Isnin, 9 September 2013

Harta Sepencarian vs Harta Syarikat 2

Di dalam kes Norhayati binti Yusoff lwn. Ahmad Shah bin Ahmad Tabrani, JH 27 (1) hlm. 49-50 yang mana Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan menyatakan bahawa harta yang berbentuk syer atau harta yang berbentuk saham boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Mahkamah Rayuan Syariah Kelantan dalam penghakimannya menyatakan :

“Saham-saham Public Bank yang dimiliki oleh Respondan juga termasuk Harta sepencarian. Ini kerana saham-saham ini diperolehi oleh Respondan di dalam tempoh perkahwinannya dengan Perayu.”

Di dalam kes Wan Khairani Binti Wan Mahmood lwn. Ismail Bin Mohamad, Kes Mal No. 63/91 yang mana di putuskan harta syarikat tidak boleh diisytiharkan sebagai harta sepencarian sebagaimana berikut;

“Secara keseluruhan, Mahkamah mendapati, Defendan dan syarikat-syarikat yang ditubuhkan terutamanya syarikat Seri Alam Sdn. Bhd. adalah dua ‘entiti’ yang berbeza. Mahkamah menggunapakai prinsip asas undang-undang syarikat dan menolak untuk menggunakan budibicara Mahkamah. Asas utama kepada keputusan ini ialah Plaintif gagal meyakinkan Mahkamah bahawa wujud apa-apa fakta yang membolehkan Mahkamah menggunakan budibicaranya atau mana-mana pengecualian kepada prinsip asas doktrin pengasingan ‘entiti’ yang dibenarkan oleh undang-undang. Oleh yang demikian pemilik syarikat dan syarikat adalah berasingan. Maka harta syarikat adalah harta syarikat semata-mata. “

Keputusan Y.A Hakim Bicara tersebut telah ditolak oleh Panel Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur (Kes Mal [Rayuan] No.: 14000-017-0027-2009) semasa rayuan kes tersebut. Panel Rayuan membuat keputusan bahawa harta syarikat merupakan harta sepencarian apabila terbukti syarikat itu dimiliki sepenuhnya oleh Responden. Penjelasan Panel Mahkamah Rayuan Syariah seperti berikut :

“Malah pihak Responden sendiri semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi mengakui dalam pemeriksaan balas mengenai pegangan syer di dalam Syarikat Sri Alam sebagaimana yang terdapat di dalam Rekod Rayuan, Jilid 2, mukasurat 527, iaitu seperti berikut:-

“Jumlah syer saya adalah 503, 998”.
“Betul 100% pemegang saham adalah saya tetapi Marina Yusof masih menuntut 30% “.

“Bahagian Marina Yusof selesai tahun 1999, Sri Alam bayar 8 juta kepada Marina Yusof termasuk pemindahan milik tanah daripada nama Marina Yusof kepada Sri Alam”.

Dengan ini saya berpuashati bahawa apabila Syarikat Sri Alam dimiliki sepenuhnya oleh Respondan, maka Syarikat Sri Alam dan Respondan adalah entiti yang sama walaupun mengikut tafsiran Akta Syarikat Respondan dan syarikat Sri Alam adalah entiti yang berbeza. Mengikut Hukum Syarak fakta yang penting ialah siapa pemilik sebenar harta itu. telah jelas bahawa Syarikat Sri Alam dimiliki sepenuhnya oleh Respondan. Maka apabila Respondan telah memperolehi harta dalam tempoh perkahwinan yang masih berkuatkuasa berupa tanah Sepang yang bertukar menjadi wang pampasan, harta tersebut merupakan harta sepencarian sepertimana yang dimaksudkan di bawah seksyen 2 Akta Keluarga Islam (Wilayah – Wilayah Persekutuan ) 1984…..”

Di dalam kes Kasmath Bevi Abdul Rahman lwn. Impact Independent Financial Advisory Sdn Bhd, iaitu kes Mahkamah Perusahaan Malaysia No ; 7(21)/4-100/06, yang mana Hakim Bicara menyatakan ;

Mahkamah bersetuju dengan hujah peguam Responden bahawa undang-undang adalah jelas Syarikat dan pengarah merupakan entity yang berasingan seperti diputuskan dalam kes Solomon v. Solomon [1897] A.C. 22. Beliau telah merujuk kepada kes Tryotech (M) Sdn. Bhd. Jinit Bin Rakijan [1999] 1 ILR di mana Mahkamah telah memutuskan seperti berikut :-

(i)                 Pengarah Syarikat dan syarikat adalah dua entiti atau personaliti undang-undang yang berbeza.

(ii)               Tanggungan sesebuah syarikat berhad atau sendirian berhad adalah terhad kepada modal berbayarnya dan pemegang-pemegang saham syarikat pula hanya bertanggungjawab setakat sahamnya dalam syarikat itu.

(iii)             Mahkamah ini tidak dapat mengenepikan prinsip undang-undang syarikat bahawa syarikat yang diperbadankan di         bawah Akta Syarikat 1965 adalah beban undang-undang yang berbeza dan lain daripada Pemegang Saham dan Pengarahnya.

(iv)              Pengarah sesebuah syarikat boleh dipertanggungjawabkan berkenaan tanggungan sivil syarikat yang dia menjadi Pengarah hanya di bawah undang-undang tertentu seperti Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Di dalam kes Ooi Meng Sua lwn. PP, 8 CLJ, hlm. 776 yang mana hakim bicara di dalam penghakimannya menyatakan;

Prinsip undang-undang adalah jelas bahawa syarikat adalah merupakan satu entiti undang-undang yang tersendiri dan Pengarah-Pengarah Syarikat mentadbirkan syarikat mengikut undang-undang tubuh atau memorandum serta artikel syarikat dan resolusi yang diluluskan dari masa ke semasa oleh Lembaga Pengarah Syarikat Atau Pemegang-Pemegang Saham dalam mesyuarat agong syarikat. Harta syarikat adalah milik syarikat dan Pengarah Syarikat tidak boleh menyifatkannya sebagai harta peribadi (Solomon v. Solomon & co. [1897] AC 2).

Tiada ulasan: