Isnin, 9 September 2013

Prinsip Penerimaan Dokumen

Surat
Kes Zainab Mahmood Lwn Abd Latif b. Jusoh, Jurnal Hukum, Jilid 8, Bhg 2 di mana Mahkamah Rayuan dalam soal kebolehterimaaan keterangan dokumen memutuskan seperti berikut:

"Surat ini dicop dengan "salinan disahkan betul" oleh Pengarah Jabatan Agama Islam W. Persekutuan. Dari segi undang-undang, pengesahan itu hanya bertujuan untuk membolehkan salinan surat yang asal dijadikan barang bukti sewaktu perbicaraan di mahkamah. "Salinan Disahkan Betul" hanya membuktikan bahawa surat asal ada di dalam milikan dan jagaan Pengarah Jabatan Agama Islam W. Persekutuan. Tetapi ia tidak sekali kali boleh dianggap atau digunakan sebagai bukti pengesahan dari pihak pengarah, bahawa kandungan surat itu adalah benar. Kebenaran kandungan surat itu mestilah dibuktikan dengan cara biasa, iaitu dengan memanggil saksi, sekiranya ada.

Di dalam kes ini kebenaran kandungan surat ini tidak boleh disahkan oleh penulis surat itu sendiri tetapi hanya boleh disahkan oleh pihak ketiga iaitu Puan Safiah yang dikatakan oleh Responden sebagai saki untuk menentukan kebenaran episaod yang berlaku 20hb Julai 1988. Oleh yang demikian, YA Hakim tersilap dari sudut undang-undang keterangan dengan menerima surat tersebut sebagai pengakuan bertulis dan menyokong kebenaran cerita Responden mengenai lafaz cerai pada 10 Julai 1988."

Laporan Polis
Dokumen sama ada dokumen awam atau dokumen persendirian bukan menjadi isu kerana borang "Polis 55-Pin 2/83" dibuat oleh Percetakan Nasional Berhad. Yang penting dalam soal ini adalah kandungan dokumen berkenaan. Siapakah pembuat kandungan dokumen tersebut. Adakah pihak polis atau pihak Plaintif sendiri. Apa yang sebenarnya berlaku laporan itu ditulis berdasarkan aduan pihak Plaintif sendiri dan pegawai polis hanya mencatat sahaja dan sesudah itu membacanya semula kepada pihak yang mengadu dan jika disahkan oleh pengadu apa yang dicatat oleh pegawai polis tersebut, maka pengadu akan menurunkan tandatangan. Prosedur ini adalah sebagai mana yang ditetapkan oleh Seksyen 107 Kanun Acara Jenayah 1997.

Apabila maklumat diberi secara lisan kepada seorang ketua balai polis berkenaan kejadian satu-satu kesalahan, ketua balai polis itu atau pegawai polis lain di bawah arahannya hendaklah menulis maklumat itu dan setelah menulis hendaklah bacakan balik kepada si pemberitahu. Tiap-tiap maklumat itu hendaklah dicatat di dalam buku laporan yang disimpan oleh pegawai itu dan juga hendaklah ditulis haribulan dan waktu maklumat diberi, sama ada diberi secara bertulis atau lisan. Setelah menulis maklumat itu perlu ditandatangani oleh si pemberitahu.

Jadi sebenarnya pihak yang mengadu adalah pembuat kandungan dokumen. Kalau dikatakan pihak polis yang membuat kandungan dokumen tersebut, ia tidak tepat. Cuma sebelum diputuskan untuk menerima Laporan Polis tersebut, perlu disiasat apakah yang dimaksudkan dengan cop yang berwarna merah pada ketiga-tiga Laporan Polis berkenaan yang mengandungi perkataan-perkataan seperti berikut [[SALINAN YANG DISAHKAN. Tidak Boleh Digunakan Di Mahkamah Seperti Kehendak Seksyen 108 K.A.L) yang biasanya wujud di setiap laporan Polis.. Ia amat berlawanan dengan peruntukan Seksyen 108A Kanun Acara Jenayah 1997, salinan repot yang diakui sah boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah. Peruntukkannya adalah seperti berikut:-

"Dalam mana-mana prosiding di bawah Kanun ini, satu salinan maklumat yang ditulis di bawah peruntukkan seksyen 107 atau seksyen 108, dan yang dikatakan telah disahkan menjadi satu salinan yang sebenarnya oleh Ketua Polis Daerah di mana balai polis tempat diterima maklumat itu berada, akan diterima sebagai keterangan dalam Mahkamah mengenai isi-isi kandungan maklumat yang mula-mula diterima itu dan tentang masa, tempat dan cara bagaimana maklumat itu telah direkod."

Oleh itu, pembuat dokumen laporan polis itu sebenarnya pihak Plaintif sendiri dan Ketua Balai Polis berkenaan tidak perlu di sapina untuk pengecaman. Kandungannya semata-mata aduan atau dakwaan yang belum terbukti benarnya dan ia berhajat kepada pembuktian oleh pihak Plaintif.

Perintah Perlindungan Interim (IPO)

Selain dibuktikan meterai Mahkamah itu palsu, dokumen yang mengandungi meterai Mahkamah yang sah hendaklah diberikan pengiktirafan kehakiman berdasarkan Subseksyen 44 (1) (e) Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang jelas menyatakan bahawa –

44. (1) Mahkamah hendaklah memberikan pengiktirafan kehakiman mengenai fakta yang berikut:

(e) meterai semua Mahkamah di Malaysia, semua meterai yang mana-mana orang diberikuasa untuk menggunakannya oleh mana-mana undang-undang yang sedang berkuat kuasa di Malaysia dan meterai notari awam;
Perintah yang dikeluarkan boleh dianggap sebagai qarinah sebagaimana diperuntukkan di dalam Seksyen 30 Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 yang jelas menyatakan-

30. Penghakiman, perintah atau dekri, selain daripada yang disebut dalam seksyen 29, ialah qarinah jika ia berhubungan dengan perkara daripada jenis awam yang relevan kepada siasatan itu; tetapi penghakiman, perintah atau dekri itu bukanlah bukti konklusif mengenai apa yang dinyatakan olehnya.

Prinsip kaedah fiqh yang boleh digunapakai yang berbunyi-

الاصل في كل حادث تقديره باقرب زمن
“Asal setiap yang berlaku diambilkira masa yang paling hampir”

ما ثبت بزمان يحكم ببقاءه ما لم يقم الدليل على خلافه
“Apa yang ditetapkan beradasarkan masa atau semasa dihukum dengan kekalnya begitu, selagi tiada dalil menyalahinya”

[Perbahasan Kaedah-Kaedah Fiqh, Ustaz Abdul Latif Muda, Ustazah Rosmawati Ali @ Mat Zin, Cetakan Pertama 2000, Pustaka Salam, halaman 117]

Tiada ulasan: