Ahad, 4 November 2012

Kaedah Mentafsir Statut

Mahkamah Sivil
Kaedah Konteks
iaitu suatu kaedah tafsiran statut dipandu oleh akal fikiran biasa. Hakim mungkin mencari maksud sesuatu perkataan dalam kamus atau buku teknikal tetapi maksudnya mungkin dikawal oleh sesuatu konteks yang tertentu. Kaedah ini yang memerlukan kita berpegang kepada konteks kagangkala digelar dalam bahasa Latin sebagai Noscitur a sociis yang telah diterjemahkan oleh Henry Fielding sebagai suatu perkataan boleh diketahui dengan memerhatikan perkataan-perkataan yang bersama-samanya. Seseorang itu perlu melihat bukan sahaja keseluruhan bahagian itu tetapi statut itu secara keseluruhannya dan juga perundangan yang terdahulu yang menyentuh hal itu.kerana kita mengandaikan apabila Parlimen meluluskan sesuatu Akta, ia mungkin telah menimbangkan perundangan yang dahulu dan mungkin ingin menggunakan perkataan yang sama. Tetapi perkataan-perkataan tidak selalunya mempunyai makna yang konsisten: konteks mungkin menunjukkan perkataan yang sama mempunyai dua maksud yang berlainan walaupun perkataan itu diulang dalam bahagian yang sama.

Oleh itu, kaedah yang kini diputuskan oleh House of Lords ialah semasa mengambilkira Consolidation Act.

“Perkataan-perkataannya jelas dan tidak mempunyai dua makna maka tidak boleh kita merujuk kepada peruntukan yang sama dalam statut terdahulu yang telah dimansuhkan oleh Akta gabungan. Juga kita tidak boleh menganggap apa-apa perbezaan dalam perkataan yang digunakan sebagai meragukan sedangkan perkataan yang digunakan di dalam Akta gabungan itu sudah terang dan jelas maknanya.”

Semasa membaca statut tafsir seksyen hendaklah di cari kerana perkataan yang digunakan mempunyai makna khas dalam statut itu. Ahli Parlimen mempunyai tabiat yang buruk iaitu tidak memberitahu (misalnya dalam nota kaki atau nota birai) yang sesuatu perkataan dalam sesuatu bahagian yang ditakrifkan di tempat lain di dalam statut itu; anda terpaksa mencarinya sendiri. Di samping bahagian tafsiran dalam statut itu, Interpretation Act 1978 berfungsi sebagai kamus yang boleh memberi makna kepada beberapa perkataan yang sangat penting yang digunakan di dalam perundangan. Akta ini menerangkan di antara lain, perkataan jamaknya merangkumi yang singular, dan sebaliknya, melainkan kalau ada tujuan lain. Melalui Akta ini juga, man (manusia lelaki) merangkumi woman (wanita).

Tafsiran mengikut dasar “Makna Sampingan”
 
Apabila mentafsir statut, mahkamah selalu menyatakan yang mereka ingintahu “tujuan perundangan”. Dalam keadaan sebenar, sekiranya mahkamah mendapati sukar untuk mengetahui samada situasi tertentu termasuk dalam lingkungan perkataan dalam statut atau tidak, kemungkinan situasi ini tidak dijangkan oleh Parlimen….. Disebabkan kesukaran ini maka ada pihak yang meragui bahawa mahkamah benar-benar ambil berat tentang niat Parlimen.

“Dalam penafsiran dokumen bertulis termasuk statut, apa yang mahkamah akan ambilkira ialah bukannya apa yang sipembuat dokumen itu ingin katakana tetapi maksud apa yang telah mereka katakana.”

Tetapi ada orang yang berpendapat bahawa niat Parlimen perlu dilihat sebagai “maksud perkataan yang Parlimen ingin sampaikan”. Apabila terdapat keraguan, mahkamah perlu meneka apa maksud yang akan difikirkan oleh Parlimen sekiranya Parlimen diajukan dengan keraguan itu. Niatnya bukan sebenar tetapi bersifat hipotesis. Sudah semestinya terdapat had kepada apa yang mahkamah boleh buat untuk melengkapkan sesuatu statut tetapi ini tidak mustahil dan boleh dilakukan setakat had-had tertentu.

Rukun Elak Mudharat

Daripada gambaran yang baru diberi bolehlah dilihat yang tugas mentafsir statut member peluang kepada hakim memberikan pendapat mereka tentang social. Jadi pandangan mereka sudah tentu tidak akan sentiasa mendapat penerimaaan sejagat. Tetapi hakim-hakim akan berada dalam keadaan selamat sekiranya mereka menggunakan rukun elak mudharat atau dikenali juga sebagai kaedah kes Heydon. Kaedah ini mengajak kita memerhatikan keadaan common law (iaitu kedudukan undang-undang) sebelum Akta itu dan mudarat yang statut itu ingin perbaiki. Akta itu sepatutnya ditafsirkan sebagai menyekat mudharat dan memberikan remedy. Kegunaan praktis kaedah ini bergantung setakat had-had tertentu kepada cara mahkamah boleh bertindak untuk menentukan apakah kemudharatan yang sepatutnya diatasi oleh Akta itu.

Kaedah Harafiah

Walaupun diterima yang perkataan mempunyai keanjalan dalam maknanya tetapi kaedah umumnya masih menghendaki para hakim terikat dengan perkataan sesuatu statut apabila perkataan –perkataan ini dengan jelas perlu diikut dalam situasi yang dihadapkan ke mahkamah. Perkataan mesti digunakan tanpa melakukan apa-apa penambahan atau pengurangan. Lebih tepat lagi, kaedah umumnya ialah mahkamah tidak boleh memperluaskan statut kepada kes yang bukan dalam lingkungan istilahnya. Namun ia mungkin berada dalam ruang tujuan statut itu (casus omissus). Mahkamah juga tidak boleh menghadkan statut itu dengan mengecualikan sesuatu kes yang secara nyata termasuk di bawahnya walaupun mahkamah beranggapan sebaliknya. (Tidak terdapat nama khusus yang diterima untuk menamakan keadaan ini, tetapi ia mungkin boleh digelar casus male inclusus).

Lord Diplock seterusnya menyatakan yang prinsip ini terpakai walaupun ada alasan untuk menganggap yang jika Parlimen menjangkakan situasi di mahkamah itu, ia akan mengubahsuaikan perkataan-perkataannya. “Jika inilah kesnya maka Parlimenlah yang sepatutnya membuat perubahan kepada undang-undang itu seperti dinyatakan dalam Akta dan bukan Hakim.” Jadi Mahkamah tak sepatutnya menggunakan rukun elak mudharat apabila statut adalah “jelas dan tidak kabur”. Mahkamah boleh menggunakan rukun elak mudharat sekiranya statut kabur, tetapi tidak boleh mengada-adakan kekaburan untuk menggunakan kaedah ini. Namun demikian, agak sukar untuk diselaraskan rukun harafiah dengan rukun “konteks”. Kita memahami makna perkataan-perkataan dari konteksnya dan dalam kehidupan sehari-hari konteks meliputi bukan sahaja perkataan lain tetapi keseluruhan situasi kemanusiaan dan social yang terlibat dalam penggunaan perkataan-perkataan itu.

Tafsiran untuk Mengelakkan Keadaan Tidak Munasabah “Rukun Keemasan”

Tafsiran yang digambarkan oleh kes Factories Act, mahkamah kadangkala mentafsir statut secara yang boleh memberikan kesan yang munasabah walaupun ini bermakna yang mahkamah telah menyimpang daripada makna prima facie perkataan itu. Kaedah yang menyatakan bahawa suatu statut boleh ditafsirkan untuk mengelakkan ketidakmunasabahan digelar dengan mudah sebagai “rukun keemasan” Ia mempunyai had dan nampaknya terpakai hanya dalam tiga (3) keadaan.

Dalam keadaan pertama, kaedah ini membenarkan mahkamah memilih makna yang munasabah daripada makna yang tidak masuk akal apabila kedua-duanya boleh diterima dari segi linguistik. Walaupun makna yang tidak munsabah itu lebih nyata dan biasa, ini tidak akan diambilkira. Lord Reid:

“Apabila suatu peruntukan statut ditafsir dan membawa akibat yang memeranjatkan dan tidak adil, maka mahkamah akan didorong mencari tafsiran lain yang lebih adil.”

Dalam suatu keadaan yang lain, Lord Reid telah memberi penekanan yang lebih tentang perkara ini.

“Hanya apabila perkataan-perkataannya tidak boleh langsung ditafsirkan untuk member makna yang selaras dengan tujuan peruntukan itu dasn mengelakkan satu akibat yang tidak munasabah, barulah perkataan-perkataan enakmen mesti terpakai.”

Pemakaian rukun keemasan tidak bertentangan dengan rukun harafiah asalkan akibat tidak munasabah yang terjadi sekiranya statut itu dipakai sebegitu, diterima sebagai sesuatu kekaburan dalam statut itu.

Namun demikian mahkamah kadangkala bertindak menggunakan prinsip kedua yang dinyatakan oleh Professor Cross seperti berikut:

“Hakim boleh memberi makna kepada sesuatu perkataan yang beliau rasakan perlu tersirat oleh perkataan-perkataan yang telah ada dalam statut itu dan beliau mempunyai kuasa yang terhad untuk menambah, mengubah atau tidak mempedulikan perkataan-perkataan statutory untuk mengelakkan sesuatu peruntukan daripada menjadi tidak difahami, aneh atau tidak munasabah, tidak berfungsi atau tidak sealiran dengan keseluruhan statut.”

Berdasarkan prinsip ini, hakim-hakim kadangkala membetulkan suatu statut yang telah dengan bodohnya menggunakan perkataan “dan” apabila sebenaranya ia inginkan perkataan “atau” atau sebaliknya. Walaubagaimanapun, hujah yang kuat perlu diberi sebelum mahkamah dapat campurtangan dalam suatu statut.

Prinsip ketiga boleh dilihat sebagai pemakaian prinsip kedua tetapi lebih elok jika dinyatakan berkenaannya dengan sendiri. Dalam mentafsir statut, berbagai-bagai anggapan boleh dipakai semuanya berbentuk menghadkan dan negatif. Anggapan inilah yang menjadi latar belakang prinsip undang-undang dan daripada sudut inilah Akta dilihat dan berpandukan inilah diandaikan Parlimen gunakan untuk membuat perundangan tanpa menyatakannya dengan jelas. Sesetengah-sesetengahny mengandungi fahaman tradisi tentang keadilan seperti kaedah yang menyatakan bahawa suatu statut dianggap tidak retrospektif (kecuali dalam hal-hal acara).

 [Glanville Williams dalam bukunya, Mempelajari Undang- Undang (terjemahan: Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Talat Mahmood), ILBS Kuala Lumpur, hlm 115 -132].
Kaedah Hukum Syarak
 
Keadaan ini juga bersesuaian dengan satu lagi kaedah fiqh yang berbunyi-
الاصل في الكلام الحقيقه
Hukum asal pada sesuatu ucapan itu dikira maknanya yang hakiki”
Kalimah al-haqiqah menurut bahasa bermaksud hak terhadap sesuatu apabila ia tetap. Menurut pengertian isitilah pula ialah makna asli yang diberikan kepada sesuatu lafaz ucapan, samada ia menurut istilah percakapan. Adapun kalimah al-majaz pula ialah sebalik kepada pengertian hakikat. Oleh itu, kaedah tersebut membawa maksud dalam sesuatu kalimah atau ucapan itu seharusnya diertikan pengertiannya yang hakiki atau ertinya yang sebenarnya iaitu erti dan pengertian sebagaimana dikehendaki selaras dengan lafaz kaedah yang bermaksud hak sesuatu ucapan itu ialah dibawa kepaada hakikat.
اذا تعذرالحقيقة يصار المجاز
Apabila sesuatu lafaz sukar diertikan secara hakiki dipindahkan kepada pengertian majazi
الاصل فى الكلام الحقيقة واذا تعذرت الحقيقة يصار المجاز
Asal pada ucapan ialah hakikat dan apabila terdapat keuzuran pada hakikat itu, berpindah kepada pengertian majaz
الاصل فى الالفاظ الحقيقة عند الاطلاق وقد يسرف الا المجاز بالنية
Asal pada lafaz ialah hakikat ketika dalam bentuk mutlak dan kadangkala ia bertukar kepada pengertian majaz dengan sebab niat”
Ini bersesuaian dengan kaedah fiqh yang berbunyi -
الاصل فى الالفاظ الحقيقة عند الاطلاق فلا تحمل علع المجاز الا بدليل
“Asal pada ucapan ialah hakikat ketika keadaan mutlak dan ia tidak boleh dibawa kepada pengertian majaz melainkan dengan dalil”.  
الضرورات تقدر بقدرها
Keadaan darurat ditentukan mengikut kadarnya.
ما أبيح للضرورة يقدر بقدرها
Apa yang dibolehkan kerana kemudharatan itu diukur menurut kadar kemudharatan.
ما احل للضرورة او حاجة يقدر بقدرها ويزول بزوالها
Apa yang dihalalkan sebab darurat atau hajat diukur menurut kadarnya dan hilangnya dengan lenyap darurat.
الحكم المقرر بالضرورة يقدر بقدرها
Hukum yang ditetapkan sebab darurat diukur mengikut kadarnya.
 
 الاضطرار لا يبطل حق الغير
Keadaan terdesak tidak membatalkan hak orang lain
الحاجة لا تحق لاحد أن يأحذ مال غيره
Hajat dan keperluan itu tidak member hak bagi seseorang mengambil harta orang lain.
الحكم يدور مع علته
Hukum itu berkisar bersama illahnya.
ما ثبت بزمان يحكم ببقائه ما لم يقم الدليل على خلافه
Apa yang ditetapkan berdasarkan masa atau semasa dihukum dengan kekalnya begitu selagi tiada dalil menyalahinya.
الأحكام المترتبة على العوائد وتتغيرعندتغيرها
Hukum yang disusun atas dasar kepentingan dan keperluan mengikut keperluan itu dan ia berubah apabila berubahnya keperluan….
 

Isnin, 22 Oktober 2012

Jenayah

Nur Ashida binti Abu Hanipah lwn. Ketua Pendawa Syarie Selangor JH 27 BHG. I (1430h) 27,

Perayu telah disabitkan dgn kesalahan di bwh sek. 26 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Selangor) 1995 iaitu melakukan apa-apa perbuatan sebagai persediaan untuk melakukan persetubuhan luar nikah berdasarkan ikrar pengakuan salah diri sendiri. Perayu telah dijatuhkan hukuman dgn denda sebanyak RM2500 & penjara 5 hari. Dan sekiranya gagal membayar denda, dipenjara 7 hari. Perayu merayu dgn hukuman yg dijatuhkan krn ia merupakan kesalahan pertama.

Dalam rayuan kes ini, semasa tuduhan dibacakan terhadap Perayu (tertuduh) telah memenuhi kehendak Hukum Syarak dan peruntukkan Sek. 17, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003. Oleh itu, YA Hakim Bicara tlh berpuas hati & menerima ikrar Perayu yg dibuat secara sukarela di hadapan Mahkamah. Hakim Mahkamah Rayuan berpendapat perlu memberi pertimbangan terhadap:-

a) atas keinsafannya membuat pengakuan bersalah.

b) telah melakukan taubat & tak akan melakukan lg perbuatan tersebut.

c) kemampuan melaksanakan perintah dan masa hadapan Perayu.

d) Perayu adalah kesalahan kali pertama.

Berdasarkan kpd keterangan-keterangan yg diberikan, perintah 5 hari penjara dibatalkan dan perintah denda RM2500 dipinda kpd RM3000.

Abdul Wahab lwn Timbalan Pendakwa, Mahkamah Syariah Selangor, [1982] 2 (ii) JH 281.
Pihak Perayu telah mengaku salah atas tuduhan berkhalwat & dihukum penjara 30 hari. Dia telah merayu ke Jawatan Kuasa Ulang Bicara.Diputuskan hukuman hendaklah dikurangkan kpd denda sebanyak RM300 @ penjara selama 1 bln. Di bwh sek. 157 (1) seseorang yg melakukan khalwat bg kesalahn pertama boleh dihukum dgn penjara selama tak lebih dr 2 bulan @ dgn denda tak melebihi RM200, dan bagi kesalahan yg kedua @ kesalahan yg seterusnya dgn penjara selama tidak lebih dr 3 bulan @ dgn denda tidak melebihi RM300.

Jawatan Kuasa Ulang Bicara mengulas, sungguhpun ini kesalahan kedua, kesalahan pertama tlh berlaku 3 tahun sblm kesalahan kedua. Sebagai seorang guru sekolah, perbuatannya sedikit sebanyak akan merosakkan nama baik guru-guru, khasnya & masyarakat Islam amnya.

Tetapi patut dipertimbangkan Perayu mengaku bersalah & tak boleh dianggap sebagai penjenayah yg tak mungkin bertaubat. Berdasarkan kpd keterangan-keterangan dlm kes ini, penjara 30 hari adalah keterlaluan & Perayu patut diberi peluang yg terakhir utk bertaubat. Oleh itu, hukuman penjara 30 hari dikurangkan kpd denda sebanyak RM3000 @ penjara selma 1 bulan.

Pengesahan Cerai

Haji Hanafiah lwn. Rokiah JH 2 (2) halaman 103,
Di dalam kes ini pihak suami telah menulis surat kepada tuan Imam meminta mendaftarkan cerai seperti yang terkandung di dalam suratnya. Cerai tersebut telah didaftarkan namun kemudiannya Perayu menyatakan dia tidak berniat bercerai. Kadi besar memutuskan talak telah jatuh dan mengesahkan pendaftaran itu. Perayu telah membuat rayuan. Rayuan memutuskan lafaz yang di lafazkan di dalam kes ini dengan cara menulis dan membaca tulisan dengan tidak niat maka talak itu tidak jatuh dan pendaftaran cerai hendaklah dibatalkan setelah Perayu bersumpah nafi mempunyai niat cerai. Jawatankuasa telah mengkaji nas yang dibentangkan oleh Kadi yang berbunyi-

"Sekiranya ia menulis lafaz talak sarih (jelas atau talak kinayah dengan tidak berniat melakukan talak, tulisannya itu tidak diambilkira selama mana ia tidak menyebut lafaz talak yang ditulis secara jelas pada masa ia menulis atau selepasnya. Dakwaannya: saya tidak bermaksud membaca apa yang ditulis akan tetapi saya tidak bermaksud melakukan talak, dakwaannya diterima kerana ada kemungkinan sedemikian.” [Zainuddin Abdul Aziz Fathu Al-Muin, juz 4, ms 16.]

Dan daripada nas yang berbunyi-
Ringkasan bahawa menyebut sesuatu yang ditulis tanpa berniat berlaku talak, kiranya lafaz yang disebutnya itu jelas. Sebaliknya jika lafaz yang disebut itu tidak jelas ianya hendaklah disertai dengan niat. [al-Bakri I’anah al-Talibin, Juz 4, ms 17]

Jawatankuasa menghalusi nas tersebut dengan merujuk-
Dan sekiranya seseorang itu berlafaz mengikut apa yang ditulisnya dikira berlaku, kecuali ia bermaksud membaca apa yang ditulisnya maksudnya itu diterima mengikut pendapat yang terkuat.” Nas ini menerangkan bahawa berlafaz seseorang dengan lafaz yang ia menulis itu menjatuhkan talak melainkan ia berkasad membaca apa yang ditulis olehnya maka tidak jatuh talak.

Mustafa Bin Batcha lwn A. Habeeba JH 7 (2) halaman 255,
Di dalam kes ini, Yang Arif telah memutuskan jatuh talaq tiga apabila suami telah berikrar melafazkan saya ceraikan engkau, saya ceraikan engkau saya cerai engkau” kepada isterinya,. YA tidak memanggil saksi yang ada dantidak selidik tuntutan suami bahawa apabila ia melafazkan talaq tidak betul fikirannya dan ia kena sihir. Diputuskan, kes dibicarakan semula, oleh kerana kes belum didengar dan dibicarakan sewajarnya kerana saksi tidak dipanggil untuk memberi keterangan, pendapat “ra’yu al-khabir tidak diminta samada sihir digunakan tidak disebutkan, iqrar yang digunakan asas hukuman tidak mutlaq dan latar belakang, suasana dan keadaan kes yang diiqrarkan tidak dibincangkan oleh mahkamah.

Jawatankuasa Rayuan berpendapat bahawa YA sebelum memutuskan kes tersebut hendaklah memanggil saksi untuk memberi keterangan agar semua pihak berpuas hati. Seperti yang telah diarahkan oleh Khalifah Omar, di dalam suratnya kepada Abu Musa al-Asyari, di antara lain beliau berkata: Sesungguhnya kehakiman itu adalah satu kewajipan mutlaq dan sunnah yang diikut. Fahamilah sesuatu perkara (kes) itu terlebih dahulu apabila ianya dihadapkan kepada kamu. [Abu Hasan Al-Mawardi, al-Ahkam Sultaniyyah, Matbaah Mustafa al-Babi al-Halabi, Kahera, 1966, hal 71]

Berdasarkan rekod perbicaraan, YA telah memutuskan berdasarkan iqrar yang dibuat Perayu. Walaupun iqrar merupakan salah satu cara pembuktian yang terkuat dalam hukum syarak tetapi sebelum iqrar tersebut diterima ianya hendaklah dipastikan dilakukan oleh orang yang berakal, sedar, tanpa ugutan, desakan, dan paksaan, bersungguh-sungguh, dan tiada tohmah ugutan, desakan dan paksaan, bersungguh-sungguh dan tiada tohmah dalam perkara yang diiqrarkan.

Mahmasani menyatakan bahawa iqrar hendaklah dilakukan secara mutlaq tanpa syarat, ikatan atau kait mengait dengan perkara lain. Jika ianya dikaitkan dengan perkara lain dan tidak mutlaq sebahagian ulama’ berpendapat iqrar tersebut tidak sah. [Subhi Mahmasani. Falsafal al-Tasyrie’ Fi al-Islam, Dar al-Kasyaf, Beirut. Th: 1952, hal. 233]

Berdasarkan kes ini ternyata iqrar yang dibuat Perayu mengenai talaq itu tidaklah mutlaq tetapi berkaitan dengan keadaannya yang kena sihir semasa ia menjatuhkan talaq. Lebih jauh dari itu, sesuatu iqrar yang dilakukan bagi mensabitkan sesuatu kes hendaklah diselidiki, keadaan, suasana dan latar belakangnya, sebelum iqrar tersebut diterima dan disabitkan.

Zainab Bt Mahmood lwn Abd. Latif Jusoh JH 8 (2) 297,
Responden telah memohon mensabitkan perceraian ke atas isterinya Perayu atas alasan ia telah melafazkan cerai di hadapan isterinya dan di saksi oleh seorang Pegawai Unit Perunding dan Pembangunan Keluarga, JAWI. Perayu mempertikaikan lafaz tersebut dan tidak bersetuju dengan perceraian. Pegawai tersebut tidak dipanggil sebagai saksi. YA telah memutuskan jatuh talaq dan meluluskan permohonan. Perayu membuat rayuan. Diputuskan, rayuan Perayu diterima.

"Surat ini dicop dengan "salinan disahkan betul" oleh Pengarah Jabatan Agama Islam W. Persekutuan. Dari segi undang-undang, pengesahan itu hanya bertujuan untuk membolehkan salinan surat yang asal dijadikan barang bukti sewaktu perbicaraan di mahkamah. "Salinan Disahkan Betul" hanya membuktikan bahawa surat asal ada di dalam milikan dan jagaan Pengarah Jabatan Agama Islam W. Persekutuan. "

Tetapi ia tidak sekali kali boleh dianggap atau digunakan sebagai bukti pengesahan dari pihak pengarah, bahawa kandungan surat itu adalah benar. Kebenaran kandungan surat itu mestilah dibuktikan dengan cara biasa, iaitu dengan memanggil saksi, sekiranya ada.Di dalam kes ini kebenaran kandungan surat ini tidak boleh disahkan oleh penulis surat itu sendiri tetapi hanya boleh disahkan oleh pihak ketiga iaitu Puan Safiah yang dikatakan oleh Responden sebagai saki untuk menentukan kebenaran episaod yang berlaku 20hb Julai 1988. Oleh yang demikian, YA Hakim tersilap dari sudut undang-undang keterangan dengan menerima surat tersebut sebagai pengakuan bertulis dan menyokong kebenaran cerita Responden mengenai lafaz cerai pada 10 Julai 1988."

Mohamed B Mohd Ali lwn Roslina Bt Mohd Yusof JH 8 (2) 275,
Perayu telah berkata kepada isterinya “Saya rela ceraikan engkau” yang diulang-ulang hingga tiga kali. YA telah mensabitkan jatuhnya talaq tiga atas isteri itu. Perayu membuat rayuan. Diputuskan, perkataan yang digunakan oleh suami dalam kes ini adalah kinayah kepada talaq yang memerlukan niat. Perayu telah menjelaskan yang ianya tidak berniat mentalaqkan isterinya. Oleh kerana itu tidak dapat talak tiga di antara mereka dan perkahwinan mereka tetap sah.

Umumnya talaq terbahagi kepada dua, pertama talaq secara sarih seperti suami berkata “Aku talaq akan dikau” atau “engkau taliq” bererti engkau tertalak. Kedua, kinayah iaitu lafaz yang member erti talaq dan juga selain talaq. Jika sarih tidak memerlukan niat dan kinayah pula memerlukan niat. Jika digunakan perkataan “firaq” bererti berpisah atau bercerai dan sirah bererti lepaskan atau bebaskan, terdapat dua pendapat dalam mazhab syafie, pendapat yang masyhur menyatakan sarih, pendapat kedua menyatakan kinayah. Di dalam kes ini, ternyata Perayu telah menggunakan perkataan “cerai” dan bukan talaq. Menurut pendapat kedua Mazhab Syafie ianya memerlukan niat kerana ianya kinayah dan bukan sarih. [Lihat Muhammad Syarbini al-Khatib, Mughni Muhtaj, Maktabah Mustafa Al-Halabi, Mesir, 1958, jld 3, hal 279-280]

Di dalam penggunaan Bahasa Melayu biasa, cerai tidak semestinya bererti talaq adakalanya bererti berpisah seperti cerai mati, cerai kasih, bercerai berai dan seterusnya. Ini bermakna jika seseorang suami berkata saya setuju agar kita bercerai, tidak semestinya bererti talaq dan demikian juga jika ia berkata “aku rela ceraikan engkau” adakah bermakna “talaq” secara mutlaq atau cerai dalam ertikata yang luas mengikut kegunaan Bahasa Melayu. Untuk lebih yakin dan sesuai dengan kehendak Bahasa Melayu “cerai” tidaklah bermakna “talaq” secara mutlak yang demikian ianya adalah kinayah kepada “talaq” yang memerlukan niat. Ini sesuai dengan pendapat kedua Mazhab Syafie. Ini akan lebih jelas jika kita merujuk Kamus Dewan.

Di dalam Kamus Dewan, DBP, KPM 1970 di halaman 183 dijelaskan: “Cerai” bererti pisah, sudah putus perhubungan. Bercerai bererti tidak bersatu, tidak berkumpul, tidak bersama lagi, berpisah, berpecah, “malam ini kita berkampung, malam esok kita bercerai”. Menceraikan bererti-

1. Menjadikan tidak bercantum, bersatu dan berhubungan lagi seperti kata-kata “Jiwa paman akan beta ceraikan dengan badan paman”, meleraikan orang bergaduh bererti menceraikan mereka.

2. Memutuskan perhubungan sebagai suami isteri, menjatuhkan talaq.

3. Memberhentikan seperti menceraikan anak dari menyusu, menyapeh, menyarak.

Demikian makna perkataan cerai dalam laras bahasa Melayu, ianya tidak bermakna talaq semata-mata. Yang demikian itu, jika seseorang suami menceraikan isterinya dengan berkata “kita lebih baik bercerai, maka dengan itu bercerailah kita” atau aku rela menceraikan engkau tidak semestinya bererti talaq, mungkin berpisah, berputus seperti yang dijelaskan di dalam Kamus Dewan.

Menurut laras bahasa Melayu jika seseorang berkata “aku rela membenarkan kau pergi”, ini dilakukan setelah ada permintaan terhadap kerelaan tersebut. “Aku rela melepaskannya” bererti setelah ada desakan atau permintaan untuk dilepaskan. “Aku rela memberikan harta ini kepadanya”, kerelaan diberikan setelah ada permintaan atau desakan. Tidak menjadi kebiasaan bagi orang Melayu menggunakan perkataan “rela” tanpa adanya permintaan, desakan atau tekanan. Menurut Kamus Dewan, DBP, KPM 1970, hal 947, rela bererti:
1. Dengan hati yang ikhlas seperti menerima dengan rela hati.

2. Izin, persetujuan, perkenan, seperti anakanda dating kerana hendak meminta rela ayahanda dan bonda.

Di dalam kes ini, ternyata Perayu rela menceraikan isterinya atas andaian jika isterinya telah benci kepadanya, ingin meminta izin, persetujuan dan perkenan cerai dari suaminya. Setelah Mahkamah mendengar keterangan Perayu dan Responden, andaian Perayu yang isterinya benci kepadanya tidak timbul, malahan langsung tidak wujud, yang demikian perceraian di antara Perayu dan Responden tidak boleh berlaku kerana andaian Perayu mengenai sikap Responden ternyata salah, Responden juga tidak pernah meminta izin, persetujuan atau perkenan cerai dari Perayu.

Rosmina Binti Masran dan Mohamad Abdullah bin Ali JH 25 BHG. 2 (1429H) 299,

Perayu 2 adalah suami kpd Perayu 1. Perayu 1 mengemukakan permohonan pengesahan talak di luar Mahkamah yg dilafazkan oleh Perayu 2 (suami) pada 1/9/2005. Lafaz yg didakwa dilafazkan Perayu 2 adalah:-

“aku cerei kau talak satu, aku cerei kau talak satu, aku cerei kau talak satu”

Perayu 2 mengakui telah melafazkan kata-kata sprt di atas tanpa ada perubahan pada lafaznya. Hakim bicara mentafsirkan perkataan lafaz tersebut sbg lafaz sarih. Pihak-pihak tak mempertikaikan tentang ianya sarih. Maka pihak-pihak mengakui jatuh talak dgn lafaz tersebut, yg mana Hakim Bicara mengesahkan lafaz tersebut sebagai jatuh talak dan lafaz kedua & ketiga adalah utk menguatkan lafaz talak pertama setelah mengkaji & meneliti pandangan imam-imam dan sumpah syar’ie Perayu 2 yg mengatakan niatnya ialah satu talak shj di mana lafaz kedua & ketiga utk menguatkan lafaz pertama.

Noriyya lwn Abdul Manaf JLD XI BHG 1 JH 9 (1418H) 29,
Defendan (suami) mengaku bahawa beliau melafazkan talak kpd Plaintif dengan lafaz “aku cerai mu”. Maka, Mahkamah memutuskan bahawa sabit berlaku perceraian dgn talak satu.

Ahad, 21 Oktober 2012

Perceraian Atas Alasan Keluar Islam

Permohonan Ex-Parte Zaimas Bt Ibrahim JH 10 (2) 204

Dalam kes ini, Pemohon telah memohon mengesahkan perceraian dengan suaminya yang telah menceraikannya di luar Mahkamah. Oleh kerana suaminya sukar dating ke Mahkamah, Pemohon telah dinasihatkan memohon perceraian secara ta’liq. Apabila kes di bawa ke Mahkamah, Mahkamah berpendapat oleh kerana ada bukti terbaru adalah munasabah permohonan untuk menentukan perceraiannya diteruskan. Ada bukti menunjukkan suami itu telah diisytiharkan murtad oleh Kadi Daerah Johor Bahru. Diputuskan, Oleh kerana Mahkamah berpuashati bahawa suami Pemohon, Mohamed Tham telah murtad, mahkamah membubarkan perkahwinannya dengan Pemohon mengikut Seksyen 43 (1) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985.

Hakim Bicara menyatakan berdasarkan keterangan lisan, ikrar dan keterangan dokumentar, Mahkamah berpuashati bahawa Muhammad Tham bin Abdullah, K/P 5050868 telah keluar daripada agama Islam, murtad pada 27 Disember 1993. Kadi Daerah Johor Bharu, Haji Amir bin Danuri mengisytiharkan murtadnya Muhamed Tham bin Abdullah. Perisytiharan itu dikuatkan pula dengan pengakuan Berkanun Muhamed Tham bin Abdullah bertarikh 27 Disember 1993 di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Johor Bharu. Bahagian Penyelarasan, Pindaan Butiran, Perancangan dan Latihan, Ibu Pejabat, Jabatan Pendaftaran Negara melalui suratnya bertarikh 13 April 1994 membuat pengakuan telah menukar nama Muhamed Tham Bin Abdullah kepada nama Tham Eng Cheng. Pada 9 November 1994, Tham Eng Cheng telah mengaku dan berikrar di hadapan Pembantu Pendaftar MRS Kuala Trengganu Mohd Nasir Bin Abd Manaf, bahawa beliau telah keluar dari Islam.

Di dalam Kitab Idarat at-Talibin, Juz 4, hal 132 ada disebut: Dikira murtad berlaku melalui I’tiqad, perbuatan dan juga tuturkata.Menurut undang-undang, Hakim Syar’ie sahaja diberi kuasa memutus seseorang yang menganut Islam telah murtad, syirik dan kafir. Seksyen 205 (2) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 memperuntukkan:

Tidak boleh sesiapa, kecuali Hakim Syar’ie memutus seseorang yang menganut Islam sebagai murtad, syirik atau kafir.

Di dalam kes ini, Tham Eng Cheng telah diisytiharkan murtas oleh Kadi daerah Johor Bharu, oleh itu Mahkamah mengiktiraf perisytiharan itu.



Khulu' dan Li'an

Khulu’

Talib lwn Che Sepiah JH 1 (1) halaman 84,
Plaintif telah menuntut cerai cerai dari suaminya. Oleh kerana Defendan tidak bersetuju cerai walaupun dengan tebus talak, Mahkamah memerintahkan kes ini diselesaikan dengan cara hakam. Kedua-dua pihak telah melantik hakam akan tetapi hakam tidak berjaya menyelesaikan perkara itu kerana hakam pihak kena tuntut tidak setuju cerai walaupun dengan tebus talak. Kadi telah melantik hakam bagi Defendan di bawah Seksyen 74 (4) undang-undang 1/66. Kemudiannya telah merayu kepada Jemaah Pengadilan. Rayuan Perayu ditolak dan hukuman Mahkamah dikukuhkan.

 
Li’an

Haji Ghazali lwn Asmah JH 1 (1) 80,
Di dalam kes rayuan ini, Responden telah bernikah dengan Perayu pada 07 November 1974 dan telah dicerai pada 11 Ogos 1975. Hakim telah menghukumkan Perayu menanggung nafkah anak, nafkah hamil dan perbelanjaan bersalin. Dalam rayuannya, Perayu menafikan anak itu anak sahtaraf kepadanya. Y.A Hakim Rayuan menyatakan:

1. ”Tiadak ada keterangan diberi boleh diterima oleh Mahkamah ini mengesahkan Asmah binti Adam ada mengandung pada 30.10.1974 iaitu sebelum berkahwin dengan Perayu pada 17.11.1974. Keterangan yang diberi oleh Dr. Mehra di kandungan 15 bukan mengesahkan Responden mengandung pada 30.10.1974 tetapi menerangkan bahawa Responden datang haid yang terakhir pada 30.10.1974 waktu Dr. Mehra memeriksanya itu iaitu sebelum bernikah dengan Perayu pada 17.11.1974. Pentafsiran itu disahkan oleh seorang Doktor Pakar Perbidanan iaitu Datuk Dr. Abdullah Ahmad.

2. Tidak ada bukti yang dapat diterima yang membuktikan Perayu ada membuat hubungan jenis dengan lelaki lain sebelum ianya bernikah dengan Perayu pada 17.11.1974 dan Responden hamil.

3. Tidak dapat dinafikan bahawa pernikahan Perayu dan Responden adalah sah.

4. Ada keterangan yang boleh diterima yang membuktikan bahawa Perayu dan Responden bercampur sebagai suami isteri dari satu masa ke satu masa, daripada satu rumah ke satu rumah dan dari satu hotel ke satu hotel selepas mereka berkahwin.

5. Tiada keterangan lain yang munasabah membuktikan bahawa anak yang dilahirkan oleh Responden itu hasil daripada hubungan jenis Responden dengan lelaki lain yang dilakukan sebelum berkahwin dengan Perayu bahkan Mahkamah ini berpendapat anak ini dilahirkan hasil perkahwinan mereka berdua di sebabkan anak itu lahir dalam masa tidak kurang daripada 6 bulan 2 lahzah dan tidak lebih dari masa 4 tahun mengikut perundangan Islam yang mana menjadi panduan Jawatankuasa Ulangbicara Mahkamah Syariah Negeri Sembilan.
6. Penafian anak telah tidak dibuat, dan dibuktikan di Mahkamah Kadi oleh Perayu sebelum ianya bercerai dengan Responden dan hanya dikemukakan setelah tuntutan dibuat oleg Responden dan ini menjadikan haknya itu gugur dengan sendiri kerana kelewatan. Di dalam Kitab Fathul Muin Juzu’ 4 halaman 152 yang bererti: ”Wajiblah atas si suami menafikan anak dalam kandungan isterinya itu jika ia yakin bahawa anak itu bukan anaknya dengan bersegera di hadapan Kadi dan jika ia melengahkanmembuat penafian dengan tiada apa-apa sebab maka gugurlah haknya untuk membuat penafian dan anaka adalah anaknya.”

7. Mengikut hukum Islam, anak yang dilahirkan sesudah perkahwinan adalah anak yang dilahirkan di dalam perkahwinan. Sabda Rasulullah s.a.w.: ”Anak adalah bagi hamparan (isteri) yang sah”.
8. Hamil hanya sekali sahaja mengikut ilmu sains dan benih itu menjadi anak dalam tempoh 1 hingga 44 hari.

Takliq

Fakhariah bt Lokman lwn Johari bin Zakariah JH 9 (1) 69,
Plaintif mendakwa Defendan telah tidak memberi nafkah kepadanya selama lebih empat bulan dan Plaintif menuntut cerai ta’liq Defendan mengaku bahawa ia tidak memberi nafkah akan tetapi mengatakan ianya tidak wajib memberi nafkah itu kerana isterinya telah keluar dari rumahnya dan ada pergi belajar tanpa izin di Amerika.

Menurut Mahkamah Ulangbicara Selangor apa yang dilafazkan oleh suami di AAdalam ta’liqnya adalah satu perjanjian yang jelas dan bersyarat. Tidak disebutkan apa-apa syarat bahawa isteri itu berhak mendapat nafkah jika isteri tidak nusyuz. Ta’liq itu dilafazkan oleh suami dan jika ada apa-apa keraguan mengenai kandungannya ta’liq itu hendaklah ditafsirkan berlawanan dengan suami dan berpihak kepada isteri. Atas alasan itu isteri dalam kes tersebut berhak mendapatkan cerai ta’liq itu disabitkan. Selain itu, Pengerusi Mahkamah Ulangbicara juga berpendapat di dalam kes ini Defendan tidak pernah memohon perintah Mahkamah bahawa isterinya Plaintif telah nusyuz. Di atas alasan itu juga Plaintif berhak mendapatkan cerai ta’liknya disabitkan.

Hasnah lwn Borhan Al-Din JH 6 (1) 124,
Plaintif telah memohon kepada Mahkamah untuk mengesahkan lafaz ta’lik yang dilafazkan oleh defenda selepas akadnikah mereka. Defendan telah meninggalkan Plaintif dan tidak memberi nafkah kepada Plaintif. Sepanjang perbicaraan, Defendan tidak hadir. Tuntutan Plaintif dibenarkan selepas Mahkamah mendengar keterangan dua (2) orang saksi Plaintif, berserta sumpah Istidzhar dan Plaintif menyerahkan RM 1 kepada Mahkamah. Plaintif dan Defendan berkahwin pada 1982 berwalikan bapa Plaintif. Lepas bernikah Plaintif dan Defendan tinggal di rumah bapa Plaintif di Kg. Kebakat, Wakaf Bharu, Kelantan. Hakim bicara menyatakan –

"Tugas saya sekarang menentukan isu tersebut dan membuat keputusan. Isu pertama telah dijelaskan dengan sendirinya apabila Plaintif memberi kenyataan dan kemudiannya disokong oleh dua (2) orang saksi iaitu Yaacob Mat Salleh dan Yusuf Bin Awang yang kedua-duanya hadir di majlis perkahwinan Plaintif dan defendan di rumah bapa Plaintif dan kedua-duanya mendengar Defendan ada melafazkan ta’lik di hadapan imam tua mukim Murat selepas akad nikah dijalankan dan Mahkamah terima keterangan kedua-dua saksi.
Sighah ta’lik telah dikemukakan dalam Mahkamah yang berbunyi –

Adalah saya Borhan al-Din bin Mohamad zain Kg. Bercaya, Alor Setar, kedah dengan ini bertaklik iaitu manakala saya tinggalkan isteri saya Hasnah bt Mat Musa selama 4 bulan atau lebih dengan sengaja atau paksa atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama masa yang tersebut padahal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya atau kehormatannya atau harta bendanya kemudian ia mengadu kepada kadi dan manakala sabit aduannya di sisi kadi atau jemaah pengadilan dan ia memberi kepada kadi bagi pihak saya sebanyak $1 maka ketika itu tertalaklah dengan talak khul’i’

Sighah ta’lik ini telah ditandatngani dan cop pendaftar nikah cerai mukim Murat, Tumpat dan ditandatangani sendiri oleh Defendan dan Mahkamah memberi pengiktirafan kehakiman mengikut undang-undang keterangan.

Kenyataan Plaintif dan 2 saksi telah mencukupi bagi saya untuk membuat keputusan akan tetapi bukanlah semudah itu. Pada pandangan saya Defendan bukan sahaja melanggar salah satu syarat ta’lik yang boleh disabitkan mua’lak alaih tetapi lebih dari itu.

Adiba Yasmi lwn Abd Rani JH 7 (1) halaman 44,
Plaintif memohon kepada Mahkamah untuk mengesahkan cerai taklik atas alasan Defendan telan balun pukul Plaintif. Keterangan yang diberikan tidak memuaskan dan Defendan diminta bersumpa menafikan dan tuntutan ditolak.Lafaz taalik berbunyi-

"Saya tidak boleh balun pukul atau menyeksa atau menyakiti isteri saya ..... dengan apa cara sekalipun yang melampaui hukum syarak atau adat. Apabila saya melakukan apa-apa perkara tersebut di atas dan mengadu ia kepada Kadi dan apabila sabit pengaduan itu pada sisi Kadi maka tertalaklah isteri saya.”

Pada 20.08.1986 jam lebih kurang 11.00 malam, Plaintif menyatakan bahawa Defendan telah menampar mukanya dua kali dan kepalanya sekali di rumah mereka, Selepas menampar Defendan mencekik Plaintif kena pada halqum dan Defendan menindih Plaintif sehingga rasa sakit. Plaintif telah mengemukakan surat doktor (PPAT/2325/8/860 yang menyatakan bahawa semasa pemeriksaan, Plaintif didapati kurang bertenaga dan kelihatan pucat. Sakit pada bahagian leher kiri dan kanan. Pesakit tidak dapat menoleh sepenuhnya kiri dan kanan. Tidak dapat tanda-tanda lebam yang dilihar dikulit luar. Pernafasan normal. Xray dada dan leher pada 26.08.1986. No. 8174. Tiadak ada kesan-kesan luar biasa. Peaskit mengalami tekanan jiwa sementara akibat dari rangsangan terhadap tisu lembut badan yang mengalami keadaan luka. Plaintif telah mengemukakan seorang saksi manakala Defendan mengemukakan tiga orang saksi namun demikian Defendan tidak menafikan wujudnya pukulan pada malam itu. Defendan menafikan ada memukul Plaintif sebaliknya menampar muka dan mencekik lehernya sendiri.

Hakim berpendapat keterangan kedua-dua pihak dan saksi masing-masing bercanggah di antara mereka dan Mahkamah perlu menilai berasaskan kepada kekuatan kesaksian. Mengikut hukum syarak, Plaintif harus kemukakan dua orang saksi lelaki atau seorang lelaki beserta dua orang perempuan namun Plaintif hanya kemuka seorang saksi Perempuan. Keterang Plaintif adalah lemah dan begitu juga dalihan Defendan tidak terbukti oleh kerana keterangan saksi perempuan pertama tidak berkaitan dan saksi kedua dan ketiga bercanggah antara satu sama lain.

Sabtu, 13 Oktober 2012

Fasakh Ghaib dan Nafkah

Fasakh tak beri Nafkah

Siti Rohani Bt Mohd Yusof lwn Md. Sazali JH 9 (2) halaman 230,
Plaintif telah merayu keputusan Hakim MRS kerana tidak meluluskan tuntutannya. Perayu menuntut fasakh atas alasan Defendan telah tidak memberi nafkah untuk tempoh lebih tiga bulan. Yang Arif Hakim MRS berpendapat fakta kes itu bahawa suaminya telah tidak membayar nafkah kepada isterinya untuk masa lebih tiga bulan dan isteri tidak pernah disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah. Bagaimanapun Yang Arif Hakim berpendapat bahawa mengikut mazhab shafie adalah perlu dibuktikan bahawa suami tidak berupaya memberi nafkah. Oleh kerana itu, beliau menangguhkan kes itu sebulan untuk membolehkan suami membayar satu bulan nafkah kepada isterinya. Suamiitu telah membayar RM 200.00 sebagai nafkah dan Yang Arif Hakim kemudiannya menolak tuntutan isteri kerana berpendapat suami berupaya memberi nafkah.

Rayuan dibenarkan berdasarkan pandangan minoriti Mazhab Syafie dan Mazhab Maliki bersesuaian dengan peruntukan Seksyen 52 (1) (b) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984. Keputusan Hakim MRS diubah dan dibatalkan.
 
Tafsiran Nafkah

Roslan Binti Abd. Ghani Lawan Zulkifli JH 6 (2) 338
Hakim Bicara dalam kes ini, Yang Arif Tuan Hakim Abu Bakar Bin Ahmad yang kini merupakan Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Malaysia telah menjelaskan dengan panjang lebar berkaitan Pengertian Nafkah tersebut. Menurutnya dalam kes tersebut:-

“Nafkah adalah segala yang dibelanjakan kata nafkah hanya dipergunakan untuk kebajikan, sebab-sebab wajib nafkah ada tiga perkara iaitu disebabkan nikah, qarabah dan milik. Hak isteri dari suaminya itu ada tujuh iaitu 1) makan 2) lauk-pauk 3) pakaian 4) kebersihan 5) tempat tinggal 6) perkakas rumah tempat tinggal 7) khadam jika biasa berkhadam. Kesimpulannya adalah wajib suami memberi nafkah kepada isteri atau di dalam tanggungannya sepertimana di dalam syarah Kitab Raudh al-Thalib Juzuk 3, Bahagian an-Nafkah muka surat 426.”
 
Joan Mary Sulaiman lwn Sulaiman Haji Musa JH 10 (1) Halam 99,
Plaintif memohon fasakh dari suaminya dengan alasan antaranya gagal memperuntukkan nafkah bulanan sebanyak RM 1,000.00 sebulan yang telah diberhentikan oleh Defendan dan juga tidak adil berpoligami. Plaintif telah memohon Defendan menyediakan rumah kelamin berasingan dengan isteri barunya setelah setahun berkahwin dan jika gagal, Plaintif tidak mahu pergi ke rumah isteri barunya sebagaimana biasa.
 
Tindakan suami memberhentikan nafkah sebanyak RM 1,000.00 sebulan adalah bertentangan dengan kehendak hukum syarak - ”Hendaklah kamu bergaul dengan isteri-isteri dengan secara baik dengan kehendak bilmakruf iaitu termasuk memberi nafkah kepada isterinya sesuai dengan keadaan suaminya.” Tindakan YKT memberhentikan nafkah sebanyak tersebut adalah satu hukuman ke atas isterinya dengan alasan isterinya menyalahgunakan peruntukan yang diberi . Tindakan ini adalah bertentangan dengan kehendak hukum syarak. Suami adalah pemegang amanah yang diwajibkan Allah ke atasnya dengan sebab akadnikah untuk mengurus, mengawal isteri mengikut batasan yang ditetapkan Allah. Jika isteri melakukan perkara yang bertentangan dengan kehendak suami atau melampaui batas Allah maka wajib suami dengan seberapa segera mengambil tindakan berikut-
1.      Memberi nasihat-nasihat yang baik. Jika ini tidak berkesan, langkah kedua.
2.      Dengan meninggalkan tempat tidur tetapi jangan meninggalkan rumah, masih di tempat kediaman. Langkah ketiga.
3.      Memukul yang tidak mencederakan dengan tujuan memberi pengajaran jika tidak memberi pengajaran boleh melakukan atau menghukum nusyuz dengan tidak memberi nafkah jika tidak berhasil juga boleh dengan secara hakam jika sekiranya kedua pasangan ingin berdamai dan jika telah salah seorang tidak mahu lagi meneruskan kelangsungan boleh diselesaikan dengan secara fasakh. Firman Allah dalam surah an-Nisa ayat 34.
Alasan Tak beri Nafkah kerana Nusyuz

Kes Fakhariah Lokman lawan Johari Zakaria yang mana Hakim Bicara kes ini menyebut bahawa kes nusyuz tidak boleh ditimbulkan semasa kes nafkah tanpa terlebih dahulu seseorang suami memohon perintah Mahkamah bahawa isterinya telah nusyuz. Di dalam kes tesebut, Yang Amat Arif Hakim Rayuan, Tan Sri Mohamed Azmi telah menyebut:-
 
“Walaupun boleh dikatakan perlu diputuskan bahawa seorang isteri tidak nusyuz dan berhak mendapat nafkah, kami berpendapat dalam kes ini suami tidak pernah memohon perintah Mahkamah bahawa isterinya telah nusyuz. Keterangan yang diberi dalam kes ini menunjukkan isteri itu tidak lagi tinggal bersama suami selepas 25 November 1986, suami tidak membuat apa-apa aduan kepada Mahkamah bahawa isterinya nusyuz dan tidak mengambil langkah untuk mendapat perintah nusyuz dari Mahkamah. Kami berpendapat jika suami itu betul-betul ingin isterinya balik tinggal dengannya dia seharusnya berusaha supaya perkara itu dapat diselesaikan di luar atau di hadapan Mahkamah. Di dalam al-Quran, kita dapat banyak nasihat dan pedoman mengenai perkara ini. Umpamanya di dalam Surah Al-Baqarah (2) : 231 yang disebut maksudnya:-
 
“ ……. Bolehlah kamu pegang mereka dengan cara yang baik atau lepaskan mereka dengan cara yang baik. Dan janganlah kamu pegang mereka dengan maksud memberi mudharat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka; dan sesiapa yang melakukan demikian maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri.”
 
Efek Nusyuz

Selain itu, ia turut dinyatakan secara jelas Di dalam kes Norazian Binti Mohd Yusof lwn Khairul Azmi Bin Mohd Rasid Yang Amat Arif Hakim menyatakan -
 
“Mengikut undang-undang sesiapa mendakwa, beban pembuktian adalah terletak di atasnya, lihat seksyen 72 Enakmen Keterangan Syariah 1991 tetapi pihak Defendan tidak membawa saksi seperti dikehendaki oleh Syarak”
 
“Di dalam kes ini, Defendan telah menyatakan bahawa isterinya Plaintif adalah nusyuz kerana menggugurkan anak, keluar rumah tanpa izin dan dakwaan ini semua adalah merupakan dakwan yang diperlukan saksi yang mencukupi berbanding kepada Plaintif, oleh itu saksi penting di dalam kes ini ialah bapa/ibu kepada Defendan harus dipanggil, malahan doctor juga harus dipanggil.
 
Oleh kerana kes telahpun sampai ke tahap KEPUTUSAN, Mahkamah tiada pilihan lain selain menyatakan bahawa dakwaan ke atas Plaintif adalah DITOLAK dan dia (Plaintif) berhak mendapat nafkah eddah malahan tiada dibuktikan di mana juga Mahkamah bahawa Plaintif adalah nusyuz.
 
Hairun Binti Mohd Sharif lawan Omar Mohd Noor JH 8 (2) 293,
Yang Amat Arif Tan Sri Dato’ Haji Mohd Azmi menjelaskan bahawa berdasarkan qaul Imam Shafii’, yang memutuskan bahawa perkahwinan hanya boleh difasakhkan setelah dibicarakan dan diputuskan oleh Kadi atau Hakim Mahkamah, dan hak untuk fasakh tersebut sekiranya kerana papanya, adalah seperti berikut;
 
1. Tiada kuasa memberi belanja makan dan minum.

2. Tiada mampu memberi pakaian yang layak dan patut.

3. Tidak dapat mengadakan rumah tempat kediaman yang patut.

4. Tidak kuasa membayar maharnya yang tunai sebelum bersetubuh.
 
Maka, apabila cukup syarat-syarat fasakh, iaitu isteri tidak melakukan nusyuz dan si suami tidak mempunyai harta yang hadir (ada bersamanya), hendaklah Kadi atau Hakim itu memberi tempoh tiga hari. Kemudian selepas tiga hari serta malamnya tiada juga kuasa suami mengadakan sekecil-kecil nafkah (iaitu separuh nafkah yang biasa) maka barulah Kadi atau Hakim tersebut menfasakhkan nikah tersebut. Ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh al-Daruquthni dan al-Baihaqi, Sabda Rasulullah s.a.w.:
 
Ertinya: Telah bersabda Rasullullah s.a.w berkenaan seorang laki-laki yang tiada dapat memberi nafkah kepada isterinya hendaklah dipisahkan antara keduanya.
 
Kesan Nusyuz pada Nafkah Isteri
 
Hasanah Binti Abdullah lawan Ali Bin Muda (1999) JH (1420)H,
 Yang Arif Hakim berpendapat:

“Mengikut Hukum Syara’ seorang isteri yang ditalaq dengan talaq raj’ie tidak berhak kepadanya nafkah ‘iddah jika dianya melakukan nusyuz. Di dalam kitab Kifayatul Akhyar, juzuk 2, muka surat 82 diperuntukkan yang bererti –
 
“Jika seseorang menceraikan isterinya yang sedang nusyuz kepadanya, maka isteri tersebut tidak berhak mendapat tempat tinggal selama dalam ‘iddah kerana isterinya itu tidak berhak mendapat nafkah dan tempat tinggal menurut dasar pernikahan. “
 
Fasakh Suami Ghaib

Rafiah lwn Hassan JH 6 (1) halaman 112,
Plaintif memohon mahkamah memfasakhkan pernikahannya dengan Defendan di atas alasan Suami telah ghaib dan tiada sebarang nafkah diberikan. Perbicaraan dijalankan sebelah pihak setelah Saman disampaikan secara penyerahan ganti secara tampalan Papan Notis Pejabat Kadi seluruh Kelantan. Selepas berkahwin pada 1981, Plaintif dan defendan telah menetap di rumah ibu Plaintif yang mana semasa itu Defendan bekerja sebagai peniaga kain turun berniaga pagi dan balik sebelah petang. Pada 10.03.1987, Defendan pergi kerja seperti biasa tetapi tidak pulang semula ke rumah itu sehingga kes dibicarakan.

Tiada sebarang makluman dari Defendan dan pertanyaan oleh Plaintif sendiri serta tiada sebarang khabar berita dan Plaintif tidak mengetahui kampung Defendan di Pasir Mas ataupun Kg. Sirih, Kota Bharu. Defendan juga tidak meninggalkan sebarang harta yang boleh dijadikan nafkah. Mahkamah telah mensabitkan permohonan Pemohon antaranya berdasarkan pandangan kitab Bughyah Mustarsyidin iaitu -

”Sekiranya suami ghaib dan tidak diketahui samada dia seorang yang mampu atau tidak dan telah putus khabarnya, dengan kerana itu isterinya tidak dapat nafkah dan tidak ada hartanya dalam kawasan dua (2) marhalah dari tempat itu maka bagi isterinya boleh fasakh nikah dengan syaratnya sepertimana diputuskan dalam Nihayah dan lain-lain.”