Rabu, 18 September 2013

Seksyen 229 ETMMS 2003 vs Seksyen 151 ETMMS 2003

1. Prinsip “cross reference” yang digunakan oleh Hakim terdahulu di dalam penghakiman kes Roslaili Binti Abdul Ghani lwn. Ahmad Azman Bin Yaacob, JH XIX (2) kepada seksyen 229 ETMMS telah diakas oleh kedua –dua kes di atas yang mana Hakim Mahkamah Rayuan Syariah juga menegaskan di dalam kes kes Zetty Binti  Zabir lwn. Mohammed Rafi Bin Mohamed Yaacob, Kes Rayuan Mal (Selangor) No: 10000-036-011-2009 bahawa:

“Walaupun tidak menjadi isu di peringkat rayuan ini, saya melihat telah wujud suatu amalan yang pada pendapat saya telah menyimpang dari maksud sebenar prosiding pengkomitan di bawah peruntukkan seksyen 151 (1) (b) (aa) Enekmen Tatacara Mal ini  dengan pendekatan dibaca bersama “cross reference” kepada peruntukkan seksyen 229 Enekmen yang sama. Sedangkan peruntukkan kedua-dua seksyen tersebut adalah peruntukan yang berbeza yang berdiri dengan sendirinya sehingga, dalam kes ini, tidak dapat dipastikan sama ada ia adalah kes pengkomitan atau penghinaan Mahkamah…..”

2.      Manakala di dalam kes Norazura Binti Mohd Radzi lwn. Nazri Bin Kamal, Kes Rayuan (Negeri Sembilan) No. 05000-099-003-2009 yang mana keputusannya dirujuk oleh kes di atas, Panel Rayuan menyatakan-

37.  Kami berpendapat pendekatan cross reference oleh Y.A Hakim Bicara tidak tepat dalam menangani masalah ini kerana konteks seksyen 229 dan 151 (1) (b) (aa) Enekmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) ini berbeza. Di bawah peruntukkan seksyen 229 (1) disebut dengan jelas bahawa prosiding itu dimulakan oleh Hakim, bukan di mulakan oleh-oleh pihak-pihak yang bertikai. Oleh itu, keseluruhan peruntukkan seksyen 229 ini berdiri dengan sendirinya, iaitu dalam kes di mana Hakim mendapati ada mana-mana pihak melakukan penghinaan kepadanya, sama ada di dalam Mahkamah atau di luar mahkamah.

38.  Kami dengan hormatnya merujuk kepada peruntukkan seksyen 229 (1) ini yang menetapkan seperti berikut:-

Mahkamah hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk memulakan prosiding terhadap mana-mana orang kerana menghina mahkamah dan boleh, dalam prosiding sedemikian, membuat suatu perintah pengkomitan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau boleh mengenakan denda tidak melebihi dua ribu ringgit.

39.  Sedangkan di bawah seksyen 151 (1) (b) (aa), ia boleh difahami bahawa prosiding ini dimulakan oleh pemiutang penghakiman berdasarkan frasa “dengan kebenaran mahkamah, perintah pengkomitan”. Kebenaran ini diperlukan apabila prosiding pengkomitan ini hendak dimulakan oleh pemiutang penghakiman. Berbeza dengan hakim, tidak perlu dia membenarkan dirinya sendiri untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah.

40.  Pendapat kami bahawa prosiding penghinaan Mahkamah ini dimulakan oleh Hakim sendiri  diperkukuhkan lagi dengan peruntukkan seksyen 229 (2) Enekmen Tatacara Mal di mana disebutkan rekod prosiding penghinaan itu hendaklah dibuat oleh Hakim. Ia sama sekali berbeza dengan kes pengkomitan di bawah peruntukkan seksyen 151 (1) (b) (aa) yang mana rekod tersebut telah ada apabila pemiutang penghakiman memfailkan kesnya.

41.  Kami juga memperkukuhkan pendapat kami bahawa konteks seksyen 151 (1) (b) (aa) dan seksyen 229 ini berbeza berdasarkan bahawa istilah pengkomitan yang terdapat di bawah seksyen 151 (1) (b) (aa) ini  memberi maksud komit ke penjara. Oleh itu peruntukkan seksyen 151 (1) (b) (aa) ini hanya berkenaan dengan pemenjaraan sahaja kerana ia melibatkan kesalahan yang lebih serius iaitu keingkaran mematuhi perintah mahkamah yang bukan sahaja menyebabkan kewibawaan mahkamah terjejas bahkan memudaratkan pemiutang penghakiman. Berbeza dengan prosiding penghinaan Mahkamah di bawah seksyen 229, di mana Hakim diberi kuasa memilih hukuman antara hukuman penjara atau denda. Ini adalah kerana kemudaratan yang terbit dari keingkaran mematuhi sesuatu perintah hanya melibatkan satu pihak sahaja, iaitu Mahkamah. Jadi ia tidak seserius kesalahan seksyen 151 (1) (b) (aa).

Seksyen 229 dan Seksyen 151 hendaklah boleh berdiri sendiri tanpa membuat sebarang kaitan di antara keduanya.

Tiada ulasan: