Dalam
kes yang dirujuk, pihak suami dan isteri telah bertikai samada berlaku
persetubuhan atau tidak sebelum perceraian berlaku. Hakim perlu memutuskan
samada berlaku persetubuhan atau tidak kerana ini melibatkan kesan dan hak
selepas penceraian. Hak tersebut meliputi mahar, iddah, rujuk dan lain-lain
kesan yang lahir daripadanya. Kertas ini menyatakan rujukan berkaitan keputusan
tersebut.
Rujukan
pertama:
Kitab
Al-Ashbah Wannazair, Imam Jalaluddin Assayuti Jilid 1 ms 127 Darul Kutub
Ilmiah, Beirut 2001 (lampiran 1) dipetik:
قَاعِدَة : الْأَصْلُ الْعَدَمُ فِيهَا فُرُوعٌ
: مِنْهَا : الْقَوْلُ قَوْلُ نَافِي الْوَطْءِ غَالِبًا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ
الْعَدَمُ
“Kaedah: ‘Asal sesuatu adalah tidak wujud’ baginya beberapa
subtopik, antaranya: Dakwaan yang dipilih adalah tidak berlakunya persetubuhan,
dakwaan ini lebih kuat kerana ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’”.
Dalam
kitab rujukan ini, kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ adalah lebih
dominan dan banyak digunakan dalam masalah khilafiah untuk mazhab Shafie.
Kaedah diatas adalah rangkaian yang terbit dari kaedah utama ‘الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكّ’ atau ‘Keyakinan tidak digugat dengan perasaan syak’. Kaedah
kedua dari 5 kaedah utama yang digariskan oleh Imam Jalaluddin Assayuti.
Mendasari kaedah ini adalah sebuah Hadis dari Abi Hurairah berbunyi:
الْقَاعِدَةُ
الثَّانِيَةُ : الْيَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ وَدَلِيلُهَا قَوْلُهُ صلى الله
عليه وسلم { إذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ ,
أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ أَمْ لَا ؟ فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ الْمَسْجِد حَتَّى
يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا } رَوَاهُ مُسْلِمٌ مِنْ حَدِيثِ أَبِي
هُرَيْرَةَ
Daripada Abu Hurairah RA, Rasul SAW
bersabda“ Apabila terdapat sesuatu didalam perutmu maka diragui atasnya samada
telah keluar atau tidak (kentut). Maka tidak perlulah untuk keluar dari Masjid
(untuk memperbaharui wuduk) sehingga terdengar bunyi atau terbau satu bauan”
[Muslim]
Rujukan Kedua:
Dalam
kitab yang sama Jilid 2 ms 90 (lampiran 2):
الْقَاعِدَةُ التَّاسِعَةُ إذَا اخْتَلَفَ
الزَّوْجَانِ فِي الْوَطْءِ , فَالْقَوْلُ قَوْلُ نَافِيهِ . عَمَلًا بِأَصْلِ
الْعَدَمِ إلَّا فِي مَسَائِلَ : الْأُولَى : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ
الْإِصَابَةَ , فَالْقَوْلُ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ سَوَاءٌ كَانَ قَبْلَ الْمُدَّةِ
, أَوْ بَعْدَهَا , وَلَوْ كَانَ خَصِيًّا , وَمَقْطُوعَ بَعْضِ الذَّكَرِ , عَلَى
الصَّحِيحِ
“Kaedah kesembilan: apabila bertikai suami isteri tentang
persetubuhan, maka yang terkuat adalah dakwaan tidak berlakunya persetubuhan,
ini aplikasi kepada kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak wujud’ terkecuali pada
masalah berikut: apabila mendakwa seorang yang berpenyakit ‘unnah’, maka
dibenarkan dakwaan beliau disertai dengan sumpah samada sebelum berlalu satu
tempoh atau selepasnya, walaupun ‘khissian’ atau terpotong sebahagian zakarnya,
atas pendapat yang sahih”
Terdapat 6
masalah lain yang diberi pengecualian dalam kaedah ini, namun tidak ada satupun
yang bersangkutan dengan seorang isteri yang mendakwa berlaku persetubuhan dan
suami menafikan seperti kes yang dirujuk. Petikan ini diambil dari tajuk “الْكِتَابُ الرَّابِعُ فِي أَحْكَامٍ يَكْثُرُ دَوْرُهَا
وَيَقْبَحُ بِالْفَقِيهِ جَهْلُهَا”.
Rujukan ketiga:
Kitab
Al-Majmu’ Sharhu Al-Muhazzab lil As-Shairazi, Imam Abi Zakaria Yahya Sharfu An-Nawawi
Jilid 18 ms 66 Maktabah Al-Irsyad, Jeddah (lampiran 3) dipetik:
فصل: وان اختلفا فى ألوطء فادعته المرأة وانكر
الزوج فالقول قوله لان الأصل عدم الوطء
“Ceraian: Sekiranya bertikai pada berlakunya persetubuhan, maka
mendakwa perempuan berlaku persetubuhan, menafikan suaminya maka pernyataan
yang diambil adalah nyataan suami, kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”
Petikan ini
adalah dibawah bab pertikaian suami isteri didalam penentuan “As-Sadaq”
pemberian perkahwinan atau maskahwin. Diterangkan juga selanjutnya didalam
perenggan yang sama, apabila datang perempuan dengan seorang anak yang
dinasabkan kepada suaminya maka penentuan mahar ada dua pendapat, salah satunya
wajib suaminya membayar mahar, kerana diketemukan nasab dihukumkan kepada
wujudnya persetubuhan. Manakala pendapat kedua tidak wajib mahar kerana anak
yang diketemukan itu hasil dari pelbagai
kemungkinan dan mahar tidak wajib melainkan dengan persetubuhan maka asal
adalah tiada persetubuhan.
Hujah ini
adalah tepat dan kena dengan situasi kes yang dirujuk, kerana dakwaan oleh
isteri berlaku persetubuhan dan diingkari oleh suami, dan daripada ketiga-tiga
rujukan yang dibawa tiada satupun yang mensyaratkan sumpah untuk mensabitkan
tiada berlaku persetubuhan. Ini
membuktikan kekuatan kaedah ‘asal
sesuatu adalah tidak wujud’ yang dibawa oleh As-Sayuti adalah umum diterima
dalam mazhab Syafie.
Rujukan
keempat:
Di dalam Kitab
Hasyiatan Qailubi Waumairah Syarh Minhaj At-Talibin, Syihabudin Ahmad bin Ahmad
bin Salamah Alqalyubi dan Syihabudin Ahmad Al Barlisi Umairah, Darul Fikr dinyatakan:
وَإِذَا طَلَّقَ دُونَ ثَلَاثٍ , وَقَالَ :
وَطِئْت فَلِي رَجْعَةٌ , وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ )
أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا لِأَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ الْوَطْءِ
“Apabila berlaku talak selain dari talak tiga, suami mendakwa aku
telah mensetubuhi isteriku maka bagiku tempoh untuk rujuk, maka dinafikan oleh
isterinya berlaku persetubuhan, maka diterima penyataan isteri dengan
sumpahnya. Bahawa tidak berlaku persetubuhan ke atas isteri tersebut kerana
asal tiada berlaku persetubuhan.”
Nas ini
menyatakan apabila seorang suami mendakwa berlaku persetubuhan, manakala isteri
menafikannya, situasi yang berbeza dengan kes yang dirujuk, hukumannya adalah
tetap kepada tidak berlaku persetubuhan. Kaedah ‘asal sesuatu adalah tidak
wujud’ tetap digunakan tanpa mengira siapa yang mendakwa samada isteri atau
suami. Bezanya hanya pada pengambilan sumpah daripada pihak isteri beserta
keterangannya. Dalam nas dari kitab yang lain juga memberi erti yang sama
dipetik:
وَإِذَا طَلَّقَ ) الزَّوْجُ ( دُونَ ثَلَاثٍ
وَقَالَ وَطِئْت ) زَوْجَتِي قَبْلَ الطَّلَاقِ ( فَلِي ) عَلَيْهَا ( رَجْعَةٌ
وَأَنْكَرَتْ ) وَطْأَهُ قَبْلَ الطَّلَاقِ ( صُدِّقَتْ بِيَمِينٍ )
أَنَّهُ مَا وَطِئَهَا ; لِأَنَّ الْأَصْلَ
عَدَمُ الْوَطْءِ فَإِنْ قِيلَ : إذَا ادَّعَى الْعِنِّينُ أَوْ الْمَوْلَى
الْوَطْءَ , فَإِنَّ الْقَوْلَ قَوْلُهُ بِيَمِينِهِ مَعَ أَنَّ الْأَصْلَ عَدَمُ
الْوَطْءِ .
Oleh yang demikian,
Hakim telah membuat keputusan dengan betul apabila mensabitkan tidak wujud
iddah kepada pihak isteri apabila berlakunya penceraian akibat tidak berlaku
penyerahan atau persetubuhan selepas perkahwinan.
Pendapat
berlawanan
Namun terdapat
pendapat yang bertentangan, jika dilihat pada bahagian Fatwa Ibn Ziyad didalam
kitab Bughyatul Mustarsyidin fi Takhsis Fatawa Ba’da Al-Aimmah min Ulama’il
Mutaakhirin (lampiran 4). Dalam bab Rujuk
menyatakan:
“Masalah: Isteri berikrar berlakunya persetubuhan dan suami
menafikan, maka wajib ke atas isteri tersebut iddah, dan tidak gugur dakwaan
itu dengan pengakuan beliau (isteri) menipu kerana dia rujuk pengakuan
pertamanya sepertimana disebut dalam kitab Raudah. Walaubagaimanapun, sekiranya
isteri telah berikrar bahawa suami tidak bersetubuh dengannya dan dibenarkan
dakwaan isteri, kemudian sabit dengan keterangan yang baik dengan pengakuan
isteri berlaku persetubuhan sebelum ikrar pertama (tidak berlaku persetubuhan)
maka tetap diwajibkan iddah…”
Petikan kitab
Bughyah ini mewajibkan isteri mendapat iddah, seolah-olah dipakai keterangan
isteri tentang berlakunya persetubuhan, perlu diingat bahawa petikan ini
diambil dari bab rujuk dan tumpuan (syahid) diberikan kepada hak isteri untuk
mendapat iddah.
Begitu juga satu
pendapat yang sama dinukilkan dalam buku “Risalah Perkahwinan Bicara bab Nikah
Cerai Rujuk dan Iddah” yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah
disebut:
“Sabit bersetubuh:
1. Jika menjadi berbalahan diantara suami isteri dengan bersetubuh,
isteri berkata suaminya telah bersetubuh dengannya dan suaminya berkata ia
belum bersetubuh dengan isterinya maka kenalah isteri bersumpah dengan
bersetubuh maka dihukum telah bersetubuh.
2. Jika menjadi perbalahan diantara suami isteri dengan tiada bersetubuh
isteri berkata tiada bersetubuh dan suami berkata telah bersetubuh maka
dibenarkan perkataan isteri dengan tiada bersetubuh dan tiada berkehendak
kepada isteri bersumpah lagi.
3. Jika tiada menjadi perbalahan dibenarkan perkataan isteri dengan
tiada sumpahnya lagi.”
Petikan diatas
tidak dinyatakan pengambilannya, oleh yang demikian penyelidikan tidak dapat
dibuat ke atas pendapat kontra yang dinyatakan dalam perkara 1.
Penyelarasan
Merujuk kepada Kitab Al-Bayaan Fi Mazhab Al-Imam As-Shafie, Abi
Husain Yahya bin Abi Al-Khair Salim Al-Imraani, As-Shafie Al-Yamani. Jilid 9 ms
469-470 Darul Minhaj. (lampiran 5) diterjemahkan.
“Masalah : Mendakwa berlaku berdua-duaan (Al-Khalwat) dan
persetubuhan (Al-Asabah);
Jika mendakwa isteri: Bahawa suami telah berdua-duaan dengannya dan
menyetubuhinya, atau bersetubuh dengannya tanpa berdua-duaan, dan dinafikan
oleh suami.. maka kata-kata diambil dari suami dengan sumpahnya, kerana pada
asalnya tiada berlaku berdua-duaan dan persetubuhan.
Dan sekiranya suami membenarkan wujudnya berdua-duaan dan
penyerahan diri isteri kepadanya untuk berlaku persetubuhan tetapi tidak
berlaku persetubuhan. Dalam perkara ini jika kita mengatakan berdua-duaan
adalah sama seperti bersetubuh pada meletakkan kadar mahar musamma maka
wajiblah hak iddah.. Jika kita mengatakan berdua-duaan adalah bukan seperti
bersetubuh. Adakah diambil kata-kata suami atau kata-kata isteri? Padanya dua
pendapat.
1. Pendapat Qadeem: Diambil dakwaan
isteri kerana jelas bersamanya.
2. Pendapat Jadid: Diambil dakwaan suami, dan ini adalah pendapat
yang asah kerana asalnya tidak berlaku persetubuhan.”
Al-Bayan mensyarahkan
kitab Al Muhazzab secara lengkap dan perbandingan pendapat-pendapat lain dalam
mazhab, pengarang telah memecahkan persetubuhan kepada dua definisi, iaitu
berdua-duaan (Al-Khalwah) dan persetubuhan (Al-Asabah). Sekiranya berlaku berdua-duaan
(bersunyi-sunyian suami dan isteri dari pendangan orang lain dan memungkinkan
berlaku persetubuhan) ataupun tidak maka dakwaan suami tidak berlaku
persetubuhan adalah yang terkuat dan diambil kira. Ini mengambil kaedah ‘asal
sesuatu tidak ada’. Namun sekiranya berlaku berdua-duaan tetapi tidak berlaku
persetubuhan maka ada dua pendapat,
diambil dakwaan isteri samada isteri mendakwa berlaku persetubuhan atau
sebaliknya. Sekiranya isteri mendakwa berlaku persetubuhan maka wajiblah suami
untuk memberi nafkah iddah,
menyempurnakan mas kahwin, mempunyai hak untuk merujuk, dan hak-hak lain. Namun pendapat yang terkuat adalah tetap
kembali kepada suami yang mendakwa tidak berlakunya persetubuhan. Inilah yang
‘Asah’.
Rumusan…..
1. Dalam
dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami maka dakwaan suami
dibenarkan. Kerana asal sesuatu tidak ada.
2. Dalam
dakwaan isteri berlaku persetubuhan dan dinafikan oleh suami dalam tuntutan
iddah maka dihukumkan isteri dengan iddah. Sepertimana dalam kitab Bughyatul
Mustarshidin.
3. Sehingga
tiada nas lain yang boleh menggugat kaedah ‘asal sesuatu tidak ada’ dan
diaplikasikan terhadap kes ini maka, keputusan Hakim Bicara adalah tidak
menyalahi mana-mana peruntukan undang-undang dan hukum syarak.
1 ulasan:
Apa pandangan anda .?
Catat Ulasan