pun. Menulis dakwaan ini hanya sekiranya kerani itu belum menulis dakwaan muddai’e sebelum dia memasuki majlis al-qadha’ kerana jika telah ditulis sebelumnya untuk apa perlu lagi mengulangi menulisnya semula. Begitu juga jika muddai’e telah terlebih dahulu menulis dakwaanya dan menyerahkan kepada penulis berkenaan, maka tidak perlu lagi diulangi menulisnya semula di majlis al-qadha’.

Dakwaan seseorang BOLEH dikemukakan kepada Mahkamah dengan dua (2) cara iaitu:-

1. Plaintif BOLEH mengemukakan dakwaan secara lisan kepada Hakim Bicara dan dalam keadaan ini peruntukan Seksyen 16 ETMMS 2003 hendaklah terpakai.

2. Dakwaan juga BOLEH dibuat secara bertulis sebelum Majlis Qadha'. Dalam konteks kontemporari, dakwaan Plaintif dikemukakan  melalui Pernyataan Tuntutan (PT) di bawah Seksyen 63 ETMMS 2003.

Pandangan .....
Pernyataan Tuntutan (PT) adalah suatu dakwaan...justeru itu pandangan yang menyatakan PT adalah bukan dakwaan bukan jawapan yang tepat. Oleh itu, adalah lebih baik Pernyataan Tuntutan tersebut memenuhi elemen dakwaan yang sah dan memenuhi hukum syarak berasaskan alasan berikut-

1. Sekiranya PT tidak lengkap dan tidak terperinci sebagaimana kehendak hukum syarak, PT atau dakwaan tersebut dikategorikan sebagai dakwaan fasid..Dalam konteks amalan prosedur semasa, kes boleh digantung sehingga pembetulan dibuat sebagaimana kehendak Mahkamah. Sila rujuk Seksyen 71 ETMMS 2003.

2. Jika PT secara bertulis telah dilengkapkan dengan elemen dakwaan yang betul dan tepat serta terperinci, ia akan menjimatkan masa pihak-pihak dan masa Mahkamah kerana kesemua pihak yang bertikai boleh memfokuskan kepada tuntutan yang benar-benar memerlukan perbicaraan..

3. Dalam amalan sekarang...PT yang ringkas dan umum serta tidak terperinci adalah biasa dengan alasan boleh diperincikan semasa keterangan Plaintif. Namun cuba fikirkan bilakah masanya Defendan boleh memberikan pengakuan atau penafian sekiranya fakta atau perincian tentang dakwaan tersebut dikemukakan sewaktu keterangan Plaintif sedangkan tidak wujud di dalam PT. Pada waktu yang sama, Defendan telahpun memfailkan Pernyataan Pembelaan @ Pengakuan atau Penafian berkaitan PT Plaintif sebelum keterangan Plaintif. 

4. Kita sering memberi alasan bahawa perbicaraan mengambil masa yang terlalu lama kerana ia dalah prosedur Mahkamah...tetapi adakah kita sedar sebenarnya kitalah yang menyebabkan perbicaraan menjadi lama kerana PT sepatutnya dan lebih baik diperincikan dari awal tetapi hanya dibuat semasa keterangan Plainitf. Sepatutnya keterangan Plaintif boleh diringkaskan dengan PT yang baik menjadi panjang kerana terlalu banyak perkara yang tidak disentuh perlu dijelaskan atau fakta baru yang ditokoktambah. Itu belum lagi mengambilkira ada sesetengah fakta yang dikemukakan oleh pihak-pihak dan dibicara panjang lebar sebenarnya tiada kaitan dengan tuntutan sebenar pihak-pihak di Mahkamah.

Wallahu A'lam

Sabtu, 15 September 2012

Khilaf Antara Suami Dan Isteri: Kata Siapa Harus Dibenarkan?


Dalam kes yang dirujuk, pihak suami dan isteri telah bertikai samada berlaku persetubuhan atau tidak sebelum perceraian berlaku. Hakim perlu memutuskan samada berlaku persetubuhan atau tidak kerana ini melibatkan kesan dan hak selepas penceraian. Hak tersebut meliputi mahar, iddah, rujuk dan lain-lain kesan yang lahir daripadanya. Kertas ini menyatakan rujukan berkaitan keputusan tersebut.

Rujukan pertama:
Kitab Al-Ashbah Wannazair, Imam Jalaluddin Assayuti Jilid 1 ms 127 Darul Kutub Ilmiah, Beirut 2001 (lampiran 1) dipetik:  

قَاعِدَة : الْأَصْلُ الْعَدَمُ فِيهَا فُرُوعٌ : مِنْهَا : الْقَوْلُ قَوْلُ نَافِي الْوَطْءِ غَالِبًا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ الْعَدَمُ
“Kaedah: ‘Asal sesuatu adalah tidak wujud’ baginya beberapa subtopik, antaranya: Dakwaan yang dipilih adalah tidak berlakunya persetubuhan, dakwaan ini lebih kuat kerana ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’”.

Dalam kitab rujukan ini, kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ adalah lebih dominan dan banyak digunakan dalam masalah khilafiah untuk mazhab Shafie. Kaedah diatas adalah rangkaian yang terbit dari kaedah utama ‘الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكّ’ atau ‘Keyakinan tidak digugat dengan perasaan syak’. Kaedah kedua dari 5 kaedah utama yang digariskan oleh Imam Jalaluddin Assayuti. Mendasari kaedah ini adalah sebuah Hadis dari Abi Hurairah berbunyi:     

الْقَاعِدَةُ الثَّانِيَةُ : الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ وَدَلِيلُهَا قَوْلُهُ صلى الله عليه وسلم { إذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ , أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا ؟ فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ الْمَسْجِد حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا } رَوَاهُ مُسْلِمٌ مِنْ حَدِيثِ أَبِي هُرَيْرَةَ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasul SAW bersabda“ Apabila terdapat sesuatu didalam perutmu maka diragui atasnya samada telah keluar atau tidak (kentut). Maka tidak perlulah untuk keluar dari Masjid (untuk memperbaharui wuduk) sehingga terdengar bunyi atau terbau satu bauan” [Muslim]

Rujukan Kedua:
Dalam kitab yang sama Jilid 2 ms 90 (lampiran 2):

الْقَاعِدَةُ التَّاسِعَةُ إذَا اخْتَلَفَ الزَّوْجَانِ فِي الْوَطْءِ , فَالْقَوْلُ قَوْلُ نَافِيهِ . عَمَلًا بِأَصْلِ الْعَدَمِ إلَّا فِي مَسَائِلَ : الْأُولَى : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ الْإِصَابَةَ , فَالْقَوْلُ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ سَوَاءٌ كَانَ قَبْلَ الْمُدَّةِ , أَوْ بَعْدَهَا , وَلَوْ كَانَ خَصِيًّا , وَمَقْطُوعَ بَعْضِ الذَّكَرِ , عَلَى الصَّحِيحِ
“Kaedah kesembilan: apabila bertikai suami isteri tentang persetubuhan, maka yang terkuat adalah dakwaan tidak berlakunya persetubuhan, ini aplikasi kepada kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ terkecuali pada masalah berikut: apabila mendakwa seorang yang berpenyakit ‘unnah’, maka dibenarkan dakwaan beliau disertai dengan sumpah samada sebelum berlalu satu tempoh atau selepasnya, walaupun ‘khissian’ atau terpotong sebahagian zakarnya, atas pendapat yang sahih”

Terdapat 6 masalah lain yang diberi pengecualian dalam kaedah ini, namun tidak ada satupun yang bersangkutan dengan seorang isteri yang mendakwa berlaku persetubuhan dan suami menafikan seperti kes yang dirujuk. Petikan ini diambil dari tajuk “الْكِتَابُ الرَّابِعُ فِي أَحْكَامٍ يَكْثُرُ دَوْرُهَا وَيَقْبَحُ بِالْفَقِيهِ جَهْلُهَا”.

Rujukan ketiga:
Kitab Al-Majmu’ Sharhu Al-Muhazzab lil As-Shairazi, Imam Abi Zakaria Yahya Sharfu An-Nawawi Jilid 18 ms 66 Maktabah Al-Irsyad, Jeddah (lampiran 3) dipetik:  

فصل: وان اختلفا فى ألوطء فادعته المرأة وانكر الزوج فالقول قوله لان الأصل عدم الوطء
“Ceraian: Sekiranya bertikai pada berlakunya persetubuhan, maka mendakwa perempuan berlaku persetubuhan, menafikan suaminya maka pernyataan yang diambil adalah nyataan suami, kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”

Petikan ini adalah dibawah bab pertikaian suami isteri didalam penentuan “As-Sadaq” pemberian perkahwinan atau maskahwin. Diterangkan juga selanjutnya didalam perenggan yang sama, apabila datang perempuan dengan seorang anak yang dinasabkan kepada suaminya maka penentuan mahar ada dua pendapat, salah satunya wajib suaminya membayar mahar, kerana diketemukan nasab dihukumkan kepada wujudnya persetubuhan. Manakala pendapat kedua tidak wajib mahar kerana anak yang  diketemukan itu hasil dari pelbagai kemungkinan dan mahar tidak wajib melainkan dengan persetubuhan maka asal adalah tiada persetubuhan.

Hujah ini adalah tepat dan kena dengan situasi kes yang dirujuk, kerana dakwaan oleh isteri berlaku persetubuhan dan diingkari oleh suami, dan daripada ketiga-tiga rujukan yang dibawa tiada satupun yang mensyaratkan sumpah untuk mensabitkan tiada berlaku persetubuhan.  Ini membuktikan kekuatan kaedah  ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ yang dibawa oleh As-Sayuti adalah umum diterima dalam mazhab Syafie.

Rujukan keempat:
Di dalam Kitab Hasyiatan Qailubi Waumairah Syarh Minhaj At-Talibin, Syihabudin Ahmad bin Ahmad bin Salamah Alqalyubi dan Syihabudin Ahmad Al Barlisi Umairah, Darul Fikr dinyatakan:

وَإِذَا طَلَّقَ دُونَ ثَلَاثٍ , وَقَالَ : وَطِئْت فَلِي رَجْعَةٌ , وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ ) أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ
“Apabila berlaku talak selain dari talak tiga, suami mendakwa aku telah mensetubuhi isteriku maka bagiku tempoh untuk rujuk, maka dinafikan oleh isterinya berlaku persetubuhan, maka diterima penyataan isteri dengan sumpahnya. Bahawa tidak berlaku persetubuhan ke atas isteri tersebut kerana asal tiada berlaku persetubuhan.”

Nas ini menyatakan apabila seorang suami mendakwa berlaku persetubuhan, manakala isteri menafikannya, situasi yang berbeza dengan kes yang dirujuk, hukumannya adalah tetap kepada tidak berlaku persetubuhan. Kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ tetap digunakan tanpa mengira siapa yang mendakwa samada isteri atau suami. Bezanya hanya pada pengambilan sumpah daripada pihak isteri beserta keterangannya. Dalam nas dari kitab yang lain juga memberi erti yang sama dipetik:

وَإِذَا طَلَّقَ ) الزَّوْجُ ( دُونَ ثَلَاثٍ وَقَالَ وَطِئْت ) زَوْجَتِي قَبْلَ الطَّلَاقِ ( فَلِي ) عَلَيْهَا ( رَجْعَةٌ وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ قَبْلَ الطَّلَاقِ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ )
أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ فَإِنْ قِيلَ : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ أَوْ الْمَوْلَى الْوَطْءَ , فَإِنَّ الْقَوْلَ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ مَعَ أَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ .
Oleh yang demikian, Hakim telah membuat keputusan dengan betul apabila mensabitkan tidak wujud iddah kepada pihak isteri apabila berlakunya penceraian akibat tidak berlaku penyerahan atau persetubuhan selepas perkahwinan.

Pendapat berlawanan
Namun terdapat pendapat yang bertentangan, jika dilihat pada bahagian Fatwa Ibn Ziyad didalam kitab Bughyatul Mustarsyidin fi Takhsis Fatawa Ba’da Al-Aimmah min Ulama’il Mutaakhirin (lampiran 4). Dalam bab Rujuk  menyatakan:

“Masalah: Isteri berikrar berlakunya persetubuhan dan suami menafikan, maka wajib ke atas isteri tersebut iddah, dan tidak gugur dakwaan itu dengan pengakuan beliau (isteri) menipu kerana dia rujuk pengakuan pertamanya sepertimana disebut dalam kitab Raudah. Walaubagaimanapun, sekiranya isteri telah berikrar bahawa suami tidak bersetubuh dengannya dan dibenarkan dakwaan isteri, kemudian sabit dengan keterangan yang baik dengan pengakuan isteri berlaku persetubuhan sebelum ikrar pertama (tidak berlaku persetubuhan) maka tetap diwajibkan iddah…” 

Petikan kitab Bughyah ini mewajibkan isteri mendapat iddah, seolah-olah dipakai keterangan isteri tentang berlakunya persetubuhan, perlu diingat bahawa petikan ini diambil dari bab rujuk dan tumpuan (syahid) diberikan kepada hak isteri untuk mendapat iddah.

Begitu juga satu pendapat yang sama dinukilkan dalam buku “Risalah Perkahwinan Bicara bab Nikah Cerai Rujuk dan Iddah” yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah disebut:

“Sabit bersetubuh:
1. Jika menjadi berbalahan diantara suami isteri dengan bersetubuh, isteri berkata suaminya telah bersetubuh dengannya dan suaminya berkata ia belum bersetubuh dengan isterinya maka kenalah isteri bersumpah dengan bersetubuh maka dihukum telah bersetubuh.

2. Jika menjadi perbalahan diantara suami isteri dengan tiada bersetubuh isteri berkata tiada bersetubuh dan suami berkata telah bersetubuh maka dibenarkan perkataan isteri dengan tiada bersetubuh dan tiada berkehendak kepada isteri bersumpah lagi.

3. Jika tiada menjadi perbalahan dibenarkan perkataan isteri dengan tiada sumpahnya lagi.”

Petikan diatas tidak dinyatakan pengambilannya, oleh yang demikian penyelidikan tidak dapat dibuat ke atas pendapat kontra yang dinyatakan dalam perkara 1.

Penyelarasan
Merujuk kepada Kitab Al-Bayaan Fi Mazhab Al-Imam As-Shafie, Abi Husain Yahya bin Abi Al-Khair Salim Al-Imraani, As-Shafie Al-Yamani. Jilid 9 ms 469-470 Darul Minhaj. (lampiran 5) diterjemahkan.

“Masalah : Mendakwa berlaku berdua-duaan (Al-Khalwat) dan persetubuhan (Al-Asabah);

Jika mendakwa isteri: Bahawa suami telah berdua-duaan dengannya dan menyetubuhinya, atau bersetubuh dengannya tanpa berdua-duaan, dan dinafikan oleh suami.. maka kata-kata diambil dari suami dengan sumpahnya, kerana pada asalnya tiada berlaku berdua-duaan dan persetubuhan.

Dan sekiranya suami membenarkan wujudnya berdua-duaan dan penyerahan diri isteri kepadanya untuk berlaku persetubuhan tetapi tidak berlaku persetubuhan. Dalam perkara ini jika kita mengatakan berdua-duaan adalah sama seperti bersetubuh pada meletakkan kadar mahar musamma maka wajiblah hak iddah.. Jika kita mengatakan berdua-duaan adalah bukan seperti bersetubuh. Adakah diambil kata-kata suami atau kata-kata isteri? Padanya dua pendapat.

1. Pendapat Qadeem: Diambil dakwaan isteri kerana jelas bersamanya.

2. Pendapat Jadid: Diambil dakwaan suami, dan ini adalah pendapat yang asah kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”

Al-Bayan mensyarahkan kitab Al Muhazzab secara lengkap dan perbandingan pendapat-pendapat lain dalam mazhab, pengarang telah memecahkan persetubuhan kepada dua definisi, iaitu berdua-duaan (Al-Khalwah) dan persetubuhan (Al-Asabah).  Sekiranya berlaku berdua-duaan (bersunyi-sunyian suami dan isteri dari pendangan orang lain dan memungkinkan berlaku persetubuhan) ataupun tidak maka dakwaan suami tidak berlaku persetubuhan adalah yang terkuat dan diambil kira. Ini mengambil kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’. Namun sekiranya berlaku berdua-duaan tetapi tidak berlaku persetubuhan maka ada dua pendapat,  diambil dakwaan isteri samada isteri mendakwa berlaku persetubuhan atau sebaliknya. Sekiranya isteri mendakwa berlaku persetubuhan maka wajiblah suami untuk memberi  nafkah iddah, menyempurnakan mas kahwin, mempunyai hak untuk merujuk, dan hak-hak lain.  Namun pendapat yang terkuat adalah tetap kembali kepada suami yang mendakwa tidak berlakunya persetubuhan. Inilah yang ‘Asah’.  

Rumusan…..
1. Dalam dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami maka dakwaan suami dibenarkan. Kerana asal sesuatu tidak ada.

2. Dalam dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami dalam tuntutan iddah maka dihukumkan isteri dengan iddah. Sepertimana dalam kitab Bughyatul Mustarshidin.

3. Sehingga tiada nas lain yang boleh menggugat kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’ dan diaplikasikan terhadap kes ini maka, keputusan Hakim Bicara adalah tidak menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang dan hukum syarak.

Elemen Menyediakan Pliding Yang Baik Berdasarkan Hukum Syarak Dan Beban Pembuktian

7.    Tuntutan Harta Sepencarian
Pliding yang baik hendaklah mengandungi butir-butir yang mencukupi berdasarkan-

i.         Tarikh pemerolehan harta samada dalam tempoh perkahwinan atau sebaliknya.

“harta sepencarian” ertinya harta yang diperolehi bersama oleh suami isteri semasa perkahwinan berkuat kuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak;

122. (5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka

ii.        Amaun @ harga asset semasa dibeli.
iii.      Bayaran Pendahuluan...(jika ada) siapa bayar.
iv.       Loan interest....jika ada
v.        Jumlah bayaran bulanan dan pembayar
vi.       Status rumah..dalam pembiayaan @ hak milik
vii.     Takat sumbangan langsung pihak-pihak dalam pemerolehan rumah
viii.    Takat sumbangan tidak langsung pihak-pihak.

Beban Pembuktian terletak kepada siapa yang mendakwa berlakunya perkara tersebut.

122. (1) Mahkamah adalah mempunyai kuasa apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat suatu perintah perceraian untuk memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset yang diperolehi oleh pihak-pihak itu dalam masa perkahwinan dengan usaha bersama mereka dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(2) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (1), Mahkamah hendaklah mengambil perhatian tentang—

(a). takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh tiap-tiap satu pihak dalam bentuk wang, harta, atau kerja bagi memperolehi aset-aset itu;
(b) apa-apa hutang yang terhutang oleh salah satu pihak yang telah dilakukan bagi manfaat bersama mereka;
(c) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

(3) Mahkamah adalah mempunyai kuasa, apabila membenarkan lafaz talaq atau apabila membuat perintah perceraian, memerintah supaya apa-apa aset yang diperolehi dalam masa perkahwinan dengan usaha tunggal satu pihak kepada perkahwinan itu dibahagi antara mereka atau supaya aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara mereka atau supaya mana-mana aset itu dijual dan hasil jualan itu dibahagi antara pihak-pihak itu.

(4) Pada menjalankan kuasa yang diberi oleh subseksyen (3), Mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada—

(a) takat sumbangan-sumbangan yang telah dibuat oleh pihak yang tidak memperolehi aset itu, kepada kebajikan keluarga dengan memelihara rumahtangga atau menjaga keluarga;

(b) keperluan-keperluan anak-anak yang belum dewasa dari perkahwinan itu, jika ada,

dan tertakluk kepada pertimbangan-pertimbangan itu, Mahkamah boleh membahagikan aset-aset itu atau hasil jualan itu mengikut apa-apa kadar yang difikirkannya munasabah, tetapi, walau bagaimana pun, pihak yang telah memperoleh aset-aset itu dengan usahanya hendaklah menerima suatu kadar yang lebih besar.

(5) Bagi maksud seksyen ini, rujukan-rujukan mengenai aset yang diperoleh dalam masa perkahwinan termasuklah aset-aset yang dipunyai oleh satu pihak sebelum perkahwinan itu yang telah dimajukan pada sebahagian besarnya dalam masa perkahwinan itu oleh pihak yang satu lagi itu atau dengan usaha bersama mereka.