Ahad, 21 Oktober 2012

Perceraian Atas Alasan Keluar Islam

Permohonan Ex-Parte Zaimas Bt Ibrahim JH 10 (2) 204

Dalam kes ini, Pemohon telah memohon mengesahkan perceraian dengan suaminya yang telah menceraikannya di luar Mahkamah. Oleh kerana suaminya sukar dating ke Mahkamah, Pemohon telah dinasihatkan memohon perceraian secara ta’liq. Apabila kes di bawa ke Mahkamah, Mahkamah berpendapat oleh kerana ada bukti terbaru adalah munasabah permohonan untuk menentukan perceraiannya diteruskan. Ada bukti menunjukkan suami itu telah diisytiharkan murtad oleh Kadi Daerah Johor Bahru. Diputuskan, Oleh kerana Mahkamah berpuashati bahawa suami Pemohon, Mohamed Tham telah murtad, mahkamah membubarkan perkahwinannya dengan Pemohon mengikut Seksyen 43 (1) Enakmen Undang-Undang Pentadbiran Keluarga Islam 1985.

Hakim Bicara menyatakan berdasarkan keterangan lisan, ikrar dan keterangan dokumentar, Mahkamah berpuashati bahawa Muhammad Tham bin Abdullah, K/P 5050868 telah keluar daripada agama Islam, murtad pada 27 Disember 1993. Kadi Daerah Johor Bharu, Haji Amir bin Danuri mengisytiharkan murtadnya Muhamed Tham bin Abdullah. Perisytiharan itu dikuatkan pula dengan pengakuan Berkanun Muhamed Tham bin Abdullah bertarikh 27 Disember 1993 di hadapan Pesuruhjaya Sumpah, Johor Bharu. Bahagian Penyelarasan, Pindaan Butiran, Perancangan dan Latihan, Ibu Pejabat, Jabatan Pendaftaran Negara melalui suratnya bertarikh 13 April 1994 membuat pengakuan telah menukar nama Muhamed Tham Bin Abdullah kepada nama Tham Eng Cheng. Pada 9 November 1994, Tham Eng Cheng telah mengaku dan berikrar di hadapan Pembantu Pendaftar MRS Kuala Trengganu Mohd Nasir Bin Abd Manaf, bahawa beliau telah keluar dari Islam.

Di dalam Kitab Idarat at-Talibin, Juz 4, hal 132 ada disebut: Dikira murtad berlaku melalui I’tiqad, perbuatan dan juga tuturkata.Menurut undang-undang, Hakim Syar’ie sahaja diberi kuasa memutus seseorang yang menganut Islam telah murtad, syirik dan kafir. Seksyen 205 (2) Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 memperuntukkan:

Tidak boleh sesiapa, kecuali Hakim Syar’ie memutus seseorang yang menganut Islam sebagai murtad, syirik atau kafir.

Di dalam kes ini, Tham Eng Cheng telah diisytiharkan murtas oleh Kadi daerah Johor Bharu, oleh itu Mahkamah mengiktiraf perisytiharan itu.



Tiada ulasan: