Khamis, 19 September 2013

Seksyen 229 BOLEH DIPOHON ???

HANYA Mahkamah sahaja yang boleh memulakan prosiding di luar Mahkamah yang diperuntukkan di dalam Seksyen 229 tersebut berasaskan alasan berikut-

1.      Peruntukan Seksyen 229 tersebut hanya menyatakan bahawa Mahkamah sahaja yang boleh memulakan prosiding penghinaan Mahkamah tersebut sebagaimana yang diperuntukkan-

Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina Mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

2.      Pandangan ini juga telah dijelaskan di dalam kes di dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal, Kes Rayuan (Negeri Sembilan) No. 05000-099-003-2009 yang mana keputusannya dirujuk oleh kes di atas, Panel Rayuan menyatakan-

37.  Kami berpendapat pendekatan cross reference oleh Y.A Hakim Bicara tidak tepat dalam menangani masalah ini kerana konteks seksyen 229 dan 151 (1) (b) (aa) Enekmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) ini berbeza. Di bawah peruntukkan seksyen 229 (1) disebut dengan jelas bahawa prosiding itu dimulakan oleh Hakim, bukan di mulakan oleh-oleh pihak-pihak yang bertikai. Oleh itu, keseluruhan peruntukkan seksyen 229 ini berdiri dengan sendirinya, iaitu dalam kes di mana Hakim mendapati ada mana-mana pihak melakukan penghinaan kepadanya, sama ada di dalam Mahkamah atau di luar mahkamah.

38.  Kami dengan hormatnya merujuk kepada peruntukkan seksyen 229 (1) ini yang menetapkan seperti berikut:-

Mahkamah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

3.      Sekiranya undang-undang membenarkan penghinaan Mahkamah dipohon oleh pihak-pihak maka adalah lebih sesuai frasa yang digunakan adalah “Mahkamah boleh, atas kehendaknya sendiri atau atas permohonan mana-mana pihak” atau setidak-tidaknya menggunakan peruntukan sebagaimana diperuntukkan di dalam Aturan 52 Kaedah Mahkamah 2012 ( peruntukan yang sama terkandung di dalam akta lama iaitu Aturan 52 KMT 1980 dan Aturan 34 KMR 1980) yang menyatakan-

Aturan 52, Kaedah 2 – Mahkamah boleh atas permohonan mana-mana pihak kepada mana-mana kausa atau perkara atau atas usulnya sendiri, membuat suatu perintah pengkomitan dalam Borang 7.

4.    Perbezaan di antara peruntukan Seksyen 229 ini berbanding peruntukan yang lain di dalam ETMMS kerana bagi peruntukan ini, tiada sebarang borang disediakan atau dilampirkan berbanding peruntukan lain yang dilampirkan bentuk borang tertentu terutamanya bagi prosiding penguatkuasaan dan perlaksanaan perintah termasuk seperti Saman Penghutang Penghakiman mahupun Notis Penghakiman yang mana natijahnya adalah hukuman pemenjaraan. Namun tidak bagi peruntukkan Seksyen 229 ini, tiada sebarang bentuk borang dilampirkan dan ini menunjukkan bahawa peruntukan ini adalah dikhususkan kepada Mahkamah sahaja. Begitu juga kija dilihat berdasarkan amalan sivil yang mana dilampirkan borang bagi menjelaskan prosedur yang perlu diikuti di dalam sesuatu prosiding.

Tiada ulasan: