Tatacara Seksyen 151
Hakim Mahkamah Rayuan Syariah di dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin
Kamal, Kes Rayuan
(Negeri Sembilan) No. 05000-099-003-2009 dan kes Zetty Binti Zabir lwn. Mohammed Rafi Bin Mohamed Yaacob, Kes Rayuan Mal (Selangor) No.:
10000-036-011-2009 telah memberikan garis panduan atau tatacara yang
diadaptasikan dari Aturan 52
Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 atas kelompongan atau lakuna yang ada
berdasarkan peruntukan seksyen 245 (2) ETMMS 2003.
Berdasarkan kepada kedua-dua kes yang dirujuk
tersebut, tatacara pengkomitan di bawah peruntukan seksyen 151 ETMMS 2003
hendaklah melalui prosedur berikut :
1. Permohonan perintah
pengkomitan dibuat secara sebelah pihak atau istilah yang selalu digunapakai
iaitu secara ex-parte dan disokong dengan Affidavit Sokongan Pemohon
yang mengandungi butiran diri Pemohon, butiran diri orang hendak dikomitkan
iaitu Responden dan alasan permohonan iaitu berkaitan terma perintah yang
dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut jika berkaitan.
2. Mahkamah apabila
menerima permohonan tersebut, hendaklah menyiasat dan meneliti samada
permohonan ini wajar dibenarkan ataupun sebaliknya. Sekiranya wajar dibenarkan,
Mahkamah hendaklah membuat suatu perintah tentang kebenaran tersebut dan
seterusnya mengeluarkan suatu Notis Tunjuk Sebab (NTS) kepada Responden dan
notis tersebut hendaklah diserahsampaikan kepadanya secara kediri bersama
dengan Perintah Kebenaran Pengkomitan bagi kes-kes di bawah bidangkuasa
Mahkamah Tinggi Syariah.
3. Bagi perlaksanaan
perintah komital di Mahkamah Rendah Syariah, kebenaran pengkomitan hendaklah
diperolehi terlebih dahulu di Mahkamah Tinggi Syariah dengan membuat permohonan
dan Affidavit Sokongan. Ia selari dengan kehendak Arahan Amalan No. 3 Tahun
2006. Setelah kebenaran pengkomitan diperolehi, permohonan untuk pengeluaran
Notis Tunjuk Sebab beserta Affidavit Sokongan yang mengandungi butiran diri P, butiran diri
orang hendak dikomitkan (R) dan alasan permohonan (terma perintah yang
dilanggar dan cara pelanggaran terma perintah tersebut) hendaklah dipohon di Mahkamah Rendah Syariah.
Tatacara seterusnya adalah sama sepertimana di Mahkamah Tinggi Syariah setelah
suatu Notis Tunjuk Sebab dikeluarkan oleh Mahkamah Rendah Syariah.
4. Ini adalah
bersandarkan alasan, tiada penjelasan yang jelas samada Arahan Amalan dan kes
rayuan yang dirujuk berkaitan bagaimana prosiding pengkomitan di Mahkamah
Rendah Syariah perlu dilaksanakan setelah kebenaran Mahkamah Tinggi Syariah
diperolehi. Selain itu, Mahkamah berpandangan bahawa Mahkamah Rendah Syariah
juga hendaklah mempunyai kuasa pengkomitan sebagaimana Mahkamah Tinggi Syariah
kerana rujukan Aturan 52 Kaedah Mahkamah Tinggi yang dirujuk di dalam kes
rayuan tersebut adalah prosedur yang digunapakai di mahkamah tinggi sivil
sedangkan peruntukan yang sama juga ada diperuntukan di bawah Aturan 36 Kaedah
Mahkamah Rendah bagi prosedur di mahkamah rendah sivil (Kedua-dua Kaedah ini
telah dimansuhkan dan digantikan dengan Kaedah Mahkamah 2012 yang pemakaiannya
meliputi Mahkamah Rendah Sivil dan Mahkamah Tinggi Sivil). Di Mahkamah ini,
Enakmen Tatacara Mal ini hendaklah digunapakai samada di Mahkamah Tinggi
Syariah mahupun Mahkamah Rendah Syariah tanpa ada pengecualian.
5. Oleh yang demikian,
Mahkamah Rendah Syariah hendaklah mempunyai bidangkuasa terhadap prosiding
pengkomitan. Apatah lagi, Arahan Amalan tidak menyebut kes-kes sebegini hanya
boleh dibicarakan di Mahkamah Tinggi Syariah atau dibawah bidangkuasa Mahkamah
Tinggi Syariah sahaja. Yang dinyatakan oleh Arahan Amalan hanyalah kebenaran
hendaklah diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Syariah.
6. Seterusnya, prosiding
pendengaran tersebut hendaklah dibuat secara terbuka kecuali jika ternyata kepada Mahkamah bahawa adalah
bagi kepentingan pentadbiran keadilan. Jika sekiranya Responden tidak hadir setelah
penyampaian Notis terhadapnya sempurna sebagaimana di syaratkan maka satu waran
tangkap boleh dikeluarkan terhadapnya bagi memastikan kehadirannya di hadapan
mahkamah. Prosiding bagi kes pengkomitan ini hanya boleh dijalankan dengan
kehadiran Responden sahaja dan hanya boleh dikomitkan setelah Responden diberi peluang
membela dirinya sahaja.
7. Ini bersesuaian
dengan prinsip bahawa prosiding pengkomitan hendaklah dijalankan secara lebih
berhati-hati dan waspada sebagaimana pandangan Hakim Dato’ Jefrey Tan Kok Wha dalam kes Helen
Yeap Poh Sin lwn. Universal Trustee (Malaysia) Bhd., (2001) 7 CLJ 414
yang menyatakan :
“Harus juga diingat bahawa kuasa Mahkamah
untuk mengkomitkan seseorang ke penjara kerana kegagalan mematuhi perintah
Mahkamah perlu dijalankan dengan berhati-hati.”
8. Dalam kes di Mahkamah
Tinggi Syariah, Pahang iaitu kes Haji Azman Bin Abdul Talib lawan Suhaila Binti Ibrahim [2004] CLJ (Sya) 392,
Hakim Abdul Rahman Yunus telah memakai prinsip mahkamah sivil sewaktu
membebaskan Respondan dari perintah komital kerana kegagalan mematuhi perintah
mahkamah dengan menyatakan:
“kuasa Mahkamah
untuk mengkomitkan seseorang ke penjara kerana kegagalan mematuhi perintah
Mahkamah perlu dilaksanakan dengan penuh
berhati-hati.”
9. Pada tarikh yang ditetapkan, pembelaan Responden sepatutnya dibuat secara lisan
dengan cara Hakim Bicara hendaklah menjalankan siasatan terhadap Responden secara “inquistorial”.
Namun begitu, Hakim Bicara berdasarkan kuasa budi bicaranya boleh membenarkan Responden disoal oleh Pemohon
dan/atau Peguamnya sendiri serta oleh Hakim Bicara. Namun sekiranya Hakim Bicara merasakan adalah
munasabah baginya untuk pembelaan Responden dibuat secara Affidavit atas
apa-apa sebab atau permohonan Responden, Hakim Bicara boleh membenarkannya
tetapi dengan syarat dan kandungan Afidavit hendaklah berkisar kepada pembelaan
terhadap Notis tunjuk Sebab tersebut serta Hakim Bicara boleh membenarkannya dan disoal-balas
dan disoal-semula oleh pihak-pihak termasuklah Hakim Bicara itu sendiri.
10. Alasan yang munasabah adalah ianya tidak
menyebabkan ketidakadilan kepada Pemohon dan Responden memandangkan Pemohon
juga diberi ruang untuk menyoalbalas dan Peguam Syarie Responden menyoal semula
pembelaan anakguamnya. Bahkan ianya lebih lengkap dan membantu Mahkamah di dalam
memahami isu pokok di dalam kes pengkomitan ini bagi menjamin keadilan.pihak
–pihak serta bersesuaian dengan prinsip berhati-hati yang dipegang oleh
Mahkamah di dalam memutuskan isu pengkomitan. Selain itu, dengan pendekatan
ini, prosiding kes ini boleh berjalan dengan lancar telus dan lebih cepat
berbanding melalui prosiding inquistorial secara iqrar memandangkan tempoh masa
yang diambil untuk menyelesaikan suatu kes memakan masa yang lama disebabkan
lambakan kes tanpa mengabaikan prinsip keadilan.
11. Pada asasnya, Hakim
Bicara sendiri hendaklah menyoal siasat Responden secara iqrar pembelaan
Responden dan saksi-saksi
Responden sekiranya ada dengan konsep inquistorial. Namun walaupun
menggunakan konsep ini, Mahkamah masih mempunyai kuasa budibicara untuk memberi
peluang pihak-pihak terutama yang diwakili peguam syarie menyoal Responden dan
juga saksinya sekiranya berkaitan. yang dikemukakan oleh pihak-pihak. Tiada
bezanya konsep yang digunakan oleh mahkamah ini berhubung pembelaan Responden
dibuat melalui Affidavit cuma hanya dibezakan dengan Afidavit Pembelaan di
failkan sebelum prosiding pendengaran dijalankan. Dari sudut pembelaan
diberikan secara iqrar, sebelum sesuatu Affidavit diterima sebagai Pembelaan
Responden, Responden dikehendaki beriqrar dan mengesahkan bahawa Affidavit yang
difailkan tersebut digunakan sebagai pembelaan Responden di dalam prosiding
tersebut sebelum prosiding soalbalas oleh Peguam Pemohon dibenarkan, soalsemula
oleh Peguam Responden dan siasatan oleh Mahkamah sendiri.